#kerajaangagal22 - Jika Malaysia adalah negara yang demokrasinya berfungsi secara normal, sudah tentu Hamzah telah didesak untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri

Jika Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasinya berfungsi secara normal, Hamzah Zainuddin sudah tentu sudah didesak supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri seperti mana yang berlaku terhadap John Profumo yang meletak jawatan sebagai Menteri Perang United Kingdom pada 1963 selepas terpalit skandal membabitkan Christine Keeler atau seperti mana Abdul Rahman Talib yang meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia pada 1964 selepas kalah saman fitnah terhadap pemimpin Parti Progresif Rakyat, D.R. Seenivasagam.

Malangnya, Malaysia kini bukanlah demokrasi yang berfungsi secara normal dan tidak berusaha ke arah itu.

Kerajaan yang terbentuk hari ini adalah kerajaan pintu belakang, tidak cekap, tidak demokratik, kakistokratik dan tidak sah. Kerajaan ini juga takut untuk memanggil sidang Parlimen kerana bimbang tidak mempunyai bilangan majoriti yang cukup di Parlimen.

Inilah sebabnya mengapa Hamzah Zainuddin bertindak lancang dengan mengakui bahawa suara dalam rakaman audio tular yang menyentuh mengenai campur tangan pelantikan ketua polis negara yang baharu adalah miliknya, tetapi tidak segan silu mengisytiharkan bahawa beliau kononnya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Mana-mana ahli politik yang bermaruah dalam tradisi demokrasi Eropah akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri jika rakaman audio seumpama itu tular, tetapi tidak bagi Hamzah.

Perkara seperti itu mungkin akan berlaku di negara-negara demokratik Asia yang lain seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan, India, Indonesia dan Singapura, tetapi tidak di Malaysia.

Apa yang diperkatakan Hamzah dalam rakaman audio berkenaan jelas telah melangkaui batas-batas demokrasi -- seorang Menteri cuba untuk mencabuli kebebasan dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia dan menghalang pasukan itu daripada menjadi sebagai pasukan polis yang cekap, profesional dan bertaraf dunia.

Semalam, mantan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan kisah di sebalik cubaan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin untuk melantik “budaknya” dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Hamid dipetik sebagai berkata kejadian itu melibatkan cubaan Hamzah untuk menempatkan calon pilihannya bagi mengetuai Cawangan Khas selepas unit itu dikatakan menolak permohonan menteri tersebut bagi melakukan kerja-kerja politik.

Pendedahan itu muncul selepas Hamzah mengakui bahawa suara dalam audio yang tular itu adalah miliknya.

Hamid dipetik sebagai berkata yang Cawangan Khas tidak senang dengan tindakan Hamzah, yang dirujuk sebagai “MDN” (Menteri Dalam Negeri), sejak tahun lalu.

Katanya: “Saya dimaklumkan MDN telah memaksa JCK melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.

“Saya tidak boleh dedahkan operasi apa kerana setiap operasi JCK adalah rahsia tapi cukuplah untuk mengatakan bahawa objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada JCK untuk memelihara serta menguruskan keselamatan negara.”

Hamid berkata Hamzah bekerjasama dengan seorang pegawai kanan Cawangan Khas yang kontraknya tamat semalam.

Menteri berkenaan dikatakan mengatukarkan supaya “budaknya” (yang bersara sebagai pegawai kanan Cawangan Khas) untuk mengetuai Cawangan Khas.

Hamid berkata: “Pada 16 Feb lalu, Pengarah SB sedia ada dipanggil oleh Ketua Setiausaha KDN sebelum meminta beliau mengakhiri kontraknya secara sukarela, jika tidak notis sebulan bagi pemberhentian kontrak akan diberikan.

“Menteri tersebut seolah-olah tidak sabar meletakkan ‘budaknya’ mengisi jawatan tersebut sedangkan kontrak Pengarah SB akan berakhir pertengahan Jun ini.”

Hamid berkata perkara tersebut sekali lagi dibawa kepada Perdana Menteri yang kemudiannya mengarahkan supaya ketua Cawangan Khas untuk terus berkhidmat.

Adakah ini sebab mengapa Hamzah tidak hadir tidak hadir acara rasmi penyerahan tugas kepada ketua polis negara yang baru, Acryl Sani Abdullah Sani semalam, meskipun wajahnya terpampang besar dan jelas sebagai latar di atas pentas majlis tersebut.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri