#kerajaangagal17 -- Sekiranya darurat tidak boleh menggantung cabang kehakiman, bagaimana ia boleh menggantung Parlimen yang merupakan satu daripada tiga cabang berbeza kerajaan yang dipisahkan dengan doktrin pemisahan kuasa?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan telah menasihati ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan berkenaan undang-undang dan mengelakkan daripada membuat tafsiran berdasarkan emosi.

Bukankah perkara ini juga perlu dikenakan kepada Menteri Kabinet, terutuamanya beliau sendiri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan undang-undang dan Parlimen?

Saya mahu menanyakan kepada Takiyuddin, sekiranya darurat tidak boleh menggantung cabang kehakiman, bagaimana ia boleh menggantung Parlimen yang merupakan satu daripada tiga cabang berbeza kerajaan yang dipisahkan dengan doktrin pemisahan kuasa?

Saya merujuk kepada kenyataan terkini beliau yang dikeluarkan lebih daripada tiga bulan selepas perisytiharan darurat bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang apabila masa yang tepat telah tiba, sama ada sebelum atau selepas darurat Covid-19 tamat, yang merupakan bukti terbesar kakistokrasi dan #kerajaangagal.

Takiyuddin silap besar dengan memikirkan yang beliau mengawal Parlimen dan boleh menentukan sama ada Parlimen akan bersidang atau tidak. Beliau fikir beliau lebih berkuasa dan lebih penting daripada Speaker Parlimen yang kini kelihatan tidak penting di mata beliau.

Adakah Takiyuddin menyedari bahawa Yang di Pertua Dewan Rakyat berada di tempat ke-13 dalam senarai protokol seperti yang diterbitkan dalam Senarai Keutamaan Persekutuan, sedangkan seorang menteri kabinet -- termasuklah Takiyuddin sendiri -- berada di tempat yang lebih rendah di tempat ke-16 dalam senarai protokol ini?

Jadi amatlah tidak masuk akal sekiranya seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri melihat dirinya sebagai “Superman” Parlimen yang boleh menentukan sama ada Parlimen bersidang atau pun tidak.

Di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menerima doktrin pemisahan kuasa, tidak ada mana-mana menteri -- baik Perdana Menteri sekalipun -- boleh mengawal atau mengatasi kuasa Parlimen, memandangkan perbuatan seperti itu akan menghina konsep dan kuasa semak imbang pihak eksekutif oleh Parlimen.

Bila Parlimen perlu bersidang bukanlah ditentukan oleh Takiyuddin atau Perdana Menteri, tetapi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, yang telah dicabuli oleh Kabinet, termasuklah Takiyuddin sendiri apabila mereka menghalang sidang Parlimen.

Bukanlah tugas Takiyuddin atau mana-mana menteri untuk mendapatkan nasihat mana-mana agensi berkenaan, terutamanya Kementerian Kesihatan mengenai persidangan Parlimen, sebaliknya, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan Parlimen yang perlu mendapatkan nasihat agensi berkenaan dan membuat keputusan mengenai apa tindakan yang perlu diambil untuk persidangan Parlimen dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.

Kabinet Muhyiddin telah menyalah tafsir Perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak sepatutnya terus mengabaikan dan mencabuli Perlembagaan, sebaliknya perlu memutuskan pada hari Rabu ini untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang -- dan biarkan perkara-perkara di Parlimen diuruskan oleh Yang di Pertua Dewan dan jawatankuasa yang berkenaan.

Berbalik kepada isu semasa, adakah Takiyuddin bersetuju bahawa menjadi satu penyalahgunaan kuasa yang buruk dan juga kesalahan untuk seorang Menteri Dalam Negeri dan bukannya Ketua Polis Negara memutuskan siapa yang akan menjadi Ketua Polis Negara dalam pelbagai negeri, dan sama ada beliau akan menasihati Menteri Dalam Negeri untuk tidak melangkaui batasan bidang kuasa dan tanggungjawab KPN?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri