#kerajaangagal43 -- Adakah Muhyiddin bersedia untuk memanggil Parlimen bersidang untuk memacu usaha sama semua parti politik untuk merangka strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19

Semalam negara kita menyaksikan hari kedua terburuk dalam perang melawan wabak Covid-19 dengan 34 kematian dilaporkan -- hanya beberapa hari selepas kita menyaksikan 39 kematian dalam sehari, sejak daripada bermulanya wabak ini pada Januari lepas.

Angka terkini ini membawa jumlah keseluruhan akibat Covid-19 di negara kita kepada 1,822 kematian.

Pastinya ramai rakyat Malaysia yang bimbang, dalam hari, minggu, dan bulan yang akan datang ini, sama ada kita akan melihat keadaan menjadi lebih baik atau lebih buruk, sama ada kadar kematian ini akan memecahkan siling 100 kematian sehari?

4,113 kes baharu semalam mencatatkan hari ketiga berturut-turut negara kita menyaksikan peningkatan harian di atas paras 4,000 kes, diikuti oleh 4,855 dan 4,765 kes pada dua hari sebelumnya, membawa jumlah kes keseluruhan dalam negara kepada 462,190 kes.

Perkara ini membawa kepada suasana suram dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dan menimbulkan persoalan serius sama ada kerajaan kakistokratik Muhyiddin ini mampu untuk mengawal wabak Covid-19 dalam negara kita.

Konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang berusia 22 bulan ini akan diingati dalam sejarah sebagai peristiwa yang membawa masuk kerajaan yang paling teruk dalam sejarah negara kita.

Boleh dikatakan yang Malaysia mungkin akan berhadapan dengan nasib yang lebih baik dan dapat mengelakkan gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19 ini sekiranya Langkah Sheraton tidak menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, malah Malaysia di bawah pentadbiran PH mungkin akan digolongkan bersama dengan kisah-kisah kejayaan di Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik, seperti Singapura, Australia, New Zealand, China, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Taiwan, atau Kemboja.

Mengapakah negara kita telah mencatatkan prestasi seburuk ini, sehinggakan kerajaan Indonesia memberikan amaran kepada rakyatnya untuk mengambil iktibar daripada Malaysia dan India dan untuk duduk di rumah dan berjaga-jaga semasa sambutan hari raya untuk mengelakkan penularan buruk di sana?

Dalam gelombang pertama penularan wabak Covid-19 di Malaysia, kita mencatatkan sifar kematian. Dalam gelombang kedua yang berakhir pada 1 September, kita mencatatkan 128 kematian.

Kita menyaksikan sifar kematian antara 1 sehingga 17 September, apabila segalanya mula menjadi teruk dengan kedatangan gelombang ketiga yang berpunca daripada kerakusan Perikatan Nasional yang menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lepas.

Gelombang ketiga wabak ini telah mengorbankan 1,694 nyawa;

Setakat 31 Ogos - 128
September 2020 - 8
Oktober 2020 - 113
November 2020 - 111
Disember 2020 - 111
Januari 2021 - 289
Februari 2021 - 370
Mac 2021 - 142
April 2021 - 224
Mei (setakat 14 Mei) - 316
Jumlah - 1,822

Daripada kadar kematian bulan di atas, kita dapat lihat dengan jelas bahawa perintah darurat yang diumumkan pada 12 Januari 2021 telah gagal untuk mengawal gelombang ketiga penularan wabak ini.

Walaupun ia berjaya untuk beberapa hari bagi mengelakkan gelombang ketiga ini mencapai kemuncaknya, kita kini kembali kepada peningkatan mendadak dengan kadar kes baharu melebihi paras 4,000 kes sehari dan kadar kematian yang memecahkan rekod.

Malah, Kementerian Kesihatan sendiri kini menjangkakan lebih daripada 8,000 kes sehari menjelang bulan Jun sekiranya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tidak dipatuhi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan menjangkakan 5,000 kes sehari menjelang Jun.

Adakah Muhyiddin bersedia untuk memanggil Parlimen bersidang untuk memacu usaha sama semua parti politik untuk merangka strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19?

Saya tidak mempunyai sebarang ragu-ragu, bahawa gabungan Pembangkang dari mana-mana parti sekalipun akan memberikan respons positif memandangkan usaha untuk memastikan negara kita tidak menjadi seperti India atau Nepal adalah satu tugas utama untuk semua rakyat Malaysia yang bersifat patriotik!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri