Malaysia telah terjerumus ke lembah hipo-kakistokrasi (hipokrasi-kakistokrasi) selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah menasihati Menteri UMNO agar tidak meletak jawatan
Malaysia telah terjerumus ke lembah hipo-kakistokrasi (hipokrasi-kakistokrasi) selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah menasihati Menteri UMNO supaya tidak meletakkan jawatan.
Muhyiddin dilapor telah menasihati Menteri UMNO untuk kekal dalam Kabinet. Keputusan itu kononnya mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
Tindakan Muhyiddin ini bersifat hipokrit, beliau sebenarnya bukan hendak menyelamatkan negara, sebaliknya menyelamatkan kepentingan dan kelangsungan politik beliau sendiri.
Kerajaan pintu belakang dan tidak sah yang dibentuk Muhyiddin, yang merupakan hasil produk Langkah Sheraton, akan runtuh musnah jika semua Menteri UMNO letak jawatan.
Mengapa hendak nafikan hakikat yang telah diketahui oleh semua ini?
Muhyiddin berkata beliau menasihati pemimpin UMNO untuk kekal sebagai Menteri kerana kononnya tidak mahu membantutkan usaha kerajaan dalam melawan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.
Muhyiddin usah kelentong - kerana hanya orang yang tolol percaya dengan kata-kata tersebut.
Jika kerajaan benar-benar efektif dan cekap dalam melawan wabak Covid-19, kita tidak akan mengalami gelombang ketiga wabak Covid-19 yang terpanjang di dunia yang mana berlarutan sejak lapan bulan lalu sehingga hari ini.
Adakah kita sedang menuju ke arah untuk menjadi sebuah negara kakistokrasi, di mana kita memiliki sebuah Kabinet terbesar dalam sejarah negara, tetapi tidak mempunyai keberanian politik dan moral untuk menyahut tiga cabaran bersejarah.
- Untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen bagi menerajui mobilisasi kebangsaan rakyat Malaysia untuk mengendalikan wabak Covid-19 menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021 sehingga ekonomi dan kehidupan kembali normal bermula pada suku terakhir tahun;
- Untuk menangani pendedahan mengejutkan Ketua Polis Negara dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Integriti dan Profesionalisme Polis dan bagaimana untuk mencorak polis Malaysia supaya dapat menjadi pasukan polis bertaraf dunia;
- Memenuhi mandat Parlimen pada tahun 2019 untuk memberikan hak mengundi kepada rakyat Malaysia yang berusia lebih dari 18 tahun pada pilihan raya akan datang.
Kabinet setiap minggu bermesyuarat, namun mereka masih mengamalkan budaya kakistokrasi -- di mana tiada seorang pun Menteri Kabinet bangkit bersuara mengenai isu-isu hangat dalam negara.
Mengapa Kabinet Muhyiddin begitu buta dan pekak terhadap desakan untuk mempercepatkan program imunisasi Covid-19, supaya ia dapat dijayakan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 September, supaya kehidupan rakyat dapat kembali normal serta memulakan kerja-kerja pemulihan ekonomi bermula suku keempat tahun ini?
Mengapa Kabinet berkelakuan seakan-akan tidak sedar mengenai dakwaan “perang” dalam pasukan Polis Diraja Malaysia meskipun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador telah mendedahkan bahawa 34 anggota polis dan pegawai penguatkuasa terlibat dalam kegiatan sindiket, dan mengapa Kabinet tidak menyatakan sebarang sokongan padu kepada usaha KPN untuk membersihkan pasukan polis?
Mengapa Kabinet kelihatan seakan-akan tidak peduli dengan kontroversi pampasan RM320 juta yang dibayar Malaysia kepada Singapura kerana membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR), meskipun ia bakal merugikan rakyat negeri Johor?
Dalam usaha mengejar Impian Malaysia, prinsip pertama yang diperlukan adalah untuk mengakui bahawa Malaysia telah ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain dalam aspek kecemerlangan, meritokrasi, tadbir urus baik dan persaingan
Kita telah mundur setapak dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, termasuk menjadi salah sebuah negara yang mampu bersaing sebaris dengan negara-negara lain dalam membawa masuk pelaburan asing bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang merupakan sesuatu yang perlu diberikan keutamaan lebih-lebih lagi selepas ekonomi menempuh waktu yang sukar dan suram akibat penularan wabak Covid-19 yang berlarutan sejak setahun yang lalu.
Kita harus mengambil iktibar daripada kesilapan yang menyebabkan negara terbantut menjadi salah sebuah negara hebat bertaraf dunia, dalam pelbagai aspek antaranya keyakinan dan kepercayaan masyarakat, tadbir urus baik dan demokratik, pelaburan infrastruktur atau pembangunan modal insan.
Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan pada awal dekad yang lalu, beliau melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 pada September 2012 dengan harapan Malaysia menjadi “negara yang luar biasa” dan melonjakkan kedudukan ujian PISA (Program untuk Penilaian Antarabangsa) OECD dari ketiga ke bawah ke ketiga teratas pada 2021.
Namun, perkara ini menjadi kegagalan yang menyedihkan, kerana hakikatnya kedudukan ujian PISA kita tidak melonjak ke tangga ketiga kerana keputusan PISA Malaysia pada 2018 lebih buruk berbanding keputusan PISA 2015 dalam ketiga-tiga subjek matematik, sains dan membaca dan kita masih jauh dari tempat ketiga teratas antara 80 negara peserta PISA.
Empat keputusan PISA Malaysia sejak 2009 adalah seperti berikut: PISA Score (Rank)
2009 | 2012 | 2015 | 2018 | |
Matematik | 404(57) | 421(52) | 446(45) | 440(47) |
Sains | 422(52) | 420(53) | 443(47) | 438(48) |
Membaca | 414(55) | 398(59) | 431(50) | 415(56) |
Bolehkah kita melakukan yang lebih baik dalam ujian kelima PISA 2021?
Paling menyedihkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 gagal mencapai matlamat strategiknya untuk merekrut individu dari peringkat 30% teratas ke dalam profesion perguruan.
Menurut statistik Kementerian Pendidikan pada masa itu, hanya 1% daripada jumlah pemohon yang memohon mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan pada tahun 2009 adalah individu yang mempunyai prestasi akademik tertinggi dan statistik ini hanya meningkat kepada 9% daripada jumlah pemohon pada tahun 2011. Bagaimana kedudukannya hari ini?
Satu dekad kemudian, kita ketinggalan lebih jauh dalam usaha pembangunan modal insan sehingga syarikat multi-nasional (MNC) kurang berminat untuk mengambil jurutera tempatan yang mempunyai kelulusan dari universiti awam tempatan, sebaliknya memilih lulusan dari Filipina, Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Mereka mengatakan jurutera siswazah tempatan kurang memenuhi kriteria mereka, iaitu:
- mereka tidak dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik;
- mereka memerlukan lebih banyak latihan pekerjaan (yang memerlukan masa dan wang);
- lebih menyusahkan untuk mengupah mereka, terutamanya apabila jurutera dari negara-negara ASEAN yang berdekatan dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Kita juga ketinggalan dalam indeks persaingan global apabila jatuh ke tangga 27 pada 2020 daripada tangga 22 pada 2019. Dapat dibayangkan bahawa kedudukan negara kita pada 2021 akan lebih teruk daripada sebelumnya.
Sejak 1970, KDNK Malaysia telah meningkat 90 kali tetapi Indonesia meningkat lebih tinggi iaitu 117 kali, Vietnam 122 kali, China 163 kali, Singapura 175 kali dan Korea Selatan 178 kali.
Setelah 50 tahun yang lalu, Singapura dan Vietnam telah mengatasi Malaysia dengan mempunyai KDNK yang lebih besar.
Pelancaran Teater Impian ini adalah untuk menyahut suara-suara yang berkata: sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia memiliki kesedaran bahawa Malaysia semakin jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam membentuk sebuah negara hebat bertaraf dunia - dan mewujudkan tenaga kerja dengan pengetahuan teknologi, kematangan dan kestabilan politik, keharmonian kaum, kedaulatan undang-undang, kawalan rasuah dan pemerintahan yang baik - dan perlu menyerap suatu semangat yang baru untuk menjadikan Malaysia hebat semula jika kita tidak mahu negara terus terjerumus ke lembah hipokrasi dan kakistokrasi!