Amat janggal sekali apabila Kerajaan Muhyiddin meminta maklum balas daripada masyarakat berhubungan dengan ordinan darurat berita tidak palsu sedangkan perkara itu sepatutnya dibuat sebelum ordinan darurat tersebut diwartakan
Kerajaan Muhyiddin melakukan sesuatu perkara yang janggal dengan meminta maklum balas daripada masyarakat berhubungan dengan ordinan darurat berita palsu, sedangkan perkara ini sepatutnya dibuat sebelum ordinan tersebut diwartakan.
Bagaimana tinjauan yang dibuat kerajaan ini boleh untuk berjaya dan mencapai matlamatnya untuk mengurangkan defisit keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan sedangkan kerajaan sendiri membuat sesuatu perkara yang janggal dan tidak masuk akal?
Jabatan Penerangan sedang mendapatkan maklum balas masyarakat tentang cara bagaimana untuk mengekang penularan berita palsu.
Sebagai permulaan, bagi mengatasi masalah defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 perlu digantung penguatkuasaannya sehingga semua pandangan masyarakat berkenaan perkara itu diambil kira.
Adakah kerajaan Muhyiddin bersedia untuk menunjukkan kejujuran dalam mendapatkan reaksi masyarakat tentang cara bagaimana untuk mengekang penularan berita tidak benar?
Keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan Muhyiddin kini jatuh ke tahap yang paling rendah, perkara ini berpunca daripada wujudnya masalah “Dua Darjat” dan kenyataan-kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh Menteri Kabinet.
Rakyat Malaysia masih menunggu Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun untuk menjelaskan kenyataan yang mengelirukan dan bercanggah yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Menteri Undang-undang berhubung ordinan berita palsu, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia memberi jaminan bahawa kerajaan akan membezakan kritikan dan berita palsu, sementara Menteri Undang-Undang pula memberikan mesej yang sangat berbeza dengan menyatakan bahawa sebarang dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapatkan proklamasi darurat kerana kehilangan majoriti di Dewan Rakyat akan ditafsir sebagai “berita palsu” di bawah ordinan berkenaan.
Dalam era internet yang yang sentiasa tersambung kini, mengapakah kerajaan Muhyiddin masih gagal untuk mengatasi masalah defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat selepas tiga hari yang lama?
Malah, Kerajaan Muhyiddin seharusnya bukan sahaja menangguhkan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 berhubung berita palsu, tetapi juga menangguhkan pelbagai ordinan darurat yang telah diwartakan secara tergesa-gesa dan tidak wajar sebagai undang-undang darurat tanpa mempertimbangkan semua faktor yang berkaitan, seperti Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Ordinan darurat ini menaikkan denda maksimum kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada RM10,000 dan seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, polis hanya diberi kuasa untuk mengeluarkan denda kompaun sebanyak RM10,000, dan walaupun RM10,000 kompaun dapat dikurangkan, ia perlu dimohon menerusi rayuan kepada pegawai kesihatan daerah.
Tetapi, seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Kiong semalam, tidak ada sebarang garis panduan di Pejabat Kesihatan tempatan mengenai cara untuk mengemukakan rayuan terhadap kompaun RM10,000 untuk individu yang didapati melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Keadaan tergesa-gesa dan kegagalan mempertimbangkan semua sudut masalah dalam melaksanakan peraturan baru itu telah diketengahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan semalam bahawa garis panduan itu hanya akan dikeluarkan hari ini, walaupun beratus-ratus orang telah didenda RM10,000 dalam tiga hari pertama ordinan itu diwartakan.
Undang-undang untuk menaikkan denda RM1,000 kepada RM10,000 perlu ditangguhkan, sehingga ada maklum balas orang ramai mengenai isu tersebut.
Saya setuju sepenuhnya dengan Sim bahawa untuk melawan Covid-19, perkara yang perlu diperkasakan dengan ujian saringan, penjejakan kontak rapat, dan diberikan rawatan, bukannya dengan mencari kesalahan orang ramai dan menghukum mereka dengan hukuman berat.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengumumkan di Konvensyen Negeri DAP Perak semalam bahawa DAP akan menawarkan bantuan perundangan percuma kepada sesiapa yang telah dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan yang berkaitan dengan SOP Covid-19 secara tidak adil.
Peguam dari seluruh negara yang bersemangat untuk menentang ordinan darurat yang tidak adil dan menindas ini yang bersedia untuk memberikan khidmat sukarela kepada orang ramai digalakkan untuk menghubungi DAP, inilah masanya untuk mengumpulkan peguam di seluruh negara yang bersedia untuk memerangi undang-undang yang tidak adil, yang menindas dan yang mendiskriminasikan rakyat.
Laporan semalam bahawa polis di Johor mengeluarkan kompaun sebanyak RM1.1 juta berhubung pelanggaran PKP dalam satu serbuan di Muar tidak membantu untuk menyelesaikan masalah defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat, kerana tindakan ini hanya memperkuatkan persepsi masyarakat bahawa Kerajaan Muhyiddin lebih berminat mengambil setiap sen dari rakyat yang sedang menderita dan bukannya mengumpulkan semua sumber yang ada untuk melawan wabak Covid-19.
Boleh dikatakan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia menginginkan wabak Covid-19 berakhir dalam waktu sesingkat mungkin dan mahu program vaksin kebangsaan berjaya.
Mengapa pihak berkuasa tidak dapat memanfaatkan semangat muhibah ini untuk memerangi pandemik Covid-19, sebaliknya terus menimbulkan sentimen negatif dan memecah-belah dalam negara kita?