Adakah Kabinet akan cuba untuk mengatasi dua cabaran bersejarah terbesar hari ini atau adakah ia akan terus menjadi satu kegagalan terbesar walaupun dengan saiz gergasinya
Jemaah Menteri berhadapan dengan dua cabaran besar hari ini.
Pertamanya, adakah Kabinet akan membincangkan dan memutuskan untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, untuk memulakan usaha mobilisasi rakyat Malaysia untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dalam negara menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021?
Kedua, adakah Kabinet akan membincangkan dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Integriti dan Profesionalisme Pasukan Polis, untuk memastikan pasukan polis dalam negara kita mampu untuk menjadi pasukan polis yang bertaraf dunia?
Walaupun kita tidak termasuk dalam liga yang sama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Brazil, India, dan negara-negara Eropah yang mencatatkan lebih daripada 30 juta kes terkumpul, dengan di antara 16,000 kematian di Belanda, sehingga ke 556,000 kematian di Amerika Syarikat, Malaysia masih tergolong dalam kalangan antara negara dengan prestasi terburuk di Asia Timur dan Asia Tenggara, seperti yang diperlihatkan dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg, yang meletakkan negara kita di tempat ke 23, lebih rendah berbanding dengan Singapura (3), China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepun (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), India (16 ), Arab Saudi (17) dan Vietnam (18).
Kita berada di tempat ke-45 di seluruh dunia dari segi jumlah kes terkumpul tertinggi, dengan 335,540 kes, jauh di hadapan Myanmar (tempat ke-78 - 142,246 kes) Korea Selatan (tempat ke-84 - 99,421 kes), China (tempat ke-88 - 90,115 kes), Singapura (tempat ke-100 - 60,221 kes), Thailand (tempat ke-116 - 28,277 kes) , Vietnam (tempat ke-176 - 2,575 kes), Kemboja (tempat ke-183 - 1,788 kes) dan Taiwan (tempat ke-189 - 1,007 kes), dengan peningkatan harian berada dalam julat di antara satu kes di Taiwan kepada 401 kes di Thailand.
Kita mempunyai reputasi buruk sebagai negara yang berhadapan dengan gelombang penularan terpanjang di dunia -- memandangkan gelombang ketiga wabak ini telah berterusan selama tujuh bulan sejak daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September tahun lalu dan kita kini masih lagi gagal untuk mengawal gelombang penularan ini untuk kembali ke kadar peningkatan harian dalam julat tiga dan dua angka.
Kabinet perlu mendengari apa yang dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong dan menasihati baginda untuk memanggil sidang Parlimen (terutamanya memandangkan Pertama Menteri sendiri adalah antara orang pertama yang divaksinkan, begitu juga dengan para menteri dan Ahli-ahli Parlimen) untuk menggerakkan negara kita sebagai satu pasukan yang bersatu padu untuk melawan wabak Covid-19 dan menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang mencatatkan prestasi yang baik dalam melawan wabak ini.
Marilah semua parti politik dan Ahli-ahli Parlimen bersetuju untuk memastikan tidak ada sebarang usul tidak percaya semasa darurat ini, supaya Parlimen boleh fokus hanya kepada usaha untuk melawan wabak Covid-19 dengan memastikan terdapat usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dengan menggemblengkan usaha daripada individu-individu dan badan-badan bukan kerajaan -- supaya negara kita dapat mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam mengawal wabk ini.
Cabaran besar kedua untuk Kabinet hari ini adalah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Integriti dan Profesionalisme Pasukan Polis untuk menjadikan pasukan polis di negara kita yang terbaik di dunia.
Kabinet tidak boleh mengabaikan pendedahan oleh Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, mengenai kewujudan sebuah kartel dalam pasukan polis yang cuba untuk membuang beliau dari jawatan beliau, dan juga isu mengenai masalah rasuah dan profesionalisme dalam pasukan polis, untuk membolehkan pasukan polis kita menjadi yang terbaik di dunia.
Adakah Kabinet akan berjaya untuk menyelesaikan masalah ini atau terus menjadi kegagalan walaupun sebagai Kabinet terbesar dalam sejarah negara?