Amat mengejutkan melihat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang masih menentang penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, sedangkan saya telah memperjuangkan perkara ini di Parlimen sejak 50 tahun lalu
Saya amat terkejut dengan pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang menentang usaha untuk memberikan hak pengundi kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun, sedangkan saya telah perjuangkan perkara ini di Parlimen 50 tahun yang lalu pada hari Hak Asasi Manusia, 10 Disember 1971.
Perkara ini bermakna, sokongan yang ditunjukkan Hadi di Parlimen pada 2019 semasa meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk membolehkan individu berusia seawal 18 tahun untuk keluar mengundi, bukanlah sokongan yang benar-benar jujur.
Ketika memberikan hujah untuk menyokong penangguhan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang telah diluluskan secara sebulat suara di Parlimen pada tahun 2019, Hadi berkata, proses mengundi memerlukan kematangan dan pengundi yang tidak matang akan memilih sebuah kerajaan yang tidak matang.
Beliau berkata: “Undi ini bergantung kepada kematangan, jangan undi usia 18 tahun saja, mesti ada kematangan. Kita tidak boleh terpengaruh dengan Barat.
“Dalam Islam ada sebut (mengenai) tahun kematangan, ia boleh berlaku di usia 16 tahun, 18 tahun, boleh juga berlaku 25 tahun. Ada orang (sudah berusia) 40 tahun, tetapi tak matang lagi.
“Tetapi, malangnya kita berpandukan kepada konsep demokrasi Barat, pada usia bukan di tahap kematangan.”
Hadi mengatakan PAS menyokong penangguhan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, sambil menambah keputusan penangguhan tersebut tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap partinya.
Bolehkah Hadi menjelaskan mengapa PAS menentang pelaksanaan pindaan perlembagaan ini?
Bagaimana Hadi boleh jadi begitu bongkak sehingga tidak tahu yang 90 peratus daripada 57 negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mempunyai had umur mengundi pada usia 18 tahun — termasuklah Arab Saudi, Iran, Iraq, Turki, Jordan, Algeria, Libya dan Palestin?
Malah, had umur mengundi di Iran untuk pilihan raya parlimen 1980 telah diturunkan daripada 18 ke 16 tahun, dan kemudian diturunkan lagi kepada 15 tahun, meskipun ia ditukar semula kepada 18 tahun pada 2007.
Pada sekitar tahun 2000, sejumlah negara sudah mula mempertimbangkan sama ada had umur mengundi patut diturunkan kepada 16 tahun.
Pada tahun 2007, Austria menjadi negara pertama yang membenarkan remaja berusia 16 dan 17 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya, sebelum ia diperkembangkan buat pertama kali pada pilihan raya Parlimen Eropah 2009.
Kajian terhadap pola sikap anak muda berhubung pengundian menunjukkan mereka sebenarnya mampu menggalas tugas sebagai pengundi seperti mana pengundi dewasa dalam menyatakan pandangan mereka dan membuang undi sesuai dengan cita rasa mereka. Pengetahuan tentang proses politik yang dimiliki mereka juga tidak kurang hebat berbanding dengan pengundi yang lebih dewasa, malah anak muda dilihat mempunyai keyakinan yang lebih terhadap sistem demokrasi dan lebih bersedia untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi.
Negara yang mempunyai had umur mengundi 16 tahun termasuklah Austria, Brazil, Ecuador, Cuba, Nicaragua, Scotland dan Argentina.
Saya tidak menaruh harapan yang Hadi akan memberikan penjelasan tentang mengapa beliau menolak pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun meskipun Ahli Parlimen Marang itu telah menyatakan sokongannya terhadap pindaan perlembagaan di Parlimen pada 2019 bagi membolehkan usaha itu berjaya, seperti mana saya tidak mengharapkan yang beliau akan menjelaskan kenyataannya bahawa pemimpin Islam yang rasuah lebih baik daripada pemimpin bukan Islam yang bersih, jujur dan tidak rasuah.