Malaysia perlu memulihkan kedudukan moral kita di pentas antarabangsa, jika tidak seruan Muhyiddin kepada tentera di Myanmar untuk membebaskan Aung San Suu Kyi kelihatan ibarat “kuali mengatakan belanga hitam”
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyeru tentera Myanmar untuk membebaskan pemimpin yang diundi secara sah, Aung San Suu Kyi dan berhenti menggunakan keganasan.
Jika Muhyiddin tidak mengendahkan seruan daripada dalam dan luar negara supaya persidangan Parlimen diadakan, adakah tentera Myanmar akan mendengari seruan beliau ini?
Malaysia perlu memulihkan kedudukan moral kita di arena antarabangsa, jika tidak, kita akan terus dianggap sebagai tidak mempunyai keabsahan, dan seruan Muhyiddin kepada tentera Myanmar untuk membebaskan Aung San Suu Kyi dan berhenti daripada menggunakan keganasan dilihat ibarat “kuali mengatakan belanga hitam”.
Beberapa tahun yang lepas, Menteri Luar Negeri Amerika Syarikat mengatakan Malaysia sebagai “kleptokrasi di tahap terburuk”. Pada masa itu, sekiranya kita hadir ke persidangan antarabangsa, berkata mengenai masalah rasuah, pasti perkara tersebut akan menjadi satu skandal global.
Kerana itulah, pada saat-saat akhir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah menarik diri pada saat-saat akhir daripada merasmikan pembukaan Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) yang ke-16 di Putrajaya yang dihadiri oleh lebih daripada 1,000 orang delegasi daripada seluruh dunia pada bulan September 2015.
Namun, perkara ini bukanlah satu-satunya sebab mengapa Kabinet perlu memutuskan esok yang Parlimen perlu bersidang semula, terutamanya selepas Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.
Sebab utama lain mengapa Parlimen perlu bersidang adalah kerana penggantungan sidang Parlimen ini menjadi sebab utama negara kita menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam perang melawan wabak Covid-19.
Penggantungan sidang Parlimen ini adalah satu perkara yang merugikan negara kerana perbuatan ini merampas peluang untuk menggunakan Parlimen sebagai wadah untuk menggerakkan keseluruhan negara sebagai satu pasukan dalam melawan wabak Covid-19.
Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan, menunjukkan komitmen sambil lewa beliau kepada demokrasi berparlimen apabila beliau mengatakan yang Parlimen hanya akan bersidang apabila darurat tamat pada bulan Ogos dan memberikan hujah bahawa Parlimen tidak bersidang selama dua tahun dalam tempoh darurat pada tahun 1969.
Beliau mendakwa yang kerajaan berfungsi dengan baik walaupun Parlimen telah digantung melalui proklamasi darurat pada 11 Januari.
Kedua-dua kenyataan Takiyuddin ini salah. Pertamanya, Parlimen tidak digantung selama dua tahun pada tahun 1969. Pilihan Raya Umum diadakan pada 10 Mei 1969, dan Parlimen bersidang semula pada bulan Februari 1971.
Keduanya, kerajaan tidak berfungsi dengan baik untuk melawan wabak Covid-19 dengan penggantungan sidang Parlimen.
Walaupun kita tidak termasuk dalam liga yang sama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Brazil, India, dan negara-negara Eropah yang mencatatkan lebih daripada sejuta hingga 30 juta kes terkumpul, dengan sehingga 550,000 kematian di Amerika Syarikat, Malaysia masih tergolong dalam kalangan antara negara dengan prestasi terburuk di Asia Timur dan Asia Tenggara, seperti yang diperlihatkan dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg, yang meletakkan negara kita di tempat ke 23, lebih rendah berbanding dengan Singapura (3), China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepun (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), India (16 ), Arab Saudi (17) dan Vietnam (18).
Kita berada di tempat ke-45 di seluruh dunia dari segi jumlah kes terkumpul tertinggi, dengan 334,156 kes, jauh di hadapan Myanmar (tempat ke-78 - 142,246 kes) Korea Selatan (tempat ke-84 - 99,076 kes), China (tempat ke-88 - 90,106 kes), Singapura (tempat ke-100 - 60,208 kes), Thailand (tempat ke-116 - 27,876 kes) , Vietnam (tempat ke-176 - 2.575 kes), Kemboja (tempat ke-183 - 1,753 kes) dan Taiwan (tempat ke-189 - 1,006 kes).
Walaupun selepas dua bulan dengan darurat, kerajaan Muhyiddin masih gagal untuk mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 yang bermula akibat Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020 -- menjadikan gelombang ketiga di negara kita ini salah satu gelombang penularan terpanjang di dunia!
Kadar peningkatan sebanyak 1,116 semalam adalah hari ke-15 di mana kadar peningkatan harian kita berada di bawah paras 2,000 kes.
Kita perlu memastikan negara kita bergerak ke arah peningkatan harian dalam julat tiga dalam bulan Mac dan dua angka dalam bulan April, dengan kejayaan untuk mengawal gelombang ketiga wabak ini yang telah berterusan selama tujuh bulan sejak September lepas.
Sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga ini, kita juga perlu memastikan kita tidak akan berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini.
Kerana inilah Parlimen perlu bersidang semula.
Kita juga perlu memastikan kejayaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan, dan juga mempercepatkan pelaksanaan dan kejayaan program ini menjelang tempoh Hari Kebangsaan - Hari Malaysia supaya kehidupan normal dapat kembali dan proses pemulihan ekonomi dapat dimulakan.
Saya mengalu-alukan dua inisiatif yang diumumkan semalam mengenai cara alternatif pendaftaran vaksinasi dan pampasan bernilai RM500,000 kepada mereka yang berhadapan dengan kesan sampingan yang serius akibat daripada vaksinasi.
Kedua-dua inisiatif ini adalah amat dialu-alukan dan merupakan satu langkah positif dalam perang melawan wabak Covid-19, tetapi masih terdapat banyak kelemahan dalam strategi anti-Covid-19, dengan kegagalan untuk melaksanakan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan kerajaan” dalam melawan wabak Covid-19, termasuklah dengan penggantungan sesi Parlimen, kekal menjadi kelemahan terbesar kita buat masa ini.
Tidak adakah mana-mana Menteri yang berani untuk membangkitkan isu mengenai penggantungan sesi Parlimen ini dalam mesyuarat Kabinet esok?