#kerajaangagal74 – Arifin Zakaria wajar mengarahkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 bagi membuat pertimbangan mengenai keperluan untuk meminta Perdana Menteri agar menamatkan pelaksanaan darurat bukan hanya kerana pengisytiharan darurat itu sendiri adalah suatu kegagalan, tetapi langkah itu juga sebenarnya bukanlah senjata yang terbaik untuk digunakan bagi melawan pandemik Covid-19

Dalam maklum balas kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa itu bersetuju dengan penetapan beberapa “kriteria dan had” dalam membuat penilaian sama ada darurat diteruskan atau ditamatkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak mengulas secara terperinci isu tersebut.

Jawatankuasa itu berkata: “Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam siri mesyuaratnya telah menerima pelbagai pembentangan berhubung situasi semasa pandemik Covid-19 daripada kalangan individu, pakar-pakar kesihatan serta bidang-bidang yang berkaitan.

“Pada peringkat ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 secara konsensus bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.

“Jawatankuasa ini akan terus bermesyuarat dari masa ke semasa bagi membuat membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.”

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang juga mantan ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria wajar mengarahkan jawatankuasa tersebut bagi membuat pertimbangan mengenai keperluan untuk meminta Perdana Menteri agar menamatkan pelaksanaan darurat bukan hanya kerana pengisytiharan darurat itu sendiri adalah suatu kegagalan, tetapi langkah itu juga sebenarnya bukanlah senjata yang terbaik untuk digunakan bagi melawan wabak Covid-19.

Malaysia telah menjadi contoh negara yang dilihat gagal membendung penularan Covid-19 - setelah empat bulan pengisytiharan darurat.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah telah menjadi tajuk berita antarabangsa selepas beliau mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bersiap sedia untuk berdepan gelombang Covid-19 terburuk.

Meskipun Malaysia berada di kedudukan ke-41 dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi (selepas memintas Maghribi dan Lubnan -- dan kini dipintas oleh Nepal), Malaysia berada di kedudukan ke-11 antara negara-negara dengan kadar kes harian Covid-19 tertinggi semalam - selepas India, Brazil, Argentina, Columbia, Amerika Syarikat, Perancis, Rusia, Iran, Turki dan Chile.

Pun begitu, Malaysia terus memintas India -- yang merupakan negara yang mempunyai prestasi terburuk dalam membendung penularan wabak tersebut -- dalam kes harian Covid-19 per kapita - Malaysia melaporkan 211.29 kes baharu Covid-19 per sejuta orang berbanding 165.28 di India. Sementara kes harian Covid-19 per sejuta di negara lain adalah seperti berikut: AS (70.71), UK (37.45), Thailand (42.87), Korea Selatan (11.69), Vietnam (2.0) Singapura (5.54) and China (0.01).

Malaysia dan India adalah dua negara yang menunjukkan prestasi terburuk mengikut laporan Bloomberg Covid Resilience Ranking edisi Mei 2021 - Malaysia jatuh 14 anak tangga ke kedudukan ke-35 sementara India jatuh 20 anak tangga ke tangga ke-50 daripada 53 negara yang mempunyai nilai ekonomi melebihi paras AS$200 bilion.

Untuk 16 hari berturut-turut, Malaysia merekodkan kes harian Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia, yang mempunyai populasi penduduk sembilan kali ganda daripada Malaysia.

Saya tidak fikir yang sesiapa pun di Malaysia (termasuk Perdana Menteri dan Kabinetnya) akan mampu menepis hujah yang mengatakan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 adalah langkah yang salah bagi membendung pandemik Covid-19 di negara ini, yang seterusnya menatijahkan dua kegagalan seperti berikut:

  • Defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan dalam mengetuai peperangan melawan Covid-19; dan
  • Kegagalan dan ketidakmampuan kerajaan untuk melancarkan usaha mobilasi kebangsaan bagi melawan pandemik Covid-19 menerusi penerapan strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Persoalannya, adakah Ariffin Zakaria akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 untuk membuat penilaian mengenai keperluan untuk meminta Perdana Menteri agar menamatkan pelaksanaan darurat bukan hanya kerana pengisytiharan darurat itu sendiri adalah suatu kegagalan, tetapi langkah itu juga sebenarnya bukanlah senjata yang terbaik untuk digunakan bagi melawan pandemik Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri