#kerajaangagal36 -- Saya akan mencadangkan supaya pelajar Tingkatan 5 Ain Husniza Saiful Nizam dicalonkan sebagai Senator untuk mewakili suara golongan belia di Dewan Negara sekiranya perkara ini tidak dihalang oleh Perlembagaan Malaysia yang memerlukan seorang Senator untuk berumur sekurang-kurangnya 30 tahun
Saya akan mencadangkan supaya pelajar Tingkatan 5 Ain Husniza Saiful Nizam dicalonkan sebagai Senator untuk mewakili suara golongan belia di Dewan Negara sekiranya perkara ini tidak dihalang oleh Perlembagaan Malaysia yang memerlukan seorang Senator untuk berumur sekurang-kurangnya 30 tahun.
Dalam perkara ini, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk mengikuti perubahan zaman, tetapi perkara ini adalah cerita lain yang memerlukan masanya sendiri.
Amat mengejutkan bahawa terdapat rancangan untuk membuang Ain Husniza dari sekolahnya, SMK Puncak Alam. Sekiranya perkara ini berlaku,ia adalah satu perkara yang amat memalukan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Adakah mereka pernah mendengar tentang Greta Thunberg?
Untuk makluman Muhyddin dan Radzi, Thunberg adalah seorang aktivis alam sekitar Sweden berusia 18 tahun yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana mencabar pemimpin dunia untuk mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Inilah yang dikatakan oleh Wikipedia mengenai Thunberg:
“Aktivisme Thunberg bermula selepas beliau meyakinkan orang tuanya untuk mengubah beberapa pilihan gaya hidup untuk mengurangkan kesan karbon mereka sendiri. Pada bulan Ogos 2018, pada usia 15 tahun, beliau mula meluangkan hari persekolahannya di luar Parlimen Sweden untuk menggesa tindakan yang lebih proaktif terhadap perubahan iklim dengan mengangkat tanda membaca Skolstrejk för klimatet (Mogok sekolah untuk iklim).
“Tidak lama kemudian pelajar lain turut melakukan tunjuk perasaan yang serupa di komuniti mereka sendiri. Bersama-sama mereka menganjurkan gerakan mogok iklim sekolah dengan nama Fridays for Future.
“Selepas Thunberg memberikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2018, mogok pelajar berlaku setiap minggu di sesuatu tempat di dunia. Pada tahun 2019, terdapat banyak tunjuk perasaan di pelbagai bandar yang diselaraskan yang melibatkan lebih dari satu juta pelajar.
“Untuk mengelakkan perjalanan melalui kapal terbang, Thunberg berlayar ke Amerika Utara di mana beliau menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan Iklim PBB 2019. Pidatonya di sana, diterima baik oleh media malah dimasukkan ke dalam muzik.
“Kemunculannya secara tiba-tiba menjadi terkenal di dunia telah menjadikan beliau sebagai seorang pemimpin dan juga sasaran pengkritik, terutamanya kerana usianya. Pengaruhnya di pentas dunia telah digambarkan oleh The Guardian dan akhbar lain sebagai 'kesan Greta'.
“Beliau telah menerima banyak penghormatan dan penghargaan, termasuklah dilantik sebagai Felo Kehormat Royal Scottish Geographical Society, tergolong dalam 100 individu paling berpengaruh Time, menjadi Time Person of the Year termuda tahun ini, tergolong dalam senarai 100 Wanita Paling Berpengaruh di Dunia Forbes (2019 , dan tiga pencalonan berturut-turut untuk Hadiah Nobel Keamanan (2019–2021). ”
Bolehkah Malaysia menghasilkan Greta Thunberg kita?
Jawapannya adalah tidak, jika Ain Husniza diusir kerana bersuara menentang ketidakadilan dan kesalahan yang dilakukan terhadap pelajar dan berkempen untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk pelajar.
Radzi telah gagal dengan teruk untuk menunjukkan kepimpinan dalam kedua-dua kes pemeriksaan mengejut kitaran haid dan lawak lucah yang dilakukan oleh guru dalam bilik darjah yang timbul dalam tiga minggu yang lepas ini.
Sekiranya Ain Husniza dibuang sekolah, perkara ini akan menjadi satu penghinaan besar terhadap Radzi dan Perdana Menteri kerana kegagalan mereka untuk memastikan para pelajar menerima pendidikan yang berkualiti dalam suasana yang selamat yang menggalakkan nilai-nilai saling menghormati kepada semua insan.
Sekarang pun, kes Ain Husniza telah ditambah berat dengan komen menjijikkan di Facebook terhadapnya, yang didakwa datang daripada pengetua sekolah beliau sendiri yang menggambarkan beliau sebagai “anak setan”.
Saya ingin mencadangkan agar Ain Husniza dicalonkan sebagai Senator supaya beliau dapat menyampaikan aspirasi golongan muda dalam negara kepada Dewan Negara dan seluruh negara, namun saya teringat kepada Perkara 47(a) Perlembagaan yang memerlukan Senator untuk berusia "tidak kurang dari 30 tahun".
Menurut statistik yang ada, lebih daripada 43% atau sekitar 14 juta rakyat Malaysia berumur di bawah 25 tahun. Adalah baik bagi Dewan Negara dan negara kita untuk mendengari aspirasi dan kebimbangan golongan muda dalam negara.
Menjadi satu keadaan yang sangat tidak masuk akal apabila seorang rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun boleh bertanding sebagai calon Ahli Dewan Rakyat, dan mengundi, tetapi sekiranya beliau berusia di bawah 30 tahun, beliau tidak layak menjadi Ahli Dewan Negara.
Presiden Biden baru saja melantik aktivis perubahan iklim berusia 18 tahun, Jerome Foster II, untuk menjadi anggota Majlis Penasihat Keadilan Alam Sekitar kerajaannya, suatu langkah yang disambut oleh media sebagai "dari seorang penunjuk perasaan kepada perangka dasar iklim".
Sudah tiba masanya kita memberi belia di Malaysia hari ini bukan hanya lebih banyak ruang bersuara, tetapi lebih banyak pengaruh dan kekuatan dalam perumusan dan pelaksanaan dasar awam -- dan perkara terakhir yang perlu berlaku adalah pengusiran Ain Husniza dari sekolah beliau kerana bersuara melawan lawak lucah oleh guru dalam bilik darjah!