#kerajaangagal24 -- Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang hampir mencecah angka setengah juta dan kelewatan dalam fasa ke-3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan menjadi masalah besar terhadap usaha Malaysia untuk melawan pandemik Covid-19
Malaysia kini merekodkan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 424,376 kes, mengatasi Arab Saudi yang merekodkan 422,316 kes, dan kini berada di kedudukan ke-42 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.
Negara mencatatkan 3,744 kes baru semalam. Pada kadar kenaikan ini, kita akan mencapai angka setengah juta untuk jumlah kumulatif kes Covid-19 menjelang akhir bulan ini.
Ini adalah kedudukan dan rekod dunia yang tidak boleh dibanggakan oleh Malaysia.
Ibarat menambah garam ke luka, Menteri Penyelarasan Vaksinasi, Khairy Jamaluddin, semalam mengumumkan bahawa Fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sepatutnya bermula pada Mei mungkin ditangguhkan berikutan kekurangan bekalan vaksin -- ini akan menjadi masalah besar terhadap usaha Malaysia untuk melawan pandemik Covid-19.
Sekarang pun, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih ditahap yang rendah dan perlahan, kurang dari lima peratus populasi negara ini telah diberikan vaksin (1.8% telah divaksin sepenuhnya sementara 2.9% diberikan satu dos vaksin).
Dua bulan yang lalu, saya mencadangkan agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dipercepat supaya imuniti kelompok dapat dicapai pada Hari Malaysia, 16 September 2021.
Kini sasaran Khairy untuk mencapai imuniti kelompok pada Julai 2022 -- 18 bulan dari Februari 2021 ketika kumpulan bekalan vaksin pertama tiba - telah tersasar.
Kita tewas dalam pertempuran antara "vaksin dan virus", dengan koronavirus bermutasi menjadi varian baru dan telah menyebabkan kehancuran di India, di mana sistem kesihatan berada di ambang kemusnahan dengan adegan menyayat hati di mana orang awam mati bergelimpangan di koridor-koridor hospital, di jalan raya dan di kediaman mereka serta tempat letak kereta telah dijadikan tempat pembakaran sementara keluarga terdesak berebut mencari bekalan oksigen, ubat-ubatan dan katil hospital.
Adakah kita akan menjadi “mini India” di ASEAN? India memecahkan satu lagi rekod dunia semalam, mencatatkan 413,618 kes Covid-19 baru, dan dalam 15 hari terakhir sejak memecahkan angka 300,00 untuk kes harian baru pada 21 April, telah mengumpulkan lebih dari lima juta kes Covid-19.
Mengapa Malaysia berada di kedudukan ke-42, mempunyai jumlah kes Covid-19 yang lebih besar sementara negara-negara lain di Asia Timur, ASEAN dan Asia Pasifik berada di kedudukan lebih rendah dengan kes lebih rendah seperti Myanmar (ke-82) dengan 142,874 kes; Korea Selatan (84) 124,945 kes; China (96) 90,721 kes; Thailand (98) 74,900 kes; Singapura (104) 61,268 kes; Australia (120) 29,862 kes; Kemboja (133) 16,971 kes; Hong Kong (145) 11,797 kes; Vietnam (176) 3,022 kes; New Zealand (179) 2,629 kes; Taiwan (192) 1,160 kes; Laos (195) 1,072 kes dan Brunei (201) 228 kes?
Ini adalah persoalan yang tidak dapat dijawab oleh kerajaan Muhyiddin dan dengan Parlimen yang digantung sejak 12 Januari 2021, persoalan ini akan terus tidak terjawab.
Namun perkara ini juga telah menghasilkan jurang yang tidak pernah terjadi sebelumnya dalam defisit kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan yang tidak dapat ditangani dengan sejumlah penipuan picisan dan propaganda.
Malaysia menderita kerana mempunyai Perdana Menteri terburuk dan kerajaan terburuk dalam sejarah 63 tahun negara!
Bolehkah Malaysia diselamatkan dari trajektori menuju kakistokrasi?