#kerajaangagal25 -- Sekiranya diadakan undian tertutup sama ada Hamzah Zainuddin patut dibuang daripada jawatan Menteri Dalam Negeri, pastinya keputusan sebulat suara mengatakan ‘Ya’!

Sekiranya diadakan undian tertutup sama ada Hamzah Zainuddin patut dibuang daripada jawatan Menteri Dalam Negeri, pastinya keputusan sebulat suara mengatakan ‘Ya’!

Penting untuk diingati, selain daripada Setiausaha Agung PAS yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan, tidak ada seorang pun menteri kabinet yang lain, termasuklah Perdana Menteri sendiri, telah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai Hamzah sejak beliau terjebak dengan skandal “campur tangan Ketua Polis Negeri” pada minggu lalu.

Jumaat lepas, Ketua Polis Negara yang bakal bersara, Abdul Hamid Bador, dalam sidang media perpisahan beliau telah memberikan pendedahan mengenai seorang Menteri Dalam Negeri yang tidak seperti menteri-menteri sebelumnya yang mencampur tangan secara politik dengan keberkesanan, kebebasan, profesionalisme, dan status bertaraf dunia Polis Diraja Malaysia dengan mendesak supaya “orang” beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negeri dan pengarah jabatan polis.

Takiyuddin tersepit apabila beliau berpura-pura tahu undang-undang sedangkan beliau hanyalah sedang memutar belit Perlembagaan dengan gagal untuk membaca satu pengecualian yang penting dalam Perlembagaan.

Selain daripada Takiyuddin, tidak ada mana-mana Menteri Kabinet dari Bersatu, PAS, atau UMNO yang bersedia untuk menyokong Hamzah secara terbuka.

Dalam hati mereka, setiap seorang Menteri ini tahu yang Hamzah telah melampaui batas dengan melakukan campur tangan politik ke atas kebebasan, keberkesanan, dan profesionalisme PDRM, tetapi tidak ada seorang pun daripada mereka ini berani atau cukup berprinsip untuk menegakkan prinsip tidak partisan pasukan polis yang termaktub dalam Perlembagaan.

Setiap orang Menteri Kabinet cuba untuk mengelakkan masalah ini -- sedangkan klip audio yang tular itu telah membuktikan bahawa Hamzah mahu meletakkan “orang” beliau sebagai Ketua Polis Negeri dan pengarah jabatan polis -- sedangkan bukti-bukti yang lebih remeh telah pun mencukupi dalam sistem demokrasi lain yang berfungsi untuk memaksa menteri mengosongkan jawatan mereka, seperti yang berlaku kepada John Profumo di United Kingdom pada tahun 1963 apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Peperangan akibat skandal Christine Keeler atau Abdul Rahman Talib yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada Disember 1964 apabila beliau kalah saman malu terhadap pemimpin Parti Progresif Rakyat, D. R. Seenivasagam.

Namun Hamzah berani bertanyakan: “Apa salahnya?”

Mungkin Presiden Gerakan akan menyokong Hamzah secara terbuka, memandangkan beliau kelihatan seakan-akan tidak kisah dengan hakikat negara kita mempunyai Kabinet yang terlalu besar kerana beliau sendiri berharap untuk menambah besarkan Kabinet ini dengan menyertainya sebagai seorang Menteri.

Saya hanya boleh berikan kata-kata balas kepada kenyataan Presiden Gerakan hari ini yang mengatakan Perikatan Nasional lebih adil berbanding dengan Barisan Nasional memandangkan PN melayan setiap parti komponennya sebagai rakan setaraf dan tidak ada “pengikut” dalam gabungan politik tersebut.

Perkataan itu adalah “menjijikan”. Orang terbaik untuk menjawab kenyataan Presiden Gerakan ini adalah Presiden MCA sendiri, dan saya tidak mahu mengambil tanggungjawab Presiden MCA ini.

Kabinet perlu mencari keberanian untuk menghukum Hamzah Zainuddin dan menegaskan semula prinsip penting seperti yang dikatakan oleh Hanif Omar, yang berkhidmat sebagai KPN untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah, yang mengatakan, dalam tempoh 20 tahun beliau berkhidmat, beliau tidak berhadapan dengan masalah daripada mana-mana tiga orang menteri beliau -- Ghazalie Shafie, Musa Hitam, atau Dr Mahathir Mohamad -- dan Suruhanajaya Pasukan Polis dan Menteri Dalam Negeri sebagai pengerusi suruhanjaya ini perlulah berkerja di dalam batasan undang-undang masing-masing.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri