#kerajaangagal75 -- Tindakan Arifai Tarawe menarik semula saman RM10 juta terhadap FMT adalah tepat

Tindakan Ketua Balai Polis Gombak yang bakal berpindah jawatan, Arifai Tarawe, dalam menarik semula saman RM10 juta terhadap FMT adalah bertepatan dengan dakwaan pihak polis yang mereka tidak ada apa-apa yang hendak disorokkan mengenai kes kematian dalam tahanan A. Ganapathy.

Arifai, yang akan dipindahkan ke Jabatan Integri dan Pematuhan Bukit Aman pada 21 Jun, patut memastikan berlakunya siasatan menyeluruh ke atas kes kematian A Ganapathy dalam tahanan polis ini.

Malah, Arifai sepatutnya memainkan peranan utama untuk mentransformasikan pasukan Polis Diraja Malaysia untuk menjadi sebuah pasukan polis yang bertaraf dunia dengan melaksanakan cadangan-cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Pasukan Polis yang diterbitkan 16 tahun lalu, terutamanya untuk mengadakan siasatan terbuka dalam setiap kes kematian dalam tahanan polis.

Enam belas tahun yang lalu pada tahun 2005, Suruhanjaya tersebut yang diketuai oleh mantan Ketua Hakim, Tun Dzaiddin, dan Ketua Polis Negara dengan tempoh berkhidmat paling lama, Tun Hanif Omar, mengatakan dalam laporannya yang mereka memandang “kadar kematian dalam tahanan yang amat tinggi pada kadar yang tidak boleh diterima ini dan kegagalan pihak berkuasa untuk mengadakan siasatan terbuka di hadapan majistret sebagai satu perkara yang amat membimbangkan” dan mencadangkan supaya “siasatan terbuka mestilah diadakan di hadapan majistret dalam semua kes-kes sebegini dalam masa sebulan daripada menerima laporan kematian”.

Enam belas tahun kemudian, kadar kematian dalam tahanan ini menjadi semakin teruk.

Arifai perlu menghapuskan pemikiran bahawa kakitangan polis adalah imun daripada pendakwaan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, kerana negara kita menghormati kedaulatan undang-undang.

Saya boleh faham kekecewaan Arifai apabila pemindahan beliau ke Bukit Aman dikaitkan dengan kes Ganapathy ini.

Beliau mengatakan bahawa kes ini dan kematian S Sivabalan, yang meninggal dunia kira-kira 70 minit selepas beliau ditahan oleh pihak Polis Gombak telah menjejaskan moral pegawai-pegawai dan ahli keluarga beliau.

Beliau mengatakan bahawa tidak ada mana-mana pegawai polis yang mahu membahayakan mana-mana tahanan, dan beliau mengulangi, untuk rekod, pihak Polis tidak membahayakan mana-mana tahanan polis.

Beliau berkata, setelah lama menjadi tumpuan orang awam, beliau telah lali dikritik tetapi beliau amat kecewa apabila anak-anaknya sendiri memberitahunya yang rakan-rakan mereka mengatakan ayah mereka adalah “orang jahat”.

Beliau berkata: “Mereka tahu apa yang dikatakan rakan-rakan mereka ini tidak benar, tetapi mereka tetap terkesan, dan saya sebagai seorang ayah, berpatah hati melihat mereka sedih.”

Saya boleh faham perasaan Arifai, kerana perkara sebegini berlaku kepada saya semasa saya ditahan buat kali pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Muar.

Guan Eng sedang berada di sekolah rendah pada tahun 1969 dan diejek oleh rakan sekelasnya kerana mempunyai seorang bapa yang “jahat”, kerana mereka berfikir tidak ada orang yang baik yang akan ditahan polis.

Tetapi saya berbesar hati apabila Arifai terbuka untuk mengadakan siasatan terbuka ke atas kes Ganapathy ini, tetapi siasatan terbuka seperti ini perlu menjadi satu norma sistem ke atas setiap kes-kes sebegini, di mana setiap kematian dalam tahanan di siasat secara terbuka.

Kejadian kematian dalam tahanan ini perlu dipandang serius oleh semua pihak berkuasa.

Terdapat satu lagi kejadian kematian dalam tahanan, yang melibatkan Surendran Shanker yang berusia 21 tahun -- dan keluarga beliau mengesyaki terdapat perkara yang tidak kena dan telah berlakunya ketidakadilan.

Hanya sebuah siasatan terbuka sahaja yang boleh memberikan keadilan dan kepastian bahawa tadbir urus baik telah dijalankan kepada ahli-ahli keluarga mendiang yang terkesan dalam kes-kes sebegini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri