Keengganan kerajaan Muhyiddin untuk menggantung pelaksanaan ordinan darurat yang menyebabkan pihak polis untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 yang luar biasa, zalim, dan tidak berpatutan untuk pelanggaran peraturan PKP amat mengejutkan
Saya terkejut apabila membaca pengumuman semalam daripada Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan bahawa Putrajaya tidak akan memansuhkan ordinan darurat yang mengenakan denda kompaun sebanyak RM10,000 untuk pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi mengatakan yang denda ini akan dikurangkan selepas rayuan dibuat oleh individu yang dikenakan kompaun tersebut.
Perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan hari ini telah jauh tersasar daripada prinsip menjadi kerajaan yang berteraskan rakyat, dengan kerajaan langsung tidak peduli mengenai kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dengan memaksa rakyat untuk melalui pelbagai masalah untuk ke pejabat kesihatan daerah untuk merayu supaya denda kompaun sebanyak RM10,000 ini dapat dikurangkan, terutamanya apabila tidak ada sebarang garis panduan sekalipun untuk proses rayuan ini.
Adakah seruan saya semalam kepada para menteri dalam Kabinet Muhyiddin untuk mencadangkan supaya ordinan darurat yang tidak masuk akal, zalim, dan tidak berpatutan yang sepatutnya membantu usaha negara kita untuk melawan wabak Covid-19 tetapi di sebaliknya hanya membantu menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam kerajaan telah diabaikan?
Kita hanya akan tahu mengenai perkara ini selepas mesyuarat kabinet hari ini, sama ada seorang daripada sejumlah ramai dalam kabinet ini yang akan cuba untuk mewakili suara rakyat yang tersepit dan sama ada menteri tersebut bersedia untuk meletakkan jawatannya sebagai tanda bantahan terhadap ordinan darurat yang zalim dan tidak berpatutan ini.
Kita berterusan mendapat berita baik mengenai wabak Covid-19 dalam negara, dengan penurunan kadar peningkatan kes harian kepada 1,063 semalam, yang merupakan kadar terendah sejak 9 Disember tahun lalu -- satu petanda baik yang menunjukkan yang kita semakin hampir berjaya dalam mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 yang telah melanda negara kita selama tujuh bulan.
Gelombang ketiga ini telah mencapai kemuncaknya pada 30 Januari dengan mencatatkan 5,728 kes baharu pada hari tersebut, tetapi kita perlu sentiasa berjaga-jaga sehinggalah kita berjaya kembali ke kadar peningkatan dalam julat tiga dan dua angka.
Tetapi saya masih tidak boleh memahami keperluan untuk melaksanakan ordinan darurat yang zalim dan tidak berpatutan untuk melawan wabak Covid-19 sedangkan keutamaan kerajaan buat masa sekarang sepatutnya dalam usaha untuk menggerakkan keseluruhan negara untuk melawan wabak ini, dengan mempercepatkan dan memastikan kejayaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan untuk memastikan kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dapat dimulakan menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini.