#kerajaangagal53 - Hari terburuk dalam 17 bulan pandemik Covid-19, menembusi angka 2,000 untuk kematian dan mengejar angka setengah juta kes Covid-19 terkumpul yang mungkin akan dicapai pada 22 Mei sementara Amerika Syarikat, negara terburuk di dunia dengan kes Covid-19 terbanyak, mengisytiharkan bahawa mereka telah menang dalam 'perang melawan virus'
Semalam adalah hari terburuk dalam 17 bulan pandemik Covid-19, menembusi angka 2,000 untuk kematian dan mengejar angka setengah juta kes Covid-19 terkumpul yang mungkin akan dicapai pada 22 Mei sementara Amerika Syarikat, negara terburuk di dunia dengan kes Covid-19 terbanyak, mengisytiharkan bahawa mereka telah menang dalam "perang melawan virus".
Mengapa Amerika Syarikat isytihar "kemenangan dalam perang melawan Covid-19" sedangkan kita di Malaysia tewas?
Untuk hari kelapan berturut-turut, peningkatan harian kes baharu Covid-19 di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Indonesia, dengan Malaysia melaporkan 6,075 kes sementara Indonesia melaporkan 4,871 kes semalam.
Bahkan India telah mencatatkan penurunan daripada 414,433 kes pada 6 Mei kepada 274,030 pada 19 Mei - penurunan mendadak sebanyak 34% dalam masa dua minggu.
Peningkatan harian kes baharu Covid-19 di Malaysia semalam melintasi dua jumlah besar sekaligus, iaitu 5,000 dan 6,000 kes, mencipta rekod baru bagi kes baharu Covid-19.
Adakah ramalan Kementerian Kesihatan pada hari Rabu lalu bahawa kita akan merekodkan lebih 8,000 kes Covid-19 pada bulan Jun akan benar-benar menjadi kenyataan?
Semalam di Amerika Syarikat, kes Covid-19 mencatatkan penururan di semua 50 negeri di negara itu untuk pertama kalinya sejak wabak itu tercetus, menatijahkan kenyataan oleh penasihat kanan White House Covid-19, Andy Slavitt yang mengisytiharkan bahawa Amerika telah "memenangi perang terhadap virus tersebut.”
"Dan kami memerlukan anda untuk membantu kami menyelesaikan tugas ini," tambahnya.
Pun begitu, walaupun berlaku penurunan kes, pandemik masih belum reda. Tidak di seluruh dunia, bahkan tidak di AS. Virus ini masih membunuh sekitar 600 orang di AS dan 12,458 orang di dunia setiap hari, berdasarkan jumlah purata selama seminggu terakhir, menurut data Universiti Johns Hopkins.
Tetapi sejumlah besar kes dan kematian Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya telah menunjukkan kegagalan kerajaan dalam menerapkan strategi yang tepat dalam perang melawan pandemik Covid-19, kerana mereka akhirnya mengakui kegagalan mereka dan disusuli dengan pengisytiharan darurat pada 12 Januari 2021.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta rakyat untuk menaruh kepercayaan kepada kerajaan dalam menguruskan dana RM5 bilion dari Tabung Amanah Negara (Kwan) yang telah digunakan oleh kerajaan untuk membiayai program vaksinasi Covid-19.
Apa yang harus disedari oleh Tengku Zafrul dan Kabinet adalah bahawa kerajaan Muhyiddin telah hilang kepercayaan dan keyakinan masyarakat ketika awal-awal konspirasi Langkah Sheraton digerakkan, yang seterusnya membentuk sebuah kerajaan pintu belakang, tidak demokratik dan tidak sah, dengan pelbagai dasar flip-flop dan dwistandard dalam pelaksanaan SOP Covid-19 selain penyalahgunaan kuasa dan kakistokrasi.
Jika tidak, pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPD tentu tidak akan menimbulkan kemarahan netizen di media sosial yang dengan kreatif menjadikan pengumuman pelaksanaan perintah tersebut sebagai bahan jenaka.
Menambah garam ke luka, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bergerak sangat lambat dan perlahan berbanding Indonesia, kerana setelah tiga bulan pelancaran program pemberian vaksin, hanya 2.4% rakyat Malaysia telah divaksinasi sepenuhnya sementara hanya 3.9% rakyat Malaysia yang menerima satu dos vaksin.
Perkara yang paling penting yang perlu dilakukan kerajaan untuk berjaya dalam perang melawan pandemik Covid-19 adalah dengan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap strategi yang diterapkan kerajaan dalam perang melawan pandemik Covid-19 kerana kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan Muhyiddin telah merosot dengan begitu ketara.
Saya telah memberikan dua cadangan untuk menangani defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap kerajaan Muhyiddin dalam perang melawan pandemik Covid-19:
Pertama, mengadakan sidang Parlimen untuk menjadikan Parlimen sebagai barisan hadapan dalam perang melawan pandemik Covid-19 di mana tidak akan ada gerakan "undi tidak percaya" di Parlimen dan untuk menerajui gerakan nasional dalam menerapkan strategi "keseluruhan masyarakat" supaya negara dapat kembali kepada keadaan sedia kala; dan
Kedua, menamatkan semua dasar flip-flop dan dwistandard dalam pelaksanaan SOP, termasuk menghentikan semua siasatan polis terhadap kumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan Parlimen pada 30 April bagi memprotes penggantungan Parlimen dan kumpulan anak muda yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Parit Raja, Batu Pahat pada 12 Mei dan mengangkat sepanduk besar dengan tulisan "#kerajaangagal".
Tamatkan juga semua penindasan dan gangguan terhadap wartawan, pemimpin protes dan pengkritik kerajaan.
Adakah Muhyiddin mampu mengorak langkah baharu dalam perang melawan pandemik Covid-19?