#kerajaangagal16 -- Dengan kegagalan untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan berat KPN Hamid Bador mengenai masalah rasuah dan kacau tangan dalam kebebasan dan profesionalisme pasukan Polis, adakah Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang lebih buruk daripada Abdullah Badawi yang menubuhkan RCI untuk menyiasat Pita Rakaman Lingam mengenai penetapan haram pelantikan kehakiman?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menamatkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai pegawai polis nombor satu negara pada hari Selasa selepas menyatakan pada hari Jumaat lepas, perkara-perkara yang telah menghalang Polis DiRaja Malaysia daripada menjadi satu pasukan polis yang bebas, profesional, dan bertaraf dunia, iaitu:

  1. Campur tangan politik dalam pasukan polis;
  2. Campur tangan politik dalam Suruhanjaya Pasukan Polis;
  3. Rasuah dalam perkhidmatan awam dan gelanggan politik;
  4. “Menteri tidak bijak” yang meminta supaya sekatan jalan raya dilonggarkan semasa PKP dan PKPB;
  5. Malaysia menjadi sebuah kakistokrasi.

Majlis sidang media perpisahan Hamid Bador pada hari Jumaat mengingatkan kita semua kepada episod pita rakaman Lingam “Nampak macam saya, bunyi macam saya, tapi bukan saya” pada tahun 2007 yang membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

Dengan gagal untuk menubuhkan RCI mengenai dakwaan Hamid Bador tentang masalah rasuah dan campur tangan politik dalam pasukan polis, adakah Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang lebih teruk daripada Abdullah Badawi, yang menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal pita rakaman Lingam?

Apakah yang menghalang Muhyiddin daripada melakukan perkara yang betul dan berpatutan untuk negara kita, apabila beliau sendiri tahu yang penubuhan RCI ini adalah untuk kepentingan negara?

Adakah Kabinet gergasi Muhyiddin ini hanya penuh dengan pak turut yang hanya mementingkan kepentingan diri sendiri yang tidak berani untuk membangkitkan isu RCI mengenai pelbagai dakwaan-dakwaan berat KPN ini?

Dua hari telah berlalu dan Muhyiddin masih diam seribu bahasa mengenai perkara ini.

Bilakah beliau akan bersuara mengenai pendedahan mengejut oleh KPN ini?

Dari segi wabak Covid-19 pula, seluruh negara menghembus nafas lega apabila kadar kenaikan kes baharu semalam dilaporkan turun di bawah kadar 2,881 kes -- selepas tiga hari berturut-turut berada di atas 3,000 kes.

Namun, adakah Malaysia kini telah terselamat daripada kemungkinan berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini yang telah merisaukan Baginda Yang di Pertuan Agong sendiri?

Pihak berkuasa di Malaysia perlu merangka cara dan strategi baharu yang kreatif untuk membolehkan kita semua hidup bersama dengan virus ini dengan selamat kerana wabak ini akan terus bersama dengan kita untuk setahun dua yang akan datang -- walaupun jika kita berjaya menjayakan program imunisasi Covid-19 kebangsaan, yang malangnya tidak berlaku.

Negara-negara di seluruh dunia telah menyedari kos besar terhadap ekonomi dan kehidupan sosial sekiranya kita menggunakan alat-alat seperti sekatan pergerakan di seluruh negara yang bakal membunuh penularan virus dan juga ekonomi manusia.

India adalah satu contoh yang buruk. Pada hari Jumaat, India menjadi negara pertama yang mencatatkan lebih 400,000 kes baharu.

Kejadian ini menjadi jumlah kes terkumpul di negara tersebut untuk bertambah kepada lebih daripada 19 juta sejak daripada permulaan wabak ini, dan menandakan hari kesepuluh berturut-turut dengan peningkatan atas 300,000 kes sehari di India. Kadar kes baharu di India semalam masih lagi tinggi dengan 392,562 kes dan 3,638 kematian. Jumlah korban nyawa di India adalah 215,523, negara keempat dengan kematian tertinggi selepas Amerika Syarikat (590,525 kematian), Brazil (404.287 kematian), dan Mexico (216,907 kematian).

Semalam, saya menanyakan, mengapa Malaysia melihat kepada India yang sedang berhadapan dengan kemusnahan dengan gelombang baharu Covid-19 dengan kekurangan bekalan oksigen di seluruh negara sedangkan New Delhi pula mengalami kekurangan kayu api untuk pembakaran jenazah, sedangkan Malaysia perlu berazam untuk menjadi seperti negara-negara Asia Timur, ASEAN, dan kawasan Pasifik yang mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam melawan wabak Covid-19 seperti Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand, atau Singapura.

Saya tidak terkejut apabila saya tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada mana-mana menteri kerajaan, menandakan yang kita sedang terjunam ke arah kakistokrasi.

Kini, katil di unit rawatan rapi untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang telah menghampiri kapasiti penuh, dengan 88 peratus daripada 152 katil ICU digunakan.

Jelas sekali darurat dan penggantungan Parlimen sejak 12 Januari telah gagal untuk menghalang penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk menamatkan darurat dan memanggil Parlimen bersidang untuk menggerakkan usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri