#kerajaangagal31 - Sembilan soalan mengenai PKP 3.0 dan Covid-19 untuk Kementerian Kesihatan
Virus Sars CoV2 yang menyebabkan Covid-19 pertama kali muncul di negara kita pada 25 Januari 2020, dibawa oleh pelancong dari Singapura dan kita telah bergelut dengan wabak ini sejak daripada hari itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020, dan Malaysia mengisytiharkan sekatan pergerakan pertama pada 18 Mac 2020.
Saya masih ingat dengan jelas kekecohan yang terjadi pada malam 17 Mac 2020 di Tambak Singapura. Pekerja perlu memilih antara sumber pendapatan memandangkan mereka bekerja di Singapura, atau tinggal bersama keluarga dan kehilangan pekerjaan di Singapura.
Kini, kita sudah sampai ke 9 Mei 2021, di mana kita telah melalui dua PKP, pelbagai bentuk PKPD, PKPB, dan PKPP dan sekarang kita kembali ke PKP 3.0.
Walaupun dengan semua PKP dalam pelbagai bentuk atau nama apa sekali pun, Covid-19 masih hidup -- malah terus berkembang dan menyebar dalam masyarakat.
Dalam kalangan komuniti ASEAN, Malaysia menunjukkan prestasi yang paling buruk (selain daripada negara-negara berpenduduk padat seperti Indonesia dan Filipina). Pasti semua rakyat Malaysia yang peduli tertanya-tanya apa yang telah berlaku.
Setiap PKP membawa bersamanya kos yang berat, dari segi ekonomi, psikologi dan pendidikan untuk generasi muda kita.
Sudah waktunya bagi negara, dan khususnya mereka yang memegang kuasa untuk menilai semula situasi ini dan strategi mereka dengan lebih serius.
Seperti yang dikatakan Einstein, kita tidak boleh melakukan “perkara lama yang sama, berulang-ulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”.
Sebenarnya Einstein mengatakan bahawa perkara tersebut adalah “kegilaan”. Tentunya kita rakyat Malaysia tidak gila. Kami tidak mahu melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali, dan hanya mampu melihat jumlah kes semakin membesar selepas 14 bulan mencuba, dengan 3 PKP dan beberapa pelbagai bentuk PKPB, PKPD, dan PKPP.
Di manakah silapnya?
Dalam menilai keseluruhan keadaan sejak Mac 2020, saya ingin mendapatkan beberapa jawapan yang jujur dari Kementerian Kesihatan, yang seharusnya bertanggungjawab untuk mengendalikan krisis Covid-19 ini, kerana saya percaya bahawa ketelusan oleh kerajaan pada masa ini akan membina keyakinan masyarakat.
Kita memerlukan keyakinan masyarakat lebih dari sebelumnya supaya orang ramai dapat bekerja bersama dengan kerajaan. Tidak ada keraguan bahawa semua rakyat Malaysia menginginkan jangkitan ini dikawal dan kehidupan untuk kembali normal secepat mungkin.
Setiap hari, orang ramai mendapat taklimat daripada Menteri bagi pihak Majlis Keselamatan Negara. Kemudian kita meminta Menteri Bertanggungjawab Vaksin membuat pernyataan mengenai vaksin (yang merupakan terapi untuk mencegah jangkitan), dan kemudiannya diikuti oleh taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan.
Apabila mereka semua mengatakan benda yang serupa, orang awam boleh faham. Selalunya, mereka akan mengatakan perkara yang berbeza antara satu sama lain.
Perkara ini mengelirukan, menimbulkan rasa tidak percaya dan kekaburan. SOP PKP 3.0 baru-baru ini adalah contoh terbaik. Arahan yang diberikan bertentangan dan mengelirukan, bahkan untuk Polis sendiri. Pembatalan arahan pada saat akhir tidak akan memberikan keyakinan, sebaliknya ia menunjukkan kegagalan untuk merancang dengan baik, bukannya strategi yang tersusun, seakan-akan mereka ini acuh tidak acuh dengan kuasa dan tanggungjawab yang ada.
Saya ingin mengemukakan sembilan soalan kepada Kementerian Kesihatan, iaitu:
- Berapa ramaikah petugas barisan depan yang ada untuk melakukan penjejakan kontak rapat setiap kali kes positif dilaporkan? Kita mempunyai ramai rakyat Malaysia yang melaporkan bahawa apabila mereka disahkan positif, seringkali tidak ada tindakan lanjut, atau tindakan lanjut sangat lambat dan pesakit positif terpaksa mencari jalan sendiri untuk meminta pertolongan.
- Sekiranya kakitangan tidak mencukupi untuk mengesan kontak rapat, apa gunanya ujian saringan untuk orang yang sihat. Sekiranya Kementerian Kesihatan tidak dapat mengesan setiap kes positif, maka ujian saringan tersebut hanya menimbulkan rasa panik (kerana jumlah yang besar) tanpa manfaat dari segi pengendalian penyakit. Adakah lebih baik tidak melakukan penyaringan sehingga kita mempunyai pasukan penjejak kontak rapat yang mencukupi? Cukup dengan menguji mereka yang mengalami gejala kerana mereka memerlukan rawatan dan pengasingan.
- Sekiranya Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kakitangan penjejakan yang cukup, apakah Kementerian Kesihatan meminta Perdana Menteri untuk memberikan peruntukan tambahan untuk menggajikan kakitangan kontrak sementara untuk melakukan pengesanan kerana perkara ini merupakan strategi penting untuk kawalan Covid-19?
- Kita melihat lonjakan kes menjelang akhir tahun 2020. Pada satu ketika, kita lihat lebih daripada 5,000 kes setiap hari pada bulan Januari. Adakah persiapan dibuat untuk menyediakan wad dan kakitangan tambahan untuk menguruskan wad-wad tersebut, supaya kita tidak akan menghadapi masalah sekarang? Kementerian Kesihatan mempunyai masa lima bulan untuk bersiap untuk kemungkinan ini atau apakah Kementerian Kesihatan merasa puas, memikirkan bahawa yang terburuk telah berlalu, sedangkan ketika sebuah negara berdekatan, India, melaporkan adanya mutasi berganda dan lonjakan kes yang teruk dan begitu juga di Filipina? Semalam adalah kali kelima India mencatatkan lebih dari 400,000 kes setiap hari dan kali kedua mencatat lebih dari 4,000 kematian. Pada kadar kenaikannya sekarang, India akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai negara No. 1 di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul tertinggi dalam satu bulan lagi.
- Adakah Kementerian Kesihatan tidak menjangkakan bahawa dengan sekurang-kurangnya lima varian berbeza yang ada di seluruh dunia, B 1.1.7 (UK), B 1.351 (Afrika Selatan), P1 + P2 dari Brazil, P3 (Filipina), B.1.617 (mutasi berganda India), tidak satu pun akan sampai ke Malaysia? Adakah Kementerian Kesihatan tidak menjangkakan perkara ini? Adakah kita melakukan penjujukan genomik yang mencukupi untuk mengenal pasti variasi yang terbanyak di Malaysia, untuk mencuba meramalnya?
- Dengan pengedaran vaksin yang perlahan dan tidak menentu, adakah kita akan mendapat imuniti kelompok melalui vaksinasi? Untuk mendapatkan imuniti kelompok, kita perlu memberi vaksin sepenuhnya kepada 60-70% dari populasi rakyat Malaysia. Pada masa ini, pakar perubatan berpendapat bahawa imuniti vaksin mungkin bertahan antara 6-8 bulan. Tidak ada yang tahu secara pasti. Malah, Pfizer sedang menyiapkan vaksin penguat untuk akhir tahun ini. Sekiranya imuniti vaksin hanya dapat bertahan 6-8 bulan, dan pengedaran vaksin kita sangat lambat, pada masa kumpulan terakhir mendapat dos pertama mereka, kumpulan vaksin pertama mungkin akan memerlukan dos penguat. Adakah kita akan mendapat imuniti kelompok dalam situasi seperti ini? Bahkan Amerika Syarikat dengan pengedaran vaksin mereka yang sangat cekap di bawah Presiden Biden berpendapat bahawa mereka mungkin tidak dapat memperoleh imuniti melalui vaksinasi.
- Adakah Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa vaksin ini dapat melindungi rakyat Malaysia terhadap "varian yang membimbangkan" yang selalu muncul, terutama varian Afrika Selatan, Brazil dan mutasi berganda India yang merosakkan? Sekiranya vaksin tidak dapat melindungi rakyat Malaysia daripada varian baharu ini, apakah rancangan seterusnya Kementerian Kesihatan?
- Ramai rakyat Malaysia yang sedang menunggu pembedahan untuk penyakit lain seperti barah dan tumor otak telah mati kerana mereka diminta untuk menunggu kerana hospital mengutamakan Covid-19? Bagaimana dengan pembedahan jantung, pembedahan tulang, pembedahan ginekologi? Rawatan denggi, PTB (tuberkulosis paru-paru), kencing manis, asma, penyakit paru-paru kronik? Berapakah harga yang perlu dibayar oleh pesakit bukan Covid semasa kita mengutamakan Covid-19?
- Baru-baru ini, ada banyak berita mengenai penggunaan "Perubatan Tradisional Cina" untuk merawat Covid-19. Ia terbukti cukup berjaya di China. Adakah Kementerian Kesihatan akan menyokong penggunaannya untuk pesakit kita yang ingin mendapat TCM?
Saya mengemukakan soalan-soalan ini dan berharap mendapat sambutan Kementerian Kesihatan, agar rakyat Malaysia terus mengetahui perkembangan terkini.
Semua rakyat Malaysia berasa bimbang kerana ramai yang menderita teruk -- ada yang kehilangan nyawa dan orang yang mereka sayangi, sementara yang lain kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Malah saya pernah mendengar orang tidur di dalam kereta atau dengan motosikal mereka kerana mereka tidak berani pulang ke rumah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar sewa mereka.
Rakyat Malaysia menderita dan berharap jangkitan ini dapat dihilangkan secepat mungkin. Hanya orang kaya yang tidak kisah dengan PKP. Bagi orang miskin yang tinggal di flat kecil, tinggal di rumah berjam-jam dengan 8-10 orang yang lain, mereka juga menderita.
Malaysia mesti mempertajam dua senjata melawan Covid-19 kita -- penutupan bersasar dan proses vaksinasi yang agresif tanpa menjadikannya huru-hara.
Marilah kita semua bekerjasama untuk menamatkan krisis Covid-19 ini. Rakyat Malaysia menderita. Saya mendengar dan melihat kesakitan mereka. Tolong jangan dipanjangkan lagi perkara ini daripada yang perlu, walaupun sehari.