#kerajaangagal57 -- Sekiranya persoalan ditanya pada waktu kita mula berhadapan dengan wabak Covid-19 ini 17 bulan yang lepas, apa yang patut dibuat dengan kerajaan yang membiarkan setengah juta rakyat dijangkiti Covid-19 dengan lebih daripada 2,100 mati akibat wabak ini, jawapannya pastilah kerajaan ini tidak layak untuk berkuasa dan mestilah ditukar
Sekiranya persoalan ditanya pada waktu kita mula berhadapan dengan wabak Covid-19 ini 17 bulan yang lepas, apa yang patut dibuat dengan kerajaan yang membiarkan setengah juta rakyat dijangkiti Covid-19 dengan lebih daripada 2,100 mati akibat wabak ini, jawapannya pastilah kerajaan ini tidak layak untuk berkuasa dan mestilah ditukar.
Hari ini, Malaysia melepasi paras setengah juta kes terkumpul Covid-19 dan negara kita mencatatkan 2,149 korban nyawa akibat wabak ini.
Perkara ini menjadi peringatan suram bahawa kita kini sedang berada dalam satu peperangan, walaupun musuh ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan kita kini telah kehilangan 2,149 nyawa setakat semalam dan lebih ramai lagi yang akan terkorban sebelum kita berjaya mengawal wabak ini.
Perkara ini juga menjadi peringatan, bahawa sebelum Kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan secara tidak demokratik, hanya selepas 22 bulan mentadbir, gelombang pertama wabak Covid-19 hanya mencatatkan lima kes Covid-19 dan sifar kematian.
Rakyat Malaysia tidak menjangkakan yang Perikatan Nasional akan menjadi sebuah kerajaan yang seteruk ini, dengan gelombang kedua dan gelombang ketiga yang kini telah menjadi gelombang penularan terpanjang di dunia telah menjangkiti lebih daripada setengah juta orang di negara kita dan mengorbankan lebih daripada 2,100 nyawa -- dan kita masih lagi belum dapat melihat penghujung kepada episod mimpi ngeri ini.
Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19 ini terbukti sebagai satu kegagalan -- digambarkan melalui hakikat bahawa pada 12 Januari, kita mencatatkan 3,309 kes baharu, dengan 131,533 kes terkumpul dan 559 kematian, manakala setakat semalam (21 Mei) kita mencatatkan 6,493 kes baharu, dengan sejumlah 498,795 kes terkumpul dan sejumlah 2,149 kematian.
Apa yang tidak boleh diterima sama sekali adalah Malaysia kini telah menjadi negara ketiga selepas Indonesia dan Filipina dengan jumlah kes terkumpul tertinggi. Lebih buruk lagi, kita telah mengalahkan Indonesia dengan lebih banyak jumlah peningkatan kes harian untuk 10 hari yang lepas dan mengalahkan Filipina dalam ukuran yang sama untuk empat hari yang lepas.
Kita juga telah tergolong dalam 12 negara teratas di dunia dengan peningkatan harian tertinggi, selepas India, Brazil, Argentina, AS, Perancis, Colombia, Iran, Jerman, Turki, Nepal, dan Rusia.
Dari segi jumlah kes terkumpul, kita berada di tempat ke-42, jauh di hadapan berbanding dengan beberapa negara Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik seperti Myanmar (83), Korea Selatan (84), Thailand (90), China (99), Singapura (105), Australia (121), Kemboja (124), Hong Kong (149), Vietnam (167), Taiwan (178) ), New Zealand (180) dan Brunei (202).
Pada kadar peningkatan harian semasa, kita akan mengatasi kedudukan Maghribi dan Lubnan ke tempat ke-40 menjelang hujung bulan ini.
Dalam pandemik Covid-19, Malaysia sepatutnya dibandingkan dengan negara yang mencatatkan prestasi yang lebih baik, sebaliknya kita tergolong bersama dengan negara-negara dengan prestasi terburuk!
Amat mengecewakan apabila mesyuarat Majlis Keselamatan Negara semalam gagal untuk mempertimbangkan tiga cadangan saya untuk permulaan dan strategi baharu untuk melawan Covid-19, iaitu:
- Memanggil semula sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri secepat mungkin untuk membentuk barisan bersatu melawan wabak Covid-19 di mana tidak ada sebarang “usul undi tidak percaya” untuk menggerakkan usaha yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dan mengembalikan kehidupan normal dalam negara kita;
- Menghentikan semua SOP yang tidak tentu arah dan layanan berbeza, termasuklah siasatan polis terhadap golongan anak muda yang berhimpun di hadapan Parlimen pada 30 April untuk menyatakan protes terhadap penggantungan Parlimen dan kumpulan anak muda yang mengadakan protes di Parit Raja, Batu Pahat pada 12 Mei dengan kain rentang yang tertulis “#kerajaangagal” dan juga menghentikan semua gangguan dan sekatan kepada para wartawan, pemimpin protes, dan pengkritik kerajaan; dan
- Mengutamakan usaha untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat dalam strategi negara kita untuk melawan wabak Covid-19, memandangkan tidak ada satu pun kerajaan sebelum ini yang berhadapan dengan defisit kepercayaan sebesar yang dihadapi kerajaan Muhyiddin ini.