Tahniah KJ kerana negara mencapai kadar terendah baharu dengan 4,343 kes dan 35 kematian akibat Covid-19 dicatatkan semalam, tetapi mengapakah penurunan ini terlalu perlahan berbanding dengan negara lain seperti Indonesia dan India?

Tahniah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana negara mencapai kadar terendah baharu dengan 4,343 kes dan 35 kematian akibat Covid-19 dicatatkan semalam, tetapi mengapakah penurunan ini terlalu perlahan berbanding dengan negara lain seperti Indonesia dan India?

Untuk angka kes harian Covid-19, angka di Malaysia telah turun daripada kemuncak 24,599 kes pada 26 Ogos kepada 4,343 kes semalam, manakala kadar kematian pula telah turun daripada kemuncak 592 kematian sehari pada 11 September kepada 35 kematian semalam -- tetapi perjalanannya masih lagi jauh sebelum kita mencapai kadar kes dalam julat dua angka dan kadar kematian dalam julat satu angka untuk Malaysia “hidup bersama dengan Covid”.

Pada kadar penurunan seperti ini, mustahil untuk Khairy mencapai sasaran 100 hari pertama beliau untuk mencatatkan kurang daripada 500 kes Covid-19 menjelang 7 Disember 2021.

Indonesia berada jauh di hadapan Malaysia dari segi penurunan kes Covid-19 -- negara tersebut telah mencatatkan 24 hari berturut-turut dengan kes dalam julat tiga angka dan 38 hari berturut-turut mencatatkan kadar kematian dalam julat dua angka.

Semalam, Indonesia mencatatkan 444 kes baharu dan 11 kematian akibat Covid-19, berbanding dengan 4,343 kes dan 35 kematian akibat Covid-19 di Malaysia -- menunjukkan yang Indonesia akan mengalahkan Malaysia untuk mencatatkan kadar kematian dalam julat satu angka dahulu dalam beberapa hari yang akan datang.

Perbandingan dengan India, yang mempunyai 43 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding dengan Malaysia lebih ketara -- India menurunkan kadar kes baharunya kepada 11,648 (atau 2.8% daripada kemuncaknya sebelum ini, 414,433 kes pada 6 Mei 2021) dan 256 kematian akibat Covid-19 (5% kadar kematian pada kemuncak 5,015 kematian pada 23 Mei 2021).

Sebaliknya, Malaysia semalam hanya menurunkan kadar kes ini kepada 17.6% kadar kemuncak kes baharu sebelum ini dan menurunkan kadar kematian kepada 6% daripada kemuncak kadar kematian sebelum ini.

Khairy perlu memanggil persidangan segera pakar-pakar perubatan awam dan swasta untuk mencari cara bagaimana Malaysia boleh mendapatkan hasil yang lebih baik dengan lebih pantas dalam menamatkan gelombang ketiga penularan yang telah berlanjutan terlalu lama sejak September tahun lepas sebelum mencapai 100 hari pertama beliau menjadi Menteri Kesihatan pada 7 Disember 2021.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri