#kerajaangagal62 -- Seruan kepada Muhyiddin untuk memanggil Persidangan Semua-Parti dan Semua-NGO untuk Menyelamatkan Negara dari Wabak Covid-19 dengan lima rancangan utama

Rekod baharu 6,976 kes baharu hari ini adalah jawapan terbaik kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara hari Jumaat lepas untuk mengambil langkah-langkah ketat dalam memerangi wabak Covid-19.

Perkara ini kelihatan seakan-akan mengesahkan apa yang dikatakan oleh seorang rakan yang merupakan seorang doktor apabila saya menanyakan pendapat beliau mengenai keputusan MKN ini, yang dijawab beliau:

“Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal.

“Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka.

“Untuk rakyat, habislah mereka.”

Dalam tempoh 15 bulan yang lepas, kita telah berjuang dalam satu peperangan di mana kita kalah, melawan wabak Covid-19 sejak daripada penumbangan kerajaan Pakatan Harapan melalui konspirasi Langkah Sheraton.

2,200 nyawa telah terkorban akibat perang ini. Berapa ramaikah lagi yang perlu terkorban sebelum wabak ini berakhir?

Negara kita sedang berhadapan dengan saat-saat terburuk terhadap kelangsungan kehidupannya sejak kita mencapai Merdeka pada tahun 1957, dan saya seru kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau pegangan politik untuk mengetepikan perbezaan peribadi dan politik dan fokus kepada usaha untuk memenangi perang melawan wabak ini dan menyelamatkan nyawa serta punca pendapatan rakyat Malaysia.

Saya cadangkan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, segera memanggil Persidangan Semua-Parti dan Semua-NGO untuk Menyelamatkan Malaysia dengan rancangan perang lima-mata:

  • Mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam rancangan melawan Covid-19;
  • Mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”;
  • Pakej rangsangan ekonomi baharu untuk membantu golongan miskin dan memerlukan;
  • Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisyen untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini; dan
  • Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai variasi baharu yang merbahaya.

Semua rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk memenangi perang melawan wabak ini.

Saya yakin yang semua parti politik dan NGO bersedia untuk meletakkan kepentingan negara di atas semua perkara, termasuklah parti-parti pembangkang!

Rakyat Malaysia berhak untuk yang lebih baik!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri