PKR didenda RM10,000 untuk ceramah tanpa hadirin adalah satu kemuncak kebodohan
Denda RM10,000 kepada PKR kerana mengadakah ceramah tanpa kehadiran fizikal di Paya Rumput, Melaka, semalam adalah salah satu contoh kemuncak kebodohan dalam keadaan pandemik Covid-19 untuk Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang.
Saya fikirkan, PKR Melaka sepatutnya dipuji kerana menggunakan cara yang unik untuk berkempen dalam PRN ini yang mengambil kira kepentingan untuk tidak memburukkan lagi keadaan Covid-19 dalam negara dan pada masa yang sama meneruskan objektif untuk mencapai satu pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih -- sebaliknya mereka dikenakan denda RM10,000.
Terdapat larangan untuk kempen dan acara sosial pilihan raya yang melibatkan aktiviti fizikal dengan pengundi -- tetapi perkara ini sepantas kilat menjadi ulangan fenomena Dua Darjat di mana tindakan tidak diambil terhadap dua orang mantan Perdana Menteri, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, yang telah mengingkari larangan ini dengan aktiviti-aktiviti “secara bersorok” di Melaka baru-baru ini.
Larangan yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pada 24 Oktober adalah satu larangan yang tidak dipertimbangkan dengan baik dan tidak praktikal. Larangan ini perlu dibatalkan segera dan digantikan dengan SOP yang dibuat khusus untuk PRN Melaka -- kerana inilah saya telah menyeru supaya satu mesyuarat diadakan bersama dengan SPR, Kementerian Kesihatan, dan semua parti-parti politik yang berminat dan juga NGO yang berkenaan untuk membincangkan perkara ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula tidak membantu untuk menjaga imejnya apabila badan tersebut gagal mengambil tindakan terhadap mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, selepas aduan daripada Bersih yang Gerai Prihatin Rakyat yang dikendalikan Bersatu dengan menjual barang runcit pada harga murah adalah satu taktik “pembelian undi” dan merupakan satu kesalahan pilihan raya.
Tidak peliklah sekiranya kedudukan negara kita menjunam lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 yang akan diumumkan Januari tahun hadapan.
Adakah SPRM akan menebus semula maruah mereka?