#kerajaangagal64 -- Pihak Polis perlu belajar daripada Perdana Menteri untuk tidak bertindak dengan terlalu keras atau adakah mereka akan mendakwa pengguna media sosial atas dakwaan hasutan kerana mengatakan polis “bodoh” dalam insiden “Nilai 3 berada di Selangor”?

Pihak Polis perlu belajar daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk tidak bertindak dengan terlalu keras atau adakah mereka akan mendakwa pengguna media sosial atas dakwaan hasutan kerana mengatakan polis “bodoh” dalam insiden “Nilai 3 berada di Selangor”?

Muhyiddin mengatakan semalam dalam siaran khas wawancara beliau malam semalam yang rakyat boleh marah “Perdana Menteri bodoh” dalam mengendalikan wabak Covid-19, bahawa beliau tidak kisah mengenai perkara ini.

Namun, bolehkan rakyat marah kepada “kebodohan” pihak polis apabila mereka bertindak secara “bodoh”?

Perkara ini tidak kelihatan seperti dibenarkan dalam episod “Nilai 3 di Selangor”, memandangkan satu jenaka yang mengatakan Nilai 3 di Negeri Sembilan, berada di Selangor telah menyebabkan polis membuka siasatan.

Tidakkah polis mempunyai perkara yang lebih serius untuk dilakukan, seperti menyiasat punca kematian A. Ganapathy dan S. Sivabalan?

Jenaka ini muncul selepas selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami beliau, Muhammad Haris Mohd Ismail, tidak didakwa walaupun selepas melalukan perjalanan merentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3 sedangkan sekatan pergerakan merentas negeri sedang berkuatkuasa kerana wabak Covid-19.

Namun, mereka telah didakwa kerana gagal untuk mendaftarkan lawatan mereka dan kerana tidak memakai pelitup muka.

Pihak Polis dalam satu kenyataan, mengatakan yang mereka sedang menyiasat pemilik laman Facebook yang bernama “N9 Radar” kerana membuat jenaka tersebut di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memandangkan jenaka tersebut boleh menyebabkan kegentaran awam.

Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau keduanya sekali ke atas sesiapa yang membuat kenyataan yang menyebabkan kerisauan atau kegentaran kepada pihak awam. Seksyen 233 pula adalah berkenaan penyalahgunaan fasiliti rangkaian dan memperuntukkan hukuman sehingga setahun penjara, denda sehingga RM50,000, atau keduanya sekali.

Adakah ketenteraman dan keselamatan dalam negara sebegitu rapuh sekali sehinggakan jenaka tidak merbahaya seperti “ Nilai 3 di Selangor” ini dapat menggugatnya?

KPN baharu, Acryl Sani Abdullah Sani perlu memberikan mesej yang jelas kepada pasukan polis yang mereka perlu belajar daripada Perdana Menteri dan menumpukan perhatian mereka kepada jenayah dan pelanggaran undang-undang dan bukannya bersikap keras tanpa mengira tempat sehingga tidak dapat menerima jenaka “Nilai 3 di Selangor”.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri