Kabinet Muhyiddin Yassin yang akan bermesyuarat Rabu depan perlu membuka semula persidangan Parlimen menjelang hujung bulan April memandangkan semula Ahli Parlimen, kerajaan atau pembangkang, sepatutnya sudah menerima vaksin
Kabinet Muhyiddin Yassin yang akan bermesyuarat Rabu depan perlu membuka semula persidangan Parlimen menjelang hujung bulan April memandangkan semula Ahli Parlimen, kerajaan atau pembangkang, sepatutnya sudah menerima vaksin.
Tidak ada alasan lagi untuk kerajaan Muhyiddin terus-menerus menutup Parlimen atas empat sebab berikut:
- Parlimen boleh menolak untuk membenarkan Ahli Parlimen yang belum menerima vaksin daripada hadir ke Parlimen;
- Amat mengarut dan memalukan jika kebanyakan sektor ekonomi dibuka tetapi Parlimen tidak dibenarkan bersidang;
- Ordinan Darurat yang menaikkan kadar kompaun kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta pengenalan Ordinan Darurat Berita Tidak Benar telah menambahkandefisit keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi menangani Covid-19, lebih-lebih lagi apabila undang-undang itu dilihat sebagai terlalu menekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil. Ordinan-ordinan Darurat ini perlu digantung penguatkuasaannya sehinggalah mendapat kelulusan Parlimen; dan
- Yang di Pertuan Agong telah menitahkan bahawa Proklamasi Darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang.
Benarkan Parlimen bersidang menjelang hujung bulan April depan untuk menentukan sama ada Ordinan Darurat ini perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang atau dimansuhkan terus, mengikut kehendak sebenar rakyat.
Sebanyak 1,213 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam -- hari ke-13 berturut-turut negara kita melaporkan peningkatan kes harian di bawah paras 2,000 kes.
Saya yakin kita mampu menurunkan lagi kes harian Covid-19 ke bawah paras 1,000 kes dalam baki tempoh 12 hari bulan Mac dan seterusnya menurunkan lagi kadar peningkatan kes ini kepada julat dua angka dan seterusnya satu angka, sekaligus mengawal gelombang ketiga yang merupakan gelombang penularan Covid-19 yang paling lama di Malaysia.
Namun, perkara ini adalah suatu yang cabaran yang besar dan kerajaan perlu mengutamakan usaha untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama semua organisasi, termasuklah badan bukan kerajaan, untuk melancarkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak ini, dan bukannya dengan melaksanakan langkah-langkah yang bersifat menindas, tidak berpatutan, dan tidak adil seperti yang dilakukan melalui Ordinan Darurat sedia ada.