#kerajaangagal35 - Pengumuman PKP 3.0 di seluruh negara lewat hari semalam selepas Perdana Menteri berjanji sebulan yang lalu untuk tidak mengenakan sekatan pergerakan secara menyeluruh adalah bukti bahawa kerajaan Muhyiddin telah menjadi sebuah kakistokrasi
Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara lewat hari semalam selepas Perdana Menteri berjanji sebulan yang lalu untuk tidak mengenakan sekatan pergerakan secara menyeluruh adalah bukti bahawa kerajaan Muhyiddin telah menjadi sebuah kakistokrasi.
Tiada siaran langsung pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri semalam. Mungkin ia suatu rahmat bagi Muhyiddin yang sudah tentu sedia maklum bahawa rakyat kini sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap sebarang keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan, lebih-lebih lagi yang melibatkan pandemik Covid-19.
Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 adalah hasil selepas dua hari yang penuh kucar-kacir dan kekeliruan dalam cara kerajaan mengendalikan wabak Covid-19, dengan setiap kementerian masing-masing membuat kenyataan yang mengelirukan dan bercanggah antara satu sama lain mengenai makna PKP 3.0 dan PKP Bersyarat, menyebabkan kesusahan kepada rakyat, terutamanya golongan peniaga kecil dan PKS.
Namun, sama ada Muhyiddin mahu mengakuinya atau tidak; nasihat oleh kerajaan Indonesia untuk rakyatnya duduk di rumah dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan Covid-19 menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, sambil memberi amaran supaya rakyatnya “ambil iktibar daripada India dan Malaysia, sudah tentu kita tidak mahu Indonesia berdepan depan masalah serupa” mungkin menjadi penyebab keputusan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara.
Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa tradisi balik kampung dan kunjung-mengunjung untuk tahun kedua berturut-turut.
Apa yang lebih mengejutkan adalah hakikat bahawa Malaysia akan mencapai angka setengah juta untuk jumlah kumulatif kes positif Covid-19 menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Darurat yang diisytiharkan pada 21 Januari 2021 untuk membendung pandemik Covid-19 ternyata telah gagal.
Pada 12 Januari 2021, peningkatan harian kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 3,309 kes dengan empat kematian. Kira-kira empat bulan kemudian pada 10 Mei, peningkatan harian kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 3,807 dengan 17 kematian.
Pada 12 Januari, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 untuk 12 bulan sebelumnya adalah sebanyaknya 141,533 kes. Dalam tempoh empat bulan sejak pengisytiharan darurat, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat lebih tiga kali ganda kepada 444,484 kes dan jumlah korban akibat Covid-19 meningkat lebih tiga kali ganda dari 559 kepada 1,700.
“Darurat untuk melawan pandemik Covid-19” jenis apa sebenarnya ini? Jika kes makin meningkat dan PKP dilaksanakan semula?
Bukan Indonesia sahaja yang menjadikan Malaysia dan India sebagai contoh untuk mengingatkan rakyat agar duduk di rumah dan patuh kepada SOP, nasihat sama turut diberikan oleh pemimpin kerajaan Malaysia seperti Muhyiddin, Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham.
Bolehkan Muhyiddin menjelaskan mengapa Malaysia tidak mustahil akan menjadi mini-India, mengapa Malaysia dengan 444,484 kes berada di kedudukan ke-42 antara negara dengan kes Covid-19 tertinggi, ditewaskan oleh negara-negara lain di rantau Asia Timur, ASEAN dan Asia Pasifik yang mana berada di kedudukan lebih baik dengan kes lebih rendah sebagai contoh Myanmar (82) dengan 142,963 kes; Korea Selatan (84) 127,772 kes; China (96) 90,769 kes; Thailand (98) 85,005 kes; Singapura (104) 61,378 kes; Australia (120) 29,931 kes; Cambodia (130) 19,743 kes; Hong Kong (147) 11,812 kes; Vietnam (176) 3,461 kes; New Zealand (179) 2,644 kes; Laos (190) 1,327 kes; Taiwan (194) 1,199 kes and Brunei (201) 230 kes?
Perdana Menteri India Narendra Modi kini dipersalahkan kerana mengadakan perhimpunan politik besar-besaran dan perayaan keagamaan sehingga menyebabkan India merekodkan lebih 400,000 kes Covid-19 sehari dengan angka korban melebihi 4,000 kes.
Adakah Muhyiddin dan Kabinet akan bertanggungjawab terhadap krisis Covid-19 yang semakin memburuk di Malaysia?
Kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang meminta supaya penjawat awam untuk mengikut arahan kerajaan meskipun tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai maksud yang tersembunyi.
Katanya, jika penjawat awam tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.
Saya tidak bersetuju dengan Hadi kerana saya percaya pemimpin politik yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya; sebagai contoh Kabinet Muhyiddin lah yang perlu meletak jawatan.
Saya tidak menyalahkan penjawat awam yang tidak mahu melihat perkhidmatan awam negara terjerumus ke lembah kakistokrasi.
Salah satu strategi yang harus diterapkan oleh Muhyiddin dan Kabinetnya bagi melawan Covid-19 adalah dengan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin bagi memulakan usaha “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, kerana hanya langkah ini mampu memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani pandemik ini.
Adakah Perdana Menteri dan Kabinetnya berani untuk berdepan realiti dan mengambil nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen dengan kadar segera?