#kerajaangagal51 -- Program vaksinasi yang lambat akan membawa dua masalah besar, pada masa yang sama, mampukah Muhyiddin untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau?

Ada perkara yang tidak kena dengan strategi negara kita dalam melawan wabak Covid-19.

Pertamanya, untuk tujuh hari berturut-turut, Malaysia mencatatkan jumlah kes baharu yang lebih tinggi berbanding dengan Indonesia, dengan negara kita mencatatkan 4,865 kes semalam, berbanding dengan 4,185 kes di Indonesia. Dalam tempoh satu minggu yang lepas sahaja, jumlah pertambahan kes di Malaysia adalah sebanyak 30,982 kes berbanding dengan 24,637 kes di Indonesia.

Perkara ini amat sukar untuk diterima, hakikat bahawa untuk tujuh hari berturut-turut, negara kita mencatatkan kadar peningkatan kes harian yang lebih tinggi berbanding dengan Indonesia, sedangkan Indonesia mempunyai sembilan kali ganda lebih ramai penduduk.

Tidak mengejutkanlah bahawa kerajaan Indonesia merasakan patut untuk mereka memberikan amaran kepada rakyatnya untuk tidak mencontohi India dan Malaysia -- yang telah tersilap langkah dalam mengawal wabak Covid-19 -- untuk terus berjaga-jaga semasa tempoh sambutan Hari Raya.

Walaupun Indonesia juga kini sedang bimbang dengan pergerakan berjuta rakyatnya yang pulang daripada berhari raya di seluruh negara, menjadikan satu risiko besar selepas perkumpulan beramai-ramai dan dengan kemunculan variasi virus baharu, negara tersebut masih dapat berbangga selama sekurang-kurangnya seminggu apabila mereka mencatatkan jumlah peningkatan yang lebih rendah berbanding dengan negara kita.

Kedua, dua negara teratas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia -- Amerika Syarikat dengan 33.7 juta kes dan India dengan 25.2 juta kes -- sedang mula menunjukkan peralihan arah kepada yang lebih baik, kita terus menyaksikan peningkatan lekuk kes Covid-19.

Amerika Syarikat yang menyaksikan kemuncak 304,204 kes baharu pada 8 Januari kini telah menurunkan kadar peningkatan kes kepada 21,736 kes pada 16 Mei -- satu penurunan mendadak sebanyak 93%!

India, yang menyaksikan kemuncak 414,433 kes (rekod dunia) pada 6 Mei, telah menyaksikan penurunan kepada 263,045 kes pada 17 Mei, penurunan mendadak sebanyak 38% dalam 11 hari!

Malah United Kingdom yang sebelum ini menyaksikan kemuncak 67,873 kes sehari pada 8 Januari telah menurunkan kadar kes baharu mereka kepada 1,979 kes sehari pada 17 Mei -- satu lagi penurunan mendadak sebanyak 97%!

Tetapi Malaysia terus terkecuali dan kita terus menyaksikan peningkatan kes baharu di atas kadar 4,000 kes sehari untuk enam daripada tujuh hari yang lepas!

Sekiranya perkara ini bukan satu kegagalan strategi melawan Covid-19, saya tidak lagi tahu apakah maksud kegagalan!

Saya tidak akan meminta kerajaan Muhyiddin untuk memberikan penjelasan mengenai perkara ini, kerana jelas sekali mereka tidak akan boleh berbuat demikian.

Perkara ini mendedahkan keburukan yang telah dibawa oleh kerajaan Muhyiddin dalam menguruskan wabak Covid-19 dalam negara kita, mendedahkan kelemahan kita dalam usaha untuk kita menuntut status negara maju atau negara yang pesat membangun.

Proses vaksinasi yang lambat juga menjadi satu lagi kelemahan besar dalam strategi melawan Covid-19 kita.

Sehingga hari ini, selepas hampir tiga bulan program ini bermula, hanya 2.3 peratus populasi telah menerima dos penuh vaksinasi manakala hanya 3.8% populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Untuk perbandingan, 3.5% populasi di Indonesia yang telah menerima vaksinasi lengkap dan 5.2% peratus yang telah menerima sekurangnya satu dos. Manakal di Singapura, 25.3% peratus populasi telah menerima vaksinasi lengkap dan 34.5% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Akan terdapat sekurang-kurangnya dua kesan buruk daripada program vaksinasi yang lambat ini.

Pertama, akan menjadi sukar untuk negara kita mencapai imuniti kelompok terhadap virus Covid-19 ini. Untuk mendapat imuniti kelompok, kita perlu memberikan vaksin kepada 60-70% populasi dalam negara. Setakat ini, pakar perubatan berpendapat bahawa imuniti yang diberikan oleh vaksin ini mungkin hanya akan bertahan selama 6 ke 8 bulan dan kerana pelaksanaan vaksinasi kita amat lambat, apabila kita sudah berjaya memberikan vaksin kepada kumpulan terakhir penerima, imuniti kumpulan pertama yang menerima vaksin mungkin akan sudah tidak lagi berkesan.

Kedua, dalam perlumbaan melawan masa dengan vaksin ini, dengan penularan yang lebih meluas, akan terdapat lebih banyak peluang untuk virus ini bermutasi dan mewujudkan variasi baharu yang mungkin akan mendapat kekebalan daripada vaksin sedia ada, mengancam proses untuk mengekang penularan wabak ini.

Namun, masalah sebenar dalam perang melawan wabak ini adalah ketiadaan kepimpinan dan kekurangan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Muhyiddin berhadapan dengan defisit kepercayaan dan keyakinan yang terburuk dalam sejarah negara, akibat daripada pelbagai kejadian di mana prosedur operasi standard (SOP) sering berubah-ubah, layanan berbeza untuk golongan kenamaan, dan kakistokrasi dalam kerajaan.

Dengan peningkatan mendadak jumlah kes dan kegagalan untuk mengawal penularan wabak ini, kita sedang mengkhianati usaha para petugas barisan hadapan yang berkorban setiap hari untuk mengawal wabak ini.

Masalah pertama yang perlu diselesaikan untuk meneruskan perjuangan melawan Covid-19 ini adalah untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap strategi kita untuk memerangi wabak ini.

Bolehkah untuk Muhyiddin dan kerajaan pintu belakangnya yang tidak demokratik, tidak sah, dan kakistokratik ini mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat awam kepadanya untuk memimpin usaha melawan wabak Covid-19 ini?

Boleh, sekiranya beliau melakukan dua perkara:

Pertama, panggil sidang Parlimen untuk membentuk barisan Parlimen yang bersatu dalam melawan wabak Covid-19 ini, di mana tidak ada sebarang “usul tidak percaya” untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” untuk mengembalikan kehidupan normal dalam negara kita; dan

Keduanya, menghentikan segala SOP yang kucar-kacir dan sering berubah serta layanan berbeza kepada golongan kenamaan, termasuklah untuk menghentikan siasatan terhadap golongan belia yang melakukan protes aman di hadapan Parlimen pada 30 April dan golongan belia yang mengadakan protes di Parit Raja, Batu Pahat pada 12 Mei dengan kain rentang yang tertulis “#kerajaangagal”.

Polis telah mengatakan kejadian di Parit Raja, Batu Pahat itu sebagai satu “rusuhan” -- sedangkan tidak ada sebarang kerosakan harta benda dilaporkan -- dan telah menahan sekurang-kurangnya 27 orang yang didakwa terlibat.

Adakah Muhyiddin boleh membuat permulaan baharu dalam perang melawan wabak Covid-19 ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri