#kerajaangagal54 -- Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor wajar menyokong titah Sultan Johor untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu

Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor wajar menyokong titah Sultan Johor untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.

Sultan Johor sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini, namun baginda berpandangan mesyuarat dapat dilaksanakan dalam bentuk lain dan dipengerusikan oleh menteri besar.

Titah baginda: "Melalui perbincangan ini, semua ahli Parlimen dan Adun boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor.”

Saya mencadangkan agar mesyuarat ini dirasmikan oleh Sultan Johor dan diadakan pada akhir bulan ini, kerana pandemik Covid-19 merebak dengan pantas, dan jika ramalan Kementerian Kesihatan terbukti benar, maka kita akan menyaksikan peningkatan kes harian sebanyak 8,000 kes menjelang Julai.

Selama sembilan hari berturut-turut, angka kes harian baharu Covid-19 di Malaysia mengatasi Indonesia; sehinggakan Kerajaan Indonesia menggunakan negara kita bersama dengan India sebagai contoh negara yang gagal menguruskan wabak ini dengan baik.

Pagi ini, saya berkata bahawa " semalam merupakan hari terburuk dalam 17 bulan pandemik Covid-19", dengan peningkatan kes harian baharu Covid-19 di Malaysia semalam melintasi dua jumlah besar sekaligus, iaitu 5,000 dan 6,000 kes, mencipta rekod baharu bagi kes baharu Covid-19.

Hari ini kita memecahkan rekod semalam dengan 6,8006 kes baharu Covid-19 dengan angka kematian akibat wabak itu kini memecah 2,040 orang.

Sekiranya keadaan Covid-19 sekarang berterusan, kita akan mencapai angka setengah juta dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada Sabtu, 22 Mei 2021.

Malaysia menyaksikan lonjakan kes Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya. Sebaliknya, di Amerika Syarikat, negara terburuk di dunia dengan kes dan kematian akibat Covid-19 terbanyak, menyaksikan perubahan yang ketara, daripada 304,190 kes aktif pada 8 Januari kepada 28,435 kes aktif semalam - penurunan besar sebanyak 91%!

Semalam di Amerika Syarikat, kes Covid-19 mencatatkan penururan di semua 50 negeri di negara itu untuk pertama kalinya sejak wabak itu tercetus, menatijahkan kenyataan oleh penasihat kanan White House Covid-19, Andy Slavitt yang mengisytiharkan bahawa Amerika telah "memenangi perang terhadap virus tersebut.”

Bahkan India telah mencatatkan penurunan daripada 414,433 kes pada 6 Mei kepada 274,030 pada 19 Mei - penurunan mendadak sebanyak 34% dalam masa dua minggu.

Apa yang lebih mengecewakan rakyat Malaysia adalah hakikat bahawa kita telah tewas dengan England, Itali, Sepanyol serta negara-negara Eropah yang teruk dilanda wabak itu pada tahun lalu. Peningkatan kes harian baharu Covid-19 di UK semalam adalah 2,696 kes, Itali 5,506 kes dan Sepanyol 6,080 kes berbanding Malaysia 6,806 kes.

Malaysia berada di kedudukan ke-42 antara negara-negara di dunia dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi, malah menjadi negara ke-12 di dunia dengan kenaikan kes harian Covid-19 tertinggi selepas India (276,261 kes baru), Brazil (79,706), Argentina (39,651), Amerika Syarikat (28,435), Perancis (19,050), Colombia (16,579). Iran (12,789), Jerman (11,881), Turki (11,553), Nepal (8,604) dan Rusia (7,920).

Pada kadar kenaikan kes harian baharu Covid-19 ini, Malaysia bakal mengatasi Maghribi dan Lubnan untuk berada di tangga ke-40 dunia dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi.

Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata di Kota Bahru bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat di Kuala Lumpur esok untuk memutuskan sama ada kerajaan akan melaksanakan "sekatan penuh (total lockdown)” untuk membendung penyebaran Covid-19.

MKN dilihat sangat tidak bertanggungjawab kerana menangguhkan mesyuarat sepenting itu sehingga esok kerana keadaan Covid-19 di negara ini semakin memburuk sejak dua minggu yang lalu.

MKN mesti menerima hakikat bahawa pengisytiharan darurat pada 12 Januari merupakan satu kegagalan dan bukan penawar yang dicari untuk menangani pandemik Covid-19. Kerajaan seharusnya mempertimbangkan cadangan saya iaitu untuk memulakan strategi baru bagi membendung pandemik Covid-19, umpanya:

Pertama, memanggil sidang Parlimen untuk membentuk barisan Parlimen yang bersatu dalam melawan wabak Covid-19 ini, di mana tidak ada sebarang “usul tidak percaya” untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” untuk mengembalikan kehidupan normal dalam negara kita; dan

Kedua, menamatkan semua dasar flip-flop dan dwistandard dalam pelaksanaan SOP, termasuk menghentikan semua siasatan polis terhadap kumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan Parlimen pada 30 April bagi memprotes penggantungan Parlimen dan kumpulan anak muda yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Parit Raja, Batu Pahat pada 12 Mei dan mengangkat sepanduk besar dengan tulisan "#kerajaangagal". Tamatkan juga semua penindasan dan gangguan terhadap wartawan, pemimpin protes dan pengkritik kerajaan.

Perkara-perkara ini harus menjadi agenda terpenting dalam mesyuarat MKN esok.

Sekurang-kurangnya, MKN harus menyatakan bahawa mereka tidak keberatan untuk menjunjung titah Sultan Johor agar mesyuarat melibatkan semua Ahli Parlimen dan Adun Johor bagi membincangkan masalah penularan Covid-19 di negeri itu dapat dilaksanakan.

Menteri Besar Johor harus mula bertindak untuk mengadakan mesyuarat tersebut pada akhir bulan ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri