Ismail Sabri perlu berhenti menyatakan perkara yang sudah diketahui umum, sebaliknya beliau perlu bertindak atau memberikan penjelasan mengapa tidak ada tindakan diambil terhadap dua orang mantan Perdana Menteri kerana melanggar SOP PRN Melaka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan
Perdana Menteri, Ismail Sabri perlu berhenti menyatakan perkara yang sudah diketahui umum, sebaliknya beliau perlu bertindak atau memberikan penjelasan mengapa tidak ada tindakan diambil terhadap dua orang mantan Perdana Menteri kerana melanggar SOP Pilihan Raya Negeri Melaka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang melarang aktiviti kempen secara fizikal atau apa-apa “acara secara sembunyi” berkenaan PRN tersebut.
Ismail Sabri ada alternatif -- beliau boleh mengakui yang SOP Kementerian Kesihatan ini tidak sesuai dan tidak difikirkan sepenuhnya dan patut dibatalkan dan digantikan dengan SOP yang lebih sesuai dengan konsultasi bersama pihak Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya, parti-parti politik, dan NGO yang berminat.
Atau adakah PRN Melaka ini akan menunjukkan bentuk baharu layanan dua darjat dalam pelaksanaan SOP Covid-19, satu perkara yang sama sekali bertentangan dengan Belanjawan 2022 yang menyasarkan untuk membuka semula ekonomi dan aktiviti dalam negara secara selamat tanpa menambah buruk keadaan pandemik Covid-19?