#kerajaangagal37 -- Malaysia telah gagal mengawal pandemik Covid-19
Dengan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 448,457 kes, dan peningkatan harian kes baharu Covid-19 sebanyak 3,978 kes, kita berada di kedudukan ke-42 antara negara dengan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia.
Nepal, yang kini berada di kedudukan ke-44 dengan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 413,411 kes dengan peningkatan harian kes Covid-19 sebanyak 9,317 kes, sedang memintas kita. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga sedang memintas Maghribi, Lubnan dan Emiriah Arab Bersatu untuk berada di kedudukan ke-40 dengan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia.
Di Asia Timur, ASEAN dan Asia Pasifik, kita hanya tewas kepada Indonesia, Filipina dan Jepun.
Amat memalukan untuk Malaysia apabila pihak berkuasa Indonesia menyamakan Malaysia dengan India sebagai contoh kegagalan menguruskan Covid-19, sambil memberi amaran kepada rakyatnya untuk kekal berada di rumah dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak tersebut menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Apakah sebab untuk Indonesia membuat amaran seumpama itu dengan memetik nama Malaysia?
Saya cuma boleh terfikir satu sebab iaitu kadar pemberian suntikan vaksin di setiap negara.
Di Indonesia, 3.2% rakyatnya telah diberikan suntikan vaksin sepenuhnya, sementara 5.0% rakyatnya telah diberikan satu suntikan vaksin dengan kadar harian suntikan vaksin sebanyak 260,112 dos, sementara Malaysia, hanya 2.1% dari penduduknya telah diberikan suntikan vaksin sepenuhnya, sementara 3.3% penduduknya telah diberikan satu suntikan vaksin dengan kadar harian suntikan vaksin sebanyak 42,968 dos.
Putrajaya pada awalnya menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada 75,000 orang sehari di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaaan, namun tersasar daripada sasaran itu.
Mengapa?
Ini sebabnya mengapa Khairy Jamaluddin yang merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi menguruskan vaksin, perlu mempergiat dan mempercepatkan lagi kempen imunisasi Covid-19 kebangsaan.
Amat tidak munasabah untuk Menteri Kanan, Ismail Sabri, mempertahankan pengumuman SOP yang berubah dari masa ke semasa, dengan memberi alasan kononnya kerajaan perlu membuat penyesuaian berdasarkan keadaan semasa.
Apabila darurat diisytiharkan bagi melawan pandemik Covid-19 di Malaysia pada 12 Januari 2021, peningkatan harian kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 3,309 kes dengan empat kematian. Kira-kira empat bulan kemudian pada 11 Mei, negara merekodkan peningkatan harian kes baharu Covid-19 sebanyak 3,973 kes dengan 22 kematian.
Pada 12 Januari 2021, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 untuk 12 bulan sebelumnya adalah sebanyak 141,553. Dalam tempoh empat bulan sejak pengisytiharan darurat, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat lebih tiga kali ganda kepada 448,457 kes dan jumlah kumulatif kematian meningkat dari 559 kepada 1,722 kematian.
Adalah jelas bahawa kerajaan Malaysia telah gagal untuk membendung wabak ini.
Apakah kaitan kenyataan “kerajaan perlu membuat penyesuaian berdasarkan keadaan semasa” dengan keputusan tidak saintifik untuk melarang aktiviti senaman di luar dan sukan tanpa sentuhan di bawah PKP 3.0.
Malah, pakar penyakit berjangkit, Dr Adeeba Kamarulzaman, yang baru-baru ini dilantik untuk menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memberi reaksi pantas dan menunjukkan bahawa risiko dijangkiti Covid-19 di kawasan terbuka 18 kali ganda lebih rendah berbanding di tempat tertutup.
Atau keputusan yang paling cacat untuk menggunakan sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk menutup pusat membeli-belah dan pasar raya. Sistem HIDE meramalkan potensi titik panas baru selama tujuh hari mendatang berdasarkan data yang dikumpulkan oleh aplikasi mudah alih MySejahtera tetapi "blindspots" menyebabkannya hanya pusat membeli-belah dan pasar raya utama diletakkan sebagai berisiko tetapi tidak kilang dan tapak pembinaan - apabila data menunjukkan bahawa pusat membeli-belah menyumbang kurang dari lima peratus kluster Covid-19, berbanding kilang (48 peratus) dan tapak pembinaan (11.6 peratus).
Ismail Sabri harus diingatkan bahawa tidak ada yang lebih menyedihkan dan keji daripada berusaha mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan ketika kerja yang caca-marba telah dilakukan dengan ketidakcekapan dan kebodohan yang luar biasa.
Rakyat Malaysia telah menjadi mangsa dua bencana - satu yang semula jadi, wabak Covid-19; dan yang satu lagi buatan manusia, kegagalan mengawal pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketiga tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi negara kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
Adalah lebih baik bagi Zafrul untuk memberikan bantuan segera kepada keluarga yang tinggal di pinggir bandar selama lebih dari setahun tanpa bantuan di bawah PKP 3.0, orang miskin akan gagal mengatasi kesan buruk akibat hilang pendapatan, penutupan sekolah dan tekanan psikologi.
Adakah Zafrul menyedari tinjauan oleh DM Analytics Malaysia untuk Unicef dan UNFPA yang mendapati kira-kira empat dari 10 keluarga miskin bandar telah menghabiskan simpanan mereka untuk terus hidup, walaupun telah mendapat bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Bilakah kerajaan akan memberikan bantuan kepada golongan miskin bandar di bawah PKP 3.0?