#kerajaangagal55 -- Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membenarkan mesyuarat semua Ahli Parlimen dan Adun Johor diadakan bagi membincangkan mengenai situasi semasa wabak Covid-19 seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor semalam dan adakah Perdana Menteri, sebagai Adun Johor, akan memberikan laporan kepada mesyuarat tersebut?

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad telah bertindak atas nasihat Sultan Johor untuk mengadakan mesyuarat melibatkan semua Ahli Parlimen dan Adun Johor pada minggu hadapan bagi membincangkan usaha memperkukuh dan menambah baik segala usaha yang telah dan akan diambil kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan untuk membendung pandemik.

Hasni berkata:

“Perbincangan ini termasuk bagi meningkatkan kapasiti pusat rawatan dan kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) sedia ada dan pusat pemberian vaksin.

"Walaupun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, kerajaan negeri akan memastikan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor memudahkan kelancaran perbincangan itu.”

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membenarkan mesyuarat melibat semua Ahli Parlimen dan Adun Johor diadakan bagi membincangkan mengenai situasi semasa pandemik Covid-19 seperti yang diusulkan oleh Sultan Johor menerusi titahnya semalam dan adakah Perdana Menteri, sebagai Adun Johor, akan membentangkan laporan kepada mesyuarat tersebut?

Yang paling mengejutkan adalah mesyuarat MKN hari ini yang akan memutuskan tentang pelaksanaan “sekatan penuh” di seluruh negara, tidak membabitkan Menteri Besar dan Ketua Menteri, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam.

Di manakah strategi dan pendekatan "keseluruhan kerajaan" dalam perang melawan pandemik Covid-19 jika Menteri Besar dan Ketua Menteri dikecualikan daripada mesyuarat NSC?

Ini lebih-lebih lagi selepas kegagalan dalam melawan pandemik Covid-19 ekoran kurangnya penerapan strategi dan pendekatan melibatkan "keseluruhan masyarakat", walaupun saya telah memberikan cadangan seumpama itu sejak Mei tahun lalu. Dua belas bulan berlalu tanpa kerajaan menyahut cadangan tersebut!

Sebaik-baiknya, MKN harus membatalkan dasar yang salah dan gagal dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan mencadangkan agar sidang Parlimen dan Dewan Negeri segera diadakan untuk membentuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang bersatu dalam perang menentang pandemik Covid-19, di mana tidak ada sebarang “usul tidak percaya” untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” untuk mengembalikan kehidupan normal dalam negara kita; dan

MKN juga perlu berhenti mengumumkan keputusan yang sering berubah-ubah dan layanan berbeza dalam pelaksanaan SOP, termasuk menghentikan semua siasatan polis terhadap kumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan Parlimen pada 30 April bagi memprotes penggantungan Parlimen dan kumpulan anak muda yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Parit Raja, Batu Pahat pada 12 Mei dan mengangkat sepanduk besar dengan tulisan "#kerajaangagal" serta menamatkan semua penindasan dan gangguan terhadap wartawan, pemimpin protes dan pengkritik kerajaan.

MKN juga harus memberikan keutamaan kepada usaha untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap strategi negara dalam melawan pandemik Covid-19, kerana tidak ada dalam sejarah Malaysia di mana sesebuah kerajaan itu menanggung defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang begitu teruk seperti yang dialami kerajaan Muhyiddin hari ini.

Malaysia menghadapi situasi pandemik Covid-19 yang sangat mengerikan, dan ini dapat dirasai menerusi kenyataan mengejutkan Exco Kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman bahawa kakitangan perubatan akan terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

Hayati berkata, pesakit yang sakit kronik dan tiada harapan untuk sembuh di Kedah tidak lagi akan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), kerana bilangan katil ICU yang semakin berkurang di negeri itu.

Keadaan ini melibatkan kedua-dua pesakit Covid-19 dan juga bukan pesakit Covid-19.

Semalam, kita memecahkan rekod semalam dengan 6,806 kes baharu Covid-19 dengan angka kematian akibat wabak itu kini memecah 2,040 orang.

Selama sembilan hari berturut-turut, angka kes harian baharu Covid-19 di Malaysia mengatasi Indonesia; sehinggakan Kerajaan Indonesia menggunakan negara kita bersama dengan India sebagai contoh negara yang gagal menguruskan wabak ini dengan baik.

Malaysia menyaksikan lonjakan kes Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya. Sebaliknya, di Amerika Syarikat, negara terburuk di dunia dengan kes dan kematian akibat Covid-19 terbanyak, menyaksikan perubahan yang ketara, daripada 304,190 kes baharu pada 8 Januari kepada 28,435 kes semalam - penurunan besar sebanyak 91%!

Di Amerika Syarikat, kes Covid-19 mencatatkan penururan di semua 50 negeri di negara itu untuk pertama kalinya sejak wabak itu tercetus, menatijahkan kenyataan oleh penasihat kanan White House Covid-19, Andy Slavitt yang mengisytiharkan bahawa Amerika telah "memenangi perang terhadap virus tersebut.”

Bayangkan, Amerika Syarikat sudah mula mengisytiharkan kemenangan dalam perang melawan pandemik Covid-19 sementara kita di Malaysia masih teruk dilanda wabak itu!

Bahkan India telah mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 daripada 414,433 kes pada 6 Mei kepada 274,030 pada 19 Mei - penurunan mendadak sebanyak 34% dalam masa dua minggu.

Apa yang lebih mengecewakan rakyat Malaysia adalah hakikat bahawa kita telah tewas dengan England, Itali, Sepanyol serta negara-negara Eropah yang teruk dilanda wabak itu pada tahun lalu. Peningkatan kes harian baharu Covid-19 di UK semalam adalah 2,696 kes, Itali 5,506 kes dan Sepanyol 6,080 kes berbanding Malaysia 6,806 kes.

Malaysia berada di kedudukan ke-42 antara negara-negara di dunia dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi, malah menjadi negara ke-12 di dunia dengan kenaikan kes harian Covid-19 tertinggi selepas India (276,261 kes baru), Brazil (79,706), Argentina (39,651), Amerika Syarikat (28,435), Perancis (19,050), Colombia (16,579). Iran (12,789), Jerman (11,881), Turki (11,553), Nepal (8,604) dan Rusia (7,920).

Adakah mesyuarat MKN pagi ini akan mengorak langkah baharu dalam menerapkan strategi dan pendekatan baharu dalam perang melawan pandemik Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri