#kerajaangagal27 -- Adakah Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, mulai hari ini akan melawan penggunaan lawak lucah di Parlimen seperti yang dilakukan oleh Ain Husniza dalam melawan lawak lucah di dalam bilik darjah dengan penuh keberanian dan kepimpinan?

Adakah Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, mulai hari ini akan melawan penggunaan lawak lucah di Parlimen seperti yang dilakukan oleh Ain Husniza dalam melawan lawak lucah di dalam bilik darjah dengan penuh keberanian dan kepimpinan?

Perkara ini penting kerana Parlimen sendiri telah menyaksikan banyak kejadian di mana kata-kata yang menyinggung perasaan terhadap Ahli-ahli Parlimen wanita.

Adakah Parlimen akan menjadi Dewan tauladan penggunaan kata-kata yang sopan, di mana lawak-lawak lucah akan ditentang penggunaannya oleh semua Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang parti politik?

Tahun lepas, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim membuat kenyataan yang bersifat perkauman dan seksis terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Pada tahun 2015, Azeez terpaksa menarik semula satu lagi kenyataan seksis yang dibuat beliau dalam Dewan, kali ini mengenai kitaran haid wanita.

Pada tahun 2016, timbalan menteri ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman telah membandingkan nama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan bahagian sulit lelaki.

Pada tahun 2007, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof telah membuat kenyataan seksis terhadap Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Fong Po Kuan di Dewan Rakyat semasa perbahasan mengenai penyelenggaraan yang tidak memuaskan di Parlimen yang menyebabkan kebocoran selepas hujan lebat.

Mereka menyerang Fong yang membangkitkan isu tersebut.

“Mana bocor? Batu Gajah pun bocor setiap bulan juga,” kata Bung mengenai Fong.

Ahli-ahli Parlimen sepatutnya menjadi contoh kepada semua pelajar, dengan tidak menggunakan lawak lucah dan tidak sopan dan bahasa yang tidak menghormati sensitiviti jantina semasa perbahasan Parlimen.

Menjadi satu perkara yang amat memalukan apabila Ahli Parlimen yang paling kerap membuat lawak lucah di Parlimen ini kini menjadi seorang Timbalan Ketua Menteri negeri.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri