#kerajaangagal26 -- Berapa ramai lagi pemimpin Melayu yang akan mengikut jejak langkah Rafidah yang mengisytiharkan dirinya pertamanya rakyat Malaysia meskipun beliau seorang Melayu

Mantan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz melihat dirinya sebagai pertamanya adalah rakyat Malaysia, meskipun beliau seorang Melayu.

Berapa ramai lagi pemimpin Melayu yang akan mengikut jejak langkah Rafidah itu?

Soalan seumpama itu wajar dilontarkan kepada semua rakyat Malaysia, tidak cuma kepada orang Melayu, termasuk orang Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli atau apa jua etnik, kerana cara terbaik untuk menentukan sama ada Malaysia telah berjaya selepas enam dekad usaha pembinaan negara bangsa adalah dengan melihat sama ada rakyat Malaysia benar-benar mendalami serta faham Perlembagaan Malaysia dan prinsip Rukun Negara.

Tidak menghairankan bahawa pada awal dekad pembentukan Malaysia, terdapat rakyat yang masih berpegang erat kepada identiti etnik -- sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli -- yang pertamanya kaum masing-masing dan keduanya rakyat Malaysia, namun jika ini terus berlaku selepas 64 tahun pembinaan negara, tentu ada yang tak kena.

Justeru, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2010 mengisytiharkan beliau pertamanya adalah orang Melayu dan keduanya adalah rakyat Malaysia, rakyat Malaysia menzahirkan perasaan terkejut, Muhyiddin malah memberi justifikasi bahawa beliau “akan ditolak oleh orang Melayu jika beliau berkata bahawa beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Melayu”

Saya telah mengisytiharkan di Parlimen pada Mac 2010 bahawa saya pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Cina tetapi saya tidak pula ditolak oleh semua orang Cina di Malaysia?

Tidak hairanlah, ramai pihak yang masih memutar-belitkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan bahawa beliau akan menjadi Menteri Kewangan untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum atau agama, dan tidak akan menjadi Menteri Kewangan untuk hanya orang Cina di Malaysia.

Adakah Muhyiddin, yang kini merupakan seorang Perdana Menteri, bersedia untuk mengisytiharkan bahawa beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia, keduanya orang Melayu?

Muhyiddin telah menipu orang Melayu apabila beliau mengatakan bahawa beliau akan ditolak oleh semua orang Melayu jika berkata demikian.

Pada awal 2010, Muhyiddin menuduh saya mempunyai “niat jahat” kerana mencabar beliau untuk mengisytiharkan bahawa beliau adalah pertamanya rakyat Malaysia dan keduanya orang Melayu.

Saya tidak menyimpan sebarang “niat jahat” kerana saya membuat kenyataan tersebut di Parlimen. Saya ingin menguji keberkesanan kempen 1Malaysia yang dijalankan kerajaan ketika itu, yang mana terbukti hanya usaha kosong dan bersifat hipokrit kerana ia telah dilupakan dan tidak diteruskan oleh kerajaan tidak lama selepas itu.

Saya kini mencadangkan supaya pengisytiharan bahawa “Saya adalah pertamanya rakyat Malaysia dan keduanya adalah kaum atau agama saya” harus menjadi tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, dan setiap menteri harus membuat pengakuan bahawa beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya kaum/agama beliau sebelum mengambil tanggungjawab sebagai Menteri.

Muhyiddin jelas tersasar jauh dari hakikat sebenar apabila beliau berkata pada 11 tahun dahulu:

“Tidak salah untuk mana-mana pemimpin berjuang demi kepentingan kaumnya. Jangan kata yang Kit Siang tidak berjuang untuk komuniti Cina.

“Ia tidak bermaksud jika saya membantu orang Melayu, saya tidak menolong orang Cina. Kita bantu semua komuniti.”

Jelas bahawa Muhyiddin telah terkhilaf apabila mendakwa bahawa seseorang itu tidak boleh membantu kaumnya sendiri jika dia mengisytiharkan bahawa dirinya pertamanya adalah rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mempunyai kepelbagaian identiti - etnik, agama, bahasa, budaya, daerah - namun mereka mempunyai identiti yang serupa sebagai rakyat Malaysia.

Disebabkan kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak bersedia untuk berkata bahawa beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia dan kedua orang Melayu, Malaysia kini menuju ke lembah kakistokrasi.

Semalam, saya berikan kata-kata balas kepada kenyataan Presiden Gerakan yang mengatakan Perikatan Nasional (PN) lebih adil berbanding dengan Barisan Nasional memandangkan PN melayan setiap parti komponennya sebagai rakan setaraf dan tidak ada “pengikut” dalam gabungan politik tersebut.

Perkataan itu adalah “menjijikkan”. Orang terbaik untuk menjawab kenyataan Presiden Gerakan ini adalah Presiden MCA sendiri.

Namun Presiden MCA mungkin tidak mahu menjawab kenyataan Presiden Gerakan kerana MCA sendiri sedang berkira-kira untuk meninggalkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional!

Dua hari lalu, Rafidah berkata bahawa beliau bimbang akan masa depan negara kerana ahli politik kini menjadikan agama sebagai alat untuk meraih undi.

Beliau berkata beliau mempunyai pengalaman yang cukup dalam politik untuk meramal masa depan negara sekiranya ahli politik di negara ini terus memilih jalan tersebut.

Beliau berkata: “Apabila agama dipolitikkan, kamu akan terlencong dari rukun sebenar agama. Kamu tafsir agama mengikut nafsu supaya ‘menghalalkan’ matlamat kamu. Saya bimbang melihat hal ini.

“Dalam 55 tahun menceburi politik, sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak…saya boleh ‘nampak’ keadaan kita sebelum ini, keadaan kita sekarang ini, dan ke mana kita selepas ini. Apa yang saya ‘nampak’ menakutkan saya,”

Beliau berkata rakyat Malaysia harus belajar untuk berfikir secara objektif apabila memilih wakil rakyat dan tidak mudah terpengaruh dan dibuai oleh kata-kata ahli politik.

Rafidah berkata ahli politik tidak akan bercakap perkara yang berbeza kepada kumpulan demografik yang berbeza untuk sekadar meraih populariti.

Beliau berkata: “(Kalau) Dia pergi ke majlis agama orang Islam, (dia) siap pakai serban dan sarung, cakap pasal ‘Allah’…(main) rentak Arab,” katanya.

“Kemudian dia pergi jumpa orang Cina, cakap pasal kita berbilang bangsa. Lepas itu dia pergi jumpa orang India pula…Ini semua tak patut. Kamu harus bercakap dengan semua sebagai rakyat Malaysia.”

Rafidah berkata beliau lebih bimbangkan ke mana arah tuju Malaysia dan rakyat ketika ditanya Ditanya mengenai masa depan orang Melayu jika terpengaruh dengan retorik politik agama.

Beliau berkata beliau tidak melihat isu kemiskinan dari sudut perkauman, sebaliknya berpendapat ia harus ditangani secara menyeluruh dalam konteks masyarakat majmuk.

Beliau berkata: “Saya Melayu, tapi pertama-tama sekali saya rakyat Malaysia.”

“Kalau kita terus-menerus menyokong politik yang berat kepada kaum tertentu, kita tanam benih-benih perselisihan.”

Sudahkan Muhyiddin menemui jalan penyelesaian terhadap kebimbangan dan kerisauan Rafidah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri