Seruan kepada para menteri untuk mencadangkan penggantungan segera ordinan darurat meningkatkan denda pelanggaran SOP RM10,000 yang tidak berpatutan dan menindas, dan ordinan darurat berita palsu yang tidak dirangka dengan baik, dalam mesyuarat Kabinet esok
Saya menganggap Kabinet Muhyiddin masih bermesyuarat pada setiap hari Rabu.
Jika betul, saya harap akan ada Menteri yang akan mencadangkan penggantungan segera pelaksanaan ordinan-ordinan darurat yang menindas, tidak berpatutan, dan tidak dirangka dengan baik yang dibuat kononnya untuk melawan wabak Covid-19 tetapi membawa hasil yang berlawanan -- dengan menghakis sokongan rakyat terhadap usaha kerajaan untuk mengawal gelombang ketiga wabak ini, supaya kita dapat kembali kepada kadar peningkatan tiga angka sehari dan kemudiannya kepada dua angka sehari.
Peningkatan 1,208 kes yang dicatatkan semalam, penurunan kepada kadar yang sudah lama tidak dilihat sejak awal Disember tahun lalu, menjadi satu petanda yang baik, yang menunjukkan kita mungkin akhirnya sedang berjaya mengawal penularan gelombang ketiga wabak ini.
Gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia telah berlarutan sejak daripada bulan September, dan selama tujuh bulan yang lepas, rakyat Malaysia sentiasa berharap untuk sampai ke hari di mana keadaan ini menunjukkan perubahan ke arah yang lebih baik.
Kita kelihatan seakan-akan kini melepasi tahap ini, dengan gelombang ketiga wabak ini mencapai kemuncaknya pada 30 Januari dengan 5,728 kes. Namun, gelombang ketiga wabak ini juga mengambil masa yang sangat lama untuk mencapai kadar peningkatan tiga angka sebelum kemudiannya ke dalam fasa peningkatan dalam julat dua angka.
Walaupun kita tidak mahu bersifat optimis tidak bertempat, saya masih berharap yang gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia ini akan terus reda dan dalam dua minggu terakhir bulan Mac ini, harapnya kita bakal melihat kadar peningkatan harian menurun kepada julat tiga angka.
Melihat kepada keadaan semasa, saya tidak dapat memahami sebab mengapa ordinan darurat yang menindas dan tidak berpatutan untuk melawan Covid-19 dilaksanakan sedangkan keutamaan kerajaan pada masa sekarang sepatutnya tertumpu kepada bagaimanakah kita dapat menggembeleng usaha keseluruhan negara untuk melawan wabak ini, dengan mempercepatkan dan memastikan kejayaan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan, supaya kita dapat kembali kepada keadaan normal dan memulakan proses pemulihan ekonomi seawal suku ketiga atau keempat tahun ini.
Penggubalan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang meningkatkan denda maksima untuk pelanggaran arah Perintah Kawalan Pergerakan kepada RM10,000 di mana polis diarahkan untuk mengeluarkan denda kompaun yang bernilai RM10,000 kemudiannya hanya boleh dikurangkan dengan rayuan kepada pegawai kesihatan daerah (tanpa diberikan sebarang garis panduan untuk berbuat demikian) adalah salah satu contoh peraturan darurat yang menindas, tidak berpatutan, dan tidak difikirkan dengan baik sebelum dilaksanakan.
Satu lagi contoh adalah ordinan darurat berita palsu mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat.
Adakah para menteri telah mendengar kemarahan rakyat terhadap ordinan-ordinan darurat yang menindas dan tidak berpatutan ini?
Tidak adakah seorang pun menteri yang akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat kabinet esok?
Saya berharap mesyuarat kabinet esok akan membawa berita baik kepada rakyat Malaysia.