#kerajaangagal66 -- Malaysia menewaskan 10 negara dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 tertinggi pada hari Ahad dalam kategori 'kes per sejuta penduduk' merupakan satu perkara yang memalukan dan mengaibkan nama baik negara

Malaysia menewaskan 10 negara dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 tertinggi pada hari Ahad dalam kategori "kes per sejuta penduduk" merupakan satu perkara yang memalukan dan mengaibkan nama baik negara.

Statistik-statistik ini boleh didapati di laman web Our World In Data. Pada hari Ahad, 23 Mei 2021, "kes harian per sejuta penduduk" untuk Malaysia dan 10 negara teratas dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 tertinggi adalah seperti berikut:

Jumlah kes harian per sejuta penduduk pada 23 Mei 2021

10 Negara teratas - 23 Mei 2021

1. Amerika Syarikat 38.83
2. India 161.10
3. Brazil 168.51
4. Perancis 143.63
5. Turki 92.95
6. Rusia 60.49
7. UK 30.83
8. Itali 66.04
9. Jerman 55.42
10. Sepanyol 92.90

42. Malaysia 215.53

Perkara ini adalah satu perkara yang telah mencalarkan maruah negara kita dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus bertanggungjawab dan menjelaskan kegagalan darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak Covid-19. Beliau tidak boleh berdolak-dalik dengan menggunakan alasan bahawa orang ramai boleh menghamburkan makian dengan perkataan "bodoh" kepada beliau kerana gagal menangani wabak itu.

Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020. Ketika itu, kes positif Covid-19 yang direkodkan adalah sebanyak 29 kes tanpa sebarang kematian dicatatkan.

Selepas 15 bulan Muhyiddin memegang tampuk kuasa, negara kini merekodkan 518,600 kes Covid-19 dengan 2,309 kematian.

Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, kes terkumpul jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 138,224 kes dan 555 kematian.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 19 minggu darurat telah meningkat lebih 2.5 kali ganda daripada jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam tahun pertama penularan wabak itu, sementara jumlah kematian akibat virus itu dalam tempoh yang sama meningkat lebih tiga kali ganda.

Berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang akan dijangkiti dengan Covid-19 dan mati akibat wabak itu sebelum kita benar-benar dapat melandaikan lengkung jangkitan virus berkenaan?

Namun kegagalan dalam peperangan melawan Covid-19 ini tidaklah sebesar kegagalan apabila negara kita "berjaya" menewaskan 10 negara teratas di dunia dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 tertinggi dalam kategori "kes harian per sejuta penduduk".

Malaysia telah gagal dalam peperangan melawan Covid-19 merangkumi lima aspek berikut:

  • Mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam rancangan melawan Covid-19;
  • Mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”;
  • Pakej rangsangan ekonomi baharu untuk membantu golongan miskin dan memerlukan;
  • Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisien untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini; dan
  • Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai variasi baharu yang berbahaya.

Muhyiddin harus mengakui bahawa beliau telah gagal selama 15 bulan berdepan peperangan terhadap wabak Covid-19 dan beliau harus bersiap sedia, demi negara, bagi memulakan langkah serta strategi baharu untuk memenangi perang menentang wabak ini.

Negara berdepan dengan cabaran terbesar sejak kita mencapai kemerdekaan pada 1957, dan saya menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, untuk sama-sama mengenepikan perbezaan peribadi serta politik dan untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap tugas untuk memenangi peperangan terhadap musuh yang tidak kelihatan ini, bagi menyelamatkan punca rezeki dan kehidupan setiap rakyat Malaysia.

Muhyiddin harus memanggil segera Persidangan Semua-Pihak Semua-NGO untuk Menyelamatkan Malaysia daripada pandemik Covid-19 dengan sebuah strategi Peperangan baharu.

Beliau juga harus memanggil segera sidang Parlimen dan membenarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bermesyuarat bagi memastikan kita dapat menerapkan strategi dan pendekatan "keseluruhan masyarakat" dalam peperangan melawan pandemik Covid-19.

Semua parti politik, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, harus mencapai satu konsensus baharu di mana tiada undi “tidak percaya” akan dibentangkan di Parlimen dan DUN untuk membolehkan penggal Parlimen dan DUN sedia ada dipenuhkan dari 9 Mei 2018 dan tiada pilihan raya awal akan dilaksanakan kecuali peperangan terhadap pandemik Covid-19 telah berjaya dimenangi.

Muhyiddin harus membuktikan bahawa beliau bersedia untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi dan partinya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri