#kerajaangagal58 -- KPN baharu Acryl Sani perlu berjaya dalam situasi di mana tujuh KPN sebelum beliau telah gagal -- untuk membawa transformasi PDRM menjadi pasukan polis berkelas dunia dan melaksanakan cadangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Polis 16 tahun lalu dan mengadakan siasatan terbuka untuk semua kes kematian dalam tahanan

KPN baharu Acryl Sani Abdullah Sani perlu berjaya dalam situasi di mana tujuh KPN sebelum beliau telah gagal -- untuk membawa transformasi PDRM menjadi pasukan polis berkelas dunia dan melaksanakan cadangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Polis 16 tahun lalu dan mengadakan siasatan terbuka untuk semua kes kematian dalam tahanan.

Enam belas tahun lalu pada tahun 2005, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Pasukan Polis, yang diketuai oleh seorang mantan Ketua Hakim, Tun Dzaiddin dan KPN dengan tempoh berkhidmat paling lama, Tun Hanif Omar, telah mengatakan dalam laporannya bahawa mereka “memandang berat jumlah kematian dalam tahanan yang berada pada tahap tinggi yang tidak boleh diterima” dan mencadangkan supaya “siasatan diadakan oleh seorang majistret dalam semua kes kematian dalam tahanan dalam masa sebulan selepas kematian dilaporkan”.

Walaupun KPN dengan tempoh khidmat terpanjang adalah merupakan Naib Pengerusi Suruhanjaya Diraja ini, pasukan Polis yang telah diketuai oleh enam orang KPN -- Mohd Bakri Omar, Musa Hassan, Ismail Omar, Khalid Abu Bakar, dan Mohd Fuzi Harun -- kesemuanya tidak berminat dan tidak senang dengan cadangan-cadangan Suruhanjaya tersebut, terutamanya terhadap cadangan pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) -- kecuali KPN yang terakhir, Abdul Hamid Bador yang tidak sempat untuk menubuhkan IPCMC apabila Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik hanya selepas 22 bulan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy, mengatakan kejadian kematian pengawal keselamatan S. Sivabalan dan peniaga susu lembu A. Ganapathy dalam tahanan polis ini tidak akan menjadi kes terakhir kejadian seperti ini.

Perkara ini mungkin benar, tetapi janganlah kita biarkan kematian dua orang ini menjadi kes kematian dalam tahanan yang tidak disiasat secara menyeluruh.

Pemikiran bahawa kakitangan polis imun daripada pendakwaan akibat penyalahgunaan kuasa perlu dihapuskan dalam kalangan pasukan polis, kerana negara kita menghormati kedaulatan undang-undang.

Biarlah KPN Acryl Sani mengumumkan yang semua kes kematian dalam tahanan polis akan disusuli dengan siasatan terbuka, bermula dengan dua kes Sivabalan dan Ganapathy ini, atau adakah beliau perlu pertamanya mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri?

Jika ya, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri perlu menjelaskan pendapat mereka mengenai perkara ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri