Malaysia harus memulakan rancangan yang bercita-cita tinggi untuk mempercepatkan pengedaran vaksin Covid-19 dan menjayakan program ini menjelang sambutan Hari Kebangsaan-Hari Malaysia supaya negara kita dapat kembali normal dan usaha pemulihan ekonomi dapat dimulakan pada suku keempat tahun ini
Saya kecewa kerana tidak ada apa-apa yang dibuat mengenai cadangan saya dua minggu lalu supaya program imunisasi Covid-19 kebangsaan dipercepatkan supaya program ini dapat dijayakan lebih awal lagi sebelum daripada jadual sedia ada.
Saya ingin mengulangi seruan saya agar kita memulakan rancangan yang bercita-cita tinggi untuk mempercepatkan pengedaran vaksin Covid-19 dan menjayakan program ini menjelang sambutan Hari Kebangsaan-Hari Malaysia di antara 31 Ogos sehingga 16 September supaya negara kita dapat kembali normal dan usaha pemulihan ekonomi dapat dimulakan pada suku keempat tahun ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini sejumlah 321,331 individu telah menerima dos vaksin pertama mereka di bawah fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, semalam mengatakan bahawa 5.53 juta atau 22.8 peratus rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19, dengan Kelantan mencatatkan jumlah orang terendah, iaitu hanya 11.8% daripada penduduk di negeri tersebut.
Sekiranya kita ingin mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan menjayakannya dalam tempoh enam bulan yang akan datang, maka strategi dan pendekatan baru perlu dirancang -- yang tidak bergantung semata-mata kepada aplikasi MySejahtera, sebaliknya, membolehkan pendaftaran bukan sahaja melalui kaedah dalam talian tetapi juga pendaftaran secara normal; melibatkan lebih ramai pihak yang berkepentingan ke dalam program ini, termasuk hospital swasta dan doktor am dalam negara, dan membolehkan syarikat, persatuan dan organisasi sukarela membantu dalam proses pendaftaran vaksinasi.
Dalam ucapan pertama beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari, Joe Biden menggesa rakyat Amerika untuk memakai pelitup muka untuk melawan penularan wabak Covid-19 dan berjanji untuk mengedarkan vaksin kepada 100 juta orang rakyat Amerika dalam Seratus Hari pertamanya, dengan satu juta vaksinasi sehari.
Selepas melalui separuh daripada 100 hari pertamanya sebagai Presiden AS, kadar vaksinasi di Amerika Syarikat berada di paras pada kira-kira hampir 2.5 juta dos sehari, dan Presiden AS telah mempercepat program vaksinasi di Amerika Syarikat dengan menetapkan 1 Mei sebagai tarikh di mana setiap orang dewasa di Amerika Syarikat akan layak menerima vaksin koronavirus, dan menetapkan Hari Kemerdekaan Amerika pada 4 Julai sebagai tarikh sasaran untuk kembali ke normal.
Tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak boleh menjadi salah satu negara yang berprestasi lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19 dan menetapkan matlamat baru dan bercita-cita tinggi untuk sambutan Hari Kebangsaan-Hari Malaysia di antara 31 Ogos - 16 September 2021.