#kerajaangagal73 -- Sokongan penuh kepada seruan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman, supaya Parlimen dipanggil bersidang semula

Saya menyokong penuh seruan Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, supaya Parlimen dipanggil bersidang semula.

Saya juga menyokong penuh ketujuh-tujuh cadangan beliau untuk prosedur operasi standard Parlimen untuk memerangi wabak Covid-19, iaitu:

  1. Untuk mengurangkan risiko Covid-19: Pastikan semua pegawai Parlimen divaksinkan, termasuklah semua Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
  2. Untuk mengurangkan “drama” di Parlimen: Tidak ada sebarang usul “tidak percaya” di Parlimen semasa tempoh wabak Covid-19 dan tidak ada pilihan raya awal kecuali sekiranya wabak ini telah berjaya dikawal dan imuniti kelompok dalam kalangan sekurang-kurangnya 50 peratus populasi dicapai.
  3. Untuk melancarkan perjalanan sidang Parlimen: Membuat persiapan secukupnya untuk persidangan Parlimen secara maya dan melabur dalam sistem ucapan-ke-teks. Kuatkuasakan kuorum untuk mesyuarat yang dihadiri secara fizikal.
  4. Untuk menggalakkan “semak dan imbang”: Gunakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK) sebagai laluan alternatif untuk proses persoalan yang lebih telus untuk menggalakkan akauntabiliti dalam kerajaan. Pastikan sesi persidangan ini dapat ditonton oleh pihak secara terbuka dan dengan siaran langsung.
  5. Memastikan terdapat pembahagian peruntukan kawasan yang adil: Peruntukkan “Dana Covid-19 Kawasan Parlimen” sebagai alat bipartisan untuk menggerakkan semua parti-parti politik ke arah satu matlamat yang sama, iaitu untuk mengawal wabak Covid-19.
  6. Untuk merapatkan jurang ideologi politik: Bekerjasama sebagai “Pasukan Malaysia” untuk mengatasi “krisis keyakinan” yang sedang mengaburi negara.
  7. Untuk mengurangkan defisit kepercayaan di antara rakyat dan kerajaan: Gunakan Ahli-ahli parlimen sebagai ajen komunikasi dan penyebar maklumat kesihatan awam. Perkasakan Ahli-ahli Parlimen dengan maklumat-maklumat dan data yang tepat mengenai Covid-19, termasuklah hujah-hujah untuk mengalakkan pendaftaran vaksin, supaya mereka dapat membantu usaha melawan wabak ini.

Saya kagum dengan seruan Azalina ini yang sememangnya melayakkan beliau untuk menjadi Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Saya kecewa dengan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang telah gagal untuk mempertahankan hak, kuasa, dan kedudukan Parlimen sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara, dan terutamanya untuk menjadi pembela untuk demokrasi berparlimen dalam negara kita.

Yang Di Pertua Dewan Rakyat sepatutnya menunjukkan kepimpinan dalam mempertahankan hak, kuasa, dan keistimewaan Parlimen daripada dihakis oleh pihak Eksekutif memandangkan Perlembagaan kita didasarkan kepada doktrin pemisahan kuasa di mana tidak ada mana-mana cabang kerajaan boleh mengganggu atau menghakis kuasa dan hak-hak cabang kerajaan yang lain.

Azalina telah mengatakan yang beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, yang dikatakan tidak mempunyai sebarang bantahan untuk memanggil semula sidang Parlimen.

Jadi, apakah lagi sebab berasaskan sains untuk Perdana Menteri terus menolak usaha untuk membuka semula sidang Parlimen?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri