Malaysia semakin hampir menjadi sebuah kakistokrasi apabila tidak ada sesiapa pun dalam Kabinet yang peduli mengenai prestasi negara kita dalam menguruskan wabak Covid-19 atau isu mengenai masalah profesionalisme dalam pasukan polis kita
Malaysia semakin hampir menjadi sebuah kakistokrasi apabila tidak ada sesiapa pun dalam Kabinet yang peduli mengenai prestasi negara kita dalam menguruskan wabak Covid-19 atau isu mengenai masalah profesionalisme dalam pasukan polis kita.
Kabinet berdepan dua cabaran bersejarah semalam -- pertamanya, sama ada untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, untuk memulakan usaha mobilisasi rakyat Malaysia untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021; dan kedua, sama ada Kabinet akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Integriti dan Profesionalisme Pasukan Polis untuk menjadikan pasukan polis Malaysia sebagai pasukan polis bertaraf dunia?
Bagaimanapun, Kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia ini telah gagal untuk menyahut cabaran bersejarah ini, sebaliknya, menunjukkan kegagalannya dan menyebabkan negara kita semakin menghampiri status sebagai sebuah kakistokrasi.
Semalam adalah hari ke-19 di mana kes baharu Covid-19 dicatatkan di bawah paras 2,000 kes, dan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang merupakan gelombang terpanjang di Malaysia masih terus berlarutan sehingga kini dan negara kita masih bergelut untuk membawa angka ini ke dalam julat tiga dan dua angka untuk mengawal wabak ini.
Kita kini kesuntukan masa.
Di Brazil, pakar perubatan bergelut dengan persoalan sama ada variasi baharu Covid-19 akan menjangkiti lebih ramai orang muda, berbeza dengan situasi semasa awal pandemik ini tercetus di mana golongan yang lebih tua adalah golongan yang lebih mudah dijangkiti, jatuh sakit dan meninggal dunia akibat wabak ini.
Semalam dilaporkan bahawa jumlah orang dewasa di Malaysia yang mendaftar dalam MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 hanya meningkat 2.36 peratus sepanjang minggu lalu.
Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 23 Mac hanya 26.56 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, meningkat hanya 2.36 peratus daripada 24.2 peratus keseluruhan populasi yang mendaftar setakat 17 Mac.
Dengan kadar ini, kira-kira 30 minggu diperlukan untuk semua orang dewasa di Malaysia untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, Kabinet tidak berminat untuk menangani isu ini meskipun laporan Bloomberg Covid Resilience Ranking pada Februari 2021 meletakkan Malaysia di tempat ke-23, lebih rendah berbanding Singapura (3), China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepan (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), India (16), Arab Saudi (17) dan Vietnam (18).
Pendedahan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang enteng dan Kabinet kini dilihat seakan-akan tidak peduli mengenai masalah ini, sekali gus memperlihatkan bagaimana Malaysia telah terjerumus ke dalam lembah kakistokrasi, memandangkan soal kepercayaan, kecemerlangan atau etika sudah semakin diabaikan di negara ini.
Kini, kita rakyat Malaysia perlu memikul tugas untuk menyelamatkan negara kita daripada menjadi sebuah kakistokrasi selepas kita berjaya menyelamatkan negara daripada terus digelar sebagai kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14.