Adakan sidang Parlimen untuk menyatu padukan seluruh negara untuk memerangi wabak Covid-19 untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara yang mempunyai prestasi terbaik dalam usaha memerangi wabak ini
Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengangkat demokrasi berparlimen selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Parlimen hanya akan bersidang selepas tempoh darurat berakhir selain membangkitkan hujah mengenai darurat yang diisytihar pada 1969 yang berlangsung selama dua tahun.
Takiyuddin mendakwa kerajaan berfungsi dengan baik walaupun persidangan Parlimen ditangguhkan melalui perisytiharan darurat yang mula berkuatkuasa pada 11 Januari lalu.
Takiyuddin perlu bertanggung jawab ke atas berita palsu ini, kerana kerajaan jelas tidak berfungsi dengan baik selepas Parlimen digantung.
Bolehkah beliau menjelaskan mengapa walau pun sudah lebih dua bulan darurat berjalan, kerajaan masih tidak dapat menangani gelombang ketiga wabak Covid-19, yang disebabkan oleh acara yang dihadiri penyebar utama (superspreader) pada Pilihan Raya Negeri Sabah September lalu?
Mengapakah Malaysia mengalami salah satu gelombang pandemik Covid-19 terpanjang di dunia, yang berlarutan selama tujuh bulan lamanya, dan kita masih tidak dapat menurunkan kadar kes harian Covid-19 kepada julat tiga dan kemudiannya dua angka?
1,327 kes positif Covid-19 dicatatkan pada hari ke-15 berturut-turut di mana kenaikan kes Covid-19 baharu setiap hari berada di bawah paras 2,000 kes.
Bolehkah kita memastikan bahawa kita dapat mengekalkan kes harian Covid-19 dalam lingkungan tiga angka dan menurunkan kes positif Covid-19 ke julat dua angka pada bulan April, sekaligus menamatkan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang berlarutan tujuh bulan lamanya sejak awal September tahun lalu -- di mana harapnya kita hanya akan mencatatkan 62 kes baharu Covid-19 pada Hari Malaysia, 16 September 2021 nanti.
Bolehkah kita memastikan bahawa sebelum gelombang ketiga Covid-19 dapat dikawal dan angka kes kembali menurun ke dua digit setiap hari, tidak akan berlaku gelombang keempat pandemik Covid-19 di Malaysia yang mencatatkan rekod kes tertinggi seperti mana pada 30 Januari lalu dengan 5,728 kes.
Bolehkah kita memastikan kejayaan Kempen Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan mempercepat serta menyiapkannya menjelang waktu sambutan Hari Kebangsaan - Hari Malaysia di antara 31 Ogos ke 16 September 2021 supaya ekonomi dapat dipulihkan dan kehidupan rakyat dapat kembali normal secepat mungkin.
Mengapakah Malaysia berada di antara negara dengan prestasi paling buruk di Asia Timur dan Asia Tenggara, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg Covid Resilience Ranking bagi Februari 2021 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke 23, lebih rendah berbanding Singapura (3), China (6), Taiwan ( 7), Korea Selatan (8), Jepun (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), India (16), Arab Saudi (17) dan Vietnam (18)?
Sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-22 dalam Bloomberg Covid Resilience Ranking bagi Disember 2020.
Adakah Singapura, China, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Thailand, Hong Kong, Israel, UAE, Arab Saudi dan Vietnam mengambil langkah menggantung sidang Parlimen mereka untuk memerangi wabak Covid-19?
Kerajaan Muhyiddin berada di landasan yang salah.
Saya tegaskan bahawa salah satu sebab utama mengapa Malaysia merupakan salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam memerangi pandemik Covid-19 adalah kerana berlakunya penggantungan Parlimen dan ketidakmampuan Parlimen untuk memainkan peranan semak dan imbang ke atas Eksekutif selain menggerakkan negara bagi memerangi wabak Covid-19.
Malaysia tidak akan tewas dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, jika tidak kerana Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara selama 22 bulan.
Gelombang kedua pandemik Covid-19 tidak seharusnya berlaku di Malaysia, dan ia tidak akan terjadi jika tidak berlaku Langkah Sheraton yang mengalihkan semua perhatian daripada usaha melawan pandemik Covid-19 kepada konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
Malah, gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia yang tidak ditangani dengan baik selepas ia berlarutan selama tujuh bulan tidak harus dibiarkan berlaku sama sekali.
Kabinet yang akan bermesyuarat pada Rabu depan perlu mendengar titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda untuk mengadakan sidang Parlimen pada April (kerana semua Menteri dan Ahli Parlimen sepatutnya sudah menerima suntikan vaksin) untuk menggerakkan seluruh negara sebagai satu pasukan bagi memerangi dan mengatasi wabak Covid-19 dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara di dunia yang mempunyai prestasi yang baik dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
Perlu ada persetujuan oleh semua parti politik dan ahli parlimen bahawa semasa darurat, tidak akan ada usul tidak percaya dibentang dan Parlimen akan memberikan tumpuan tunggal kepada isu bagaimana menggerakkan negara sebagai satu pasukan untuk memastikan pendekatan dan strategi "keseluruhan kerajaan" dan “keseluruhan masyarakat" dalam perang melawan pandemik Covid-19, menggembleng sokongan seluruh masyarakat -- organisasi dan individu -- supaya Malaysia dapat menjadi salah satu negara yang mempunyai prestasi yang baik bukan hanya di Asia tetapi juga di dunia.
Pandemik Covid-19 yang berlaku sepanjang dua tahun ini memberi beberapa teladan yang buruk yang tidak wajar diikuti, antaranya:
- Kedua-dua negara yang mendapat markah tertinggi dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global dan dianggap berada di kedudukan terbaik untuk menangani pandemik iaitu Amerika Syarikat dan United Kingdom, terbukti menjadi negara terburuk di dunia dalam usaha menangani pandemik Covid-19 - Amerika Syarikat mendahului negara-negara di dunia dengan lebih daripada 30.5 juta kes Covid-19 dan 550,000 kematian sementara UK berada di kedudukan ke-5 di antara negara-negara terburuk di dunia dengan hampir 4.3 juta kes Covid-19 dan lebih dari 126,000 kematian.
- Misteri yang menyelubungi kematian Presiden Tanzania yang menafikan kewujudan Covid, John Maqufuli - yang diragui sama ada benar-benar mati akibat Covid-19. Magufuli menangguhkan usaha penjejakan kes Covid di seluruh negara, dengan menyalahkan alat ujian yang rosak ekoran peningkatan jumlah jangkitan di negara tersebut. Angka terakhir yang dilaporkan adalah sebanyak 509 kes dengan 21 kematian pada bulan April tahun lalu dan ramai yang percaya bahawa Tanzania sedang mengalami gelombang kedua Covid ketika itu. Magufuli tidak membuat sebarang tawaran untuk mendapatkan vaksin Covid kerana meragui tahap keselamatannya, dan sebaliknya mempromosikan penggunaan doa, rawatan herba dan penyedutan wap untuk memerangi penyakit ini.
- Situasi yang mengerikan di Brazil yang berulang kali mencatatkan angka tertinggi kematian akibat Covid-19 setiap hari. Dalam seminggu yang lalu, negara tersebut mencipta rekod baharu dengan 14,492 kematian dan lebih daripada 511,209 kes baharu - melebihi Amerika Syarikat, satu-satunya negara di dunia yang paling teruk dilanda wabak tersebut dari pelbagai sudut.
- Eropah melepaskan peluang untuk menghentikan gelombang ketiga wabak Covid sebelum ia menjadi sangat tidak terkawal. Kini, negara-negara Eropah terpaksa membayar harga yang tinggi, dengan perintah berkurung baharu dikuatkuasakan di seluruh benua itu. Varian virus yang lebih menular, yang dikenali sebagai B.1.1.7, nampaknya menjadi penyebab utama di sebalik penularan dan angka kematian yang tinggi. Gelombang baharu dengan bilangan kes yang lebih tinggi tidak terhad di Eropah. Jumlah kes meningkat 10% di seluruh dunia sejak seminggu yang lalu, sekaligus meningkat kepada lebih dari 3 juta kes baharu, menurut laporan situasi terkini oleh WHO.
Semoga Malaysia tidak termasuk ke dalam senarai di atas, di mana Parlimen digantung bukan untuk memerangi Covid-18, tetapi untuk mengekalkan rejim dan menghalang Parlimen untuk memulakan usaha mobilisasi kebangsaan bagi menerapkan pendekatan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk menangani pandemik Covid-19 supaya ekonomi dapat dipulihkan dan kehidupan rakyat dapat kembali normal secepat mungkin.