#kerajaangagal47 -- Memandangkan Sarawak dibenarkan untuk menguruskan perolehan vaksin Covid-19 sendiri, Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan monopolinya terhadap pemerolehan vaksin dan membenarkan kerajaan negeri lain juga untuk memperoleh vaksin untuk diberikan kepada rakyat secara percuma
Salah satu strategi utama kita dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah untuk mempercepatkan usaha vaksinasi kebangsaan yang buat masa ini bergerak dengan perlahan, terutamanya dengan kemunculan pelbagai variasi baharu Covid-19 yang memaksa kita untuk bertindak dengan lebih pantas.
Wabak koronavirus ini adalah satu perkara yang sentiasa bergerak.
Pada peringkat awal wabak ini, saintis di seluruh dunia, termasuklah Dr Michael Ryan, Ketua Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, memberikan amaran bahawa wabak ini mungkin akan berkekalan.
Sepanjang tahun 2020, ramai saintis terkejut dan berasa yakin apabila koronavirus ini tidak berubah secara signifikan untuk merebak dengan lebih pantas atau menjadi lebih merbahaya.
Dengan perkembangan pesat dalam pembangunan vaksin, beberapa orang saintis berharapan yang kita mungkin akan berjaya menghapuskan wabak ini sama sekali, sekiranya usaha vaksinasi dapat dijalankan dengan cukup pantas.
Namun, perasaan optimis ini tidak berkekalan. Pada akhir bulan Disember, UK memberikan amaran mengenai variasi baharu Covid-19 yang merebak dengan lebih pantas di negara tersebut. Pada sekitar waktu yang sama, para penyelidik mula memahami impak variasi yang merebak dengan lebih pantas di Afrika Selatan dan Brazil, dan baru-baru ini pula, di India.
Menjelang awal Januari, bermulalah satu bab baharu dalam wabak Covid-19 ini, di mana negara-negara di seluruh dunia perlu sentiasa cuba mengenal pasti variasi baharu yang mungkin akan mengurangkan kesan vaksin.
Kini, kebanyakan para saintis telah berubah fikiran, mereka tidak lagi merasakan yang wabak ini dapat dihapuskan sepenuhnya.
Sekarang, umat manusia berada dalam satu perlumbaan melawan masa dan perkara ini perlu diambil kira oleh Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, untuk memastikan program ini dipercepatkan.
Dua bulan yang lepas, dalam kenyataan media saya yang bertarikh 22 Mac 2021, saya bertanya:
“Bolehkah kita memastikan bahawa kita dapat mengekalkan kes harian Covid-19 dalam lingkungan tiga angka dan menurunkan kes positif Covid-19 ke julat dua angka pada bulan April, sekaligus menamatkan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang berlarutan tujuh bulan lamanya sejak awal September tahun lalu -- di mana harapnya kita hanya akan mencatatkan 62 kes baharu Covid-19 pada Hari Malaysia, 16 September 2021 nanti.
“Bolehkah kita menjamin bahawa sebelum gelombang ketiga Covid-19 dapat dikawal dan angka kes kembali menurun ke dua digit setiap hari, tidak akan berlaku gelombang keempat pandemik Covid-19 di Malaysia yang mencatatkan rekod kes tertinggi seperti mana pada 30 Januari lalu dengan 5,728 kes.
“Bolehkah kita memastikan kejayaan Kempen Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan mempercepat serta menyiapkannya menjelang waktu sambutan Hari Kebangsaan - Hari Malaysia di antara 31 Ogos ke 16 September 2021 supaya ekonomi dapat dipulihkan dan kehidupan rakyat dapat kembali normal secepat mungkin.”
Persoalan ini adalah sebelum dunia menyedari sepenuhnya mengenai variasi-variasi merbahaya virus Covid-19 ini. Kini, dengan pengetahuan di seluruh dunia, semakin penting untuk kita mempercepatkan pelaksanaan PICK, dan cadangan saya ini perlulah dipertimbangkan.
Untuk mencapat imuniti kelompok, kita perlu memastikan sekurang-kurangnya 60-70% populasi dalam negara diberikan vaksin sepenuhnya. Setakat ini, pakar perubatan menjangkakan imuniti vaksin ini hanya akan bertahan selama 6 ke 8 bulan.
Sekiranya imuniti ini hanya bertahan selama 6 ke 8 bulan, dengan kadar vaksinasi kita yang lambat ini, apabila tiba masanya kumpulan terakhir divaksinasi, kumpulan pertama yang menerima vaksin akan melepasi tempoh kekebalan vaksin mereka.
Adakah kita akan mencapai imuniti kelompok dengan cara ini?
Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan yang mereka akan menerima 500,000 dos vaksin Sinovac dalam masa seminggu lagi dan mereka telah memperoleh tambahan sebanyak 500,000 dos lagi.
Memandangkan Sarawak dibenarkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka sendiri, Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan monopolinya terhadap pemerolehan vaksin dan semua kerajaan negeri perlu dibenarkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 untuk diedarkan secara percuma kepada rakyat supaya kita dapat melengkapkan proses vaksinasi ini secepat mungkin dan mencapai imuniti kelompok.
Pada Hari Raya Aidilfitri, didedahkan bahawa selepas tujuh bulan mengenal pasti kes-kes Covid-19 dalam Kluster Hentian, Kementerian Kesihatan akhirnya mengumumkan bahawa kluster ini telah tamat memandangkan tidak ada kes baharu didaftarkan lagi untuk tempoh 28 hari berturut-turut. Kluster ini adalah satu daripada 12 kluster yang telah diumumkan tamat.
Seorang rakan yang merupakan seorang doktor bertanya:
“Perkara ini memberikan gambaran bahawa “pasukan jejakan” kita kekurangan kakitangan. Saya pasti yang KKM sedar bahawa “pasukan jejakan kontak rapat” ini amat penting, jika tidak lebih penting berbanding dengan pasukan ujian saringan dan pasukan rawatan.
“Dalam usaha kita untuk mengawal penularan wabak ini, kita perlukan orang di lapangan untuk mencari dari mana wabak ini tular dan di mana ia menyorok. Tugas ini adalah tanggungjawab yang sukar dan selalunya tidak diberikan penghargaan yang sepatutnya. Adakah KKM berhadapan dengan kekurangan kakitangan penjejakan kontak rapat?
“Kita semua amat bimbang memandangkan masih terdapat beratus kluster yang aktif di seluruh negara. Pada hari Jumaat, KKM melaporkan sejumlah 461 daripada 1,861 masih aktif. KKM juga melaporkan 13 kluster baharu. Sekiranya kita mengambil masa selama 7 bulan untuk menamatkan satu kluster, dengan tenaga kerja penjejakan kontak rapat sedia ada, adakah kita akan mengambil masa 3,000 bulan untuk menamatkan krisis kesihatan ini?
“Pastinya Ketua Pengarah Kesihatan perlu meminta kerajaan untuk menggajikan lebih ramai kakitangan (mungkin kakitangan sementara) untuk membantu, supaya kita boleh menamatkan kluster-kluster dalam tempoh beberapa minggu, atau pun hari.
“Mungkin juga ‘bos’ patut melawat pasukan penjejakan kontak rapat ini untuk menyampaikan perhargaan kepada mereka secara terus, dan meningkatkan moral mereka. Mereka semua sedang menjalankan tugas yang amat sukar tetapi penting dan pastinya mereka akan gembira apabila diberikan penghargaan.”
Mungkin kita boleh dapatkan respons daripada pihak berkuasa yang berkenaan?