#kerajaangagal67 -- Khairy patut luluskan dua juta dos vaksin Covid-19 yang ingin disumbangkan oleh Yong Chee Kong kepada Pulau Pinang untuk membolehkan beliau memenuhi tawarannya sebelum ini

Menteri yang bertanggungjawab ke atas vaksinasi Covid-19, Khairy Jamaluddin perlu memberikan kelulusan kepada dua juta dos vaksin Covid-19 yang ingin disumbangkan oleh ahli perniagaan Yong Chee Kong kepada Pulau Pinang bagi membolehkan beliau menebus maruahnya semula dan memenuhi tawarannya sebelum ini.

Semalam, Yong menjelaskan bahawa surat rasmi yang ditulis bagi pihak beliau kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menawarkan untuk mendermakan dua juta dos vaksin Covid-19 tersebut ditulis oleh seorang kakitangan syarikat beliau, bukannya oleh DAP Pulau Pinang seperti yang dikatakannya sebelum ini, dan beliau memohon maaf mengenai kesilapan tersebut.

Yong berkata yang sekiranya beliau boleh mendapatkan surat kelulusan daripada kerajaan untuk dua juta dos vaksin Covid-19 ini, “bos” beliau masih terbuka untuk mendermakan vaksin tersebut kepada rakyat Pulau Pinang.

Janganlah kita panjangkan lagi perkara ini -- berikan ruang kepada Yong untuk menebus maruah beliau dengan membolehkan beliau untuk memenuhi tawaran dua juta dos vaksin kepada rakyat Pulau Pinang ini, memandangkan beliau telah menekankan bahawa sumbangan ini adalah “tawaran tulen” daripada “bos” beliau yang berada di Hong Kong, dan “sekiranya kami dapat surat kelulusan (daripada kerajaan), kami masih terbuka untuk menyampaikan sumbangan ini kepada rakyat Pulau Pinang”.

Sekiranya Yong berjaya mengotakan tawaran ini, semua laporan polis terhadap beliau patut digugurkan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri