Muhyiddin mengatakan yang kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan di antara negeri untuk Hari Raya tetapi Ketua Pengarah Kesihatan mengatakan kita perlu berhati-hati dengan peningkatan kes Covid-19 -- mengapakah terdapat mesej yang bertentangan seperti ini?
Hari ini, di kawasan Parlimen beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan yang kerajaan akan mengkaji sepenuhnya sama ada untuk membenarkan perjalanan dan lawatan merentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei akan datang.
Tetapi semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberikan amaran mengenai peningkatan jangkitan Covid-19 dan berkata di laman Facebook beliau: “Kita perlukan tahap disiplin yang tinggi untuk memutuskan jangkitan Covid-19 dalam negara kita.”
Mengapakah terdapat komunikasi dan mesej yang bertentangan seperti ini mengenai wabak Covid-19 -- menunjukkan kakistokrasi yang semakin parah?
Malah, perkara ini menjadi contoh mengapa selepas setahun berhadapan dengan wabak Covid-19 dan berhadapan dengan salah satu gelombang penularan wabak ini yang terpanjang di dunia, Malaysia masih tidak mempunyai strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak ini.
Bilakah negara kita akan berjaya untuk mengawal gelombang ketiga penularan ini dengan angka peningkatan harian dalam julat tiga dan dua angka?
Menurut satu jangkaan yang dilaporkan media tempatan, kadar peningkatan harian di negara kita tidak akan turun ke dalam julat tiga angka untuk tiga minggu lagi, sehingga 19 April 2021.
Adakah Kementerian Kesihatan bersetuju dengan jangkaan ini dan bilakah kita akan kembali ke hari-hari dengan peningkatan harian dalam julat dua angka?
Saya berharap kita akan dapat menurunkan kadar peningkatan harian ini kepada tiga angka dalam bulan ini dan penurunan kepada julat dua angka dalam bulan hadapan.
Malaysia perlu menangani wabak ini dengan lebih baik dan wabak ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk melakukan pelbagai dosa seperti mengenakan denda kompaun yang zalim, menindas, dan tidak masuk akal sebanyak RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat untuk kesalahan-kesalahan melanggar SOP Covid-19 dan masalah dosa masalah “Dua Darjat”, dan juga penggantungan sidang Parlimen dan pencabulan mandat Parlimen untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dalam pilihan raya akan datang.
Kita perlu menyemak semula secara menyeluruh strategi mengendali wabak Covid-19 di Malaysia, terutamanya untuk mempercepatkan program imunisasi Covid-19 kebangsaan supaya kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dapat kembali menjelang suku terakhir tahun ini.