Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak perlu memperbaharui harapan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, dan Impian Malaysia, walaupun sukar dan mencabar, bukanlah satu impian yang mustahil

Semalam, saya mengutuskan satu surat terbuka kepada pemimpin, ahli-ahli, dan penyokong DAP di dalam dan di luar negara, menyatakan golongan pentaksub dalam kerajaan Ismail Sabri yang mahu Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak untuk diadakan tahun ini percaya ada kemungkinan DAP boleh dikalahkan sepenuhnya, golongan ini telah menang berbanding dengan golongan moderat yang mahu menegakkan memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (MOU CSR) yang dipersetujui sebelum ini untuk menunda pilihan raya.

Saya memberikan amaran yang DAP berhadapan dengan ancaman besar dan begitu juga nasib Impian Malaysia untuk membina sebuah masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya dalam sebuah negara berkelas dunia yang berjaya dalam semua bidang yang diceburi manusia dengan menggembeleng nilai terbaik empat tamadun utama dunia yang bertemu di negara kita ini.

Hari ini, saya mengutuskan surat terbuka kedua, untuk menegaskan yang PRN Melaka dan Sarawak ini mesti memperbaharui harapan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, dan bahawa Impian Malaysia ini, walaupun sesukar mana sekali pun, tidaklah mustahil untuk dicapai.

Satu-satunya perkara yang betul yang dibuat oleh Ismail Sabri selepas menjadi Perdana Menteri pada 20 Ogos, selain daripada menandatangani MOU CSR, adalah slogan “Keluarga Malaysia” beliau -- yang merupakan satu penghormatan kepada konsep Impian Malaysia DAP yang menegaskan bahawa Malaysia hanya mampu berjaya sebagai sebuah negara berkelas dunia sekiranya kita semua bersatu dan mengguna pakai sepenuhnya bakat dan kebolehan yang ada dalam masyarakat majmuk berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, kerana sebarang dasar pembinaan negara bangsa yang berteraskan kepada mana-mana satu kaum atau agama hanya akan membawa kepada kegagalan.

Tetapi, “Keluarga Malaysia” ini kekal hanya sebagai satu slogan dalam 77 hari Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ke-9, kerana beliau gagal untuk memberikan makna kepada dasar-dasar Keluarga Malaysia ini.

Belanjawan 2022 memberikan satu peluang yang sangat baik untuk beliau mengubah Keluarga Malaysia ini daripada sekadar satu slogan kepada dasar, namun perkara yang bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia yang dapat dilihat dalam belanjawan ini.

Tidak terkejutlah mantan penasihat ekonomi kerajaan Pakatan Harapan, Mohammad Abdul Khalid, bertanya, dimanakah keadilannya dalam Belanjawan 2022 apabila peruntukan untuk golongan bukan bumiputera hanya diberikan beberapa juta sedangkan golongan bumiputera diperuntukan berbilion ringgit.

Retorik buruk mengenai Wiski Timah dan larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penjualan arak oleh kedai runcit dan kedai serbaneka juga merupakan satu perkara yang amat bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia.

Usaha mencapai Impian Malaysia ini bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Namun, kemajuan telah berlaku.

Siapa sangka, sebagai contoh, hegemoni UMNO dalam politik Malaysia dapat ditamatkan dan Malaysia dapat diselamatkan daripada menjadi sebuah kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum 2018?

Kecekalan, stamina, dan komitmen jangka panjang diperlukan untuk kita memenuhi Impian Malaysia -- demi masa depan Malaysia dan rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Inilah mesej yang perlu kita sebarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri