DAP komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat” untuk mendaftarkan seramai mungkin orang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19

Tiga minggu telah pun berlalu sejak daripada proses pendaftaran vaksin Covid-19 dibuka kepada orang awam pada 24 Februari 2021. Pada hari pertama pendaftaran, lebih daripada 500,000 orang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi mudah alih MySejahtera.

Baru-baru ini, jumlah pendaftaran baharu nampaknya telah berkurang dengan ketara. Pada 15 Mac, sejumlah 5,633,903 pendaftaran vaksin telah direkodkan. Pendaftaran baru setiap hari berada di bawah paras 100,000 pada 14 dan 15 Mac 2021.

Jumlah pendaftaran setakat ini merangkumi sekitar 23.4% daripada 24.1 juta pendaftaran yang disasarkan untuk mencapai 80% imuniti kelompok. (Jumlah pendaftaran yang disasarkan ini mungkin harus diselaraskan untuk mengambil kira pekerja asing tidak berdokumen).

Tanpa pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat” untuk mendaftarkan seramai mungkin orang untuk diberikan suntikan vaksin, kita berdepan dengan risiko kegagalan untuk mencapai imuniti kelompok.

Perkara ini akan membawa kesan serius bukan hanya terhadap kesihatan dan kesejahteraan fizikal rakyat Malaysia tetapi yang lebih penting lagi, akan memberi kesan yang lebih serius dan negatif terhadap kesejahteraan ekonomi negara.

Kita masih akan menghadapi kemungkinan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan kita tidak akan boleh dibuka untuk tujuan perniagaan dan pelancongan.

Memandangkan keseriusan masalah ini, saya menyeru agar SEMUA Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP untuk menjalankan kempen pendaftaran vaksin Covid-19 di seluruh negara di pelbagai tempat termasuklah pasar pagi, pasar malam, pusat khidmat masing-masing, pusat membeli-belah, kedai kopi dan lokasi-lokasi lain yang sesuai.

Semua Pengerusi DAP negeri perlu menubuhkan Jawatankuasa Pendaftaran Vaksin Covid-19 untuk memimpin inisiatif pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri masing-masing.

Hanya dengan semua pihak memainkan peranan mereka, kita akan dapat mencapai cita-cita untuk mencapai “imuniti kelompok” dan mengembalikan kehidupan secara normal semula seperti mana sebelum penularan wabak Covid-19. DAP bersedia untuk memainkan peranan sebaik mungkin bagi mencapai matlamat ini.

Pihak berkuasa perlu menyusun semula strategi untuk mempercepat kempen imunisasi kebangsaan, dan tidak bergantung sepenuhnya pada aplikasi MySejahtera, membuka pendaftaran bukan hanya melalui pendaftaran dalam talian tetapi juga dari luar talian; mengumpulkan lebih banyak pihak yang berkepentingan ke dalam program ini, termasuklah hospital swasta dan doktor am dalam negara, dan membolehkan syarikat, persatuan dan organisasi sukarela membantu dalam proses pendaftaran vaksinasi.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri