Rangka semula strategi supaya Malaysia dapat menjadi salah satu negara dengan prestasi yang lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19
Hanya setahun yang lepas, pada 11 Mac, ketika terdapat 118,000 kes Covid-19 di seluruh dunia di 114 negara, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik.
Setahun kemudian, jumlah kes Covid-19 global telah meningkat lebih dari 1,000 kali ganda sehingga melepasi paras 120 juta kes dan telah mengesankan 219 negara dan wilayah, meninggalkan kesan yang besar kepada masyarakat dan ekonomi di seluruh dunia.
Amerika Syarikat kekal sebagai negara teratas di dunia dengan lebih dari 30 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 546,000 kematian, sementara Brazil baru saja mengatasi India sebagai negara kedua di dunia dengan jumlah kes Covid-19 yang paling tertinggi -- dengan hampir 11.5 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 277,000 kematian. India, negara ketiga di yang mencatatkan lebih daripada 10 juta kes, merekodkan 11.3 juta kes dan 158,642 kematian.
Wabak Covid-19 telah membuktikan Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) salah. Indeks yang diterbitkan pada tahun 2019 untuk mengenal pasti negara-negara yang berpotensi untuk berprestasi dengan baik dalam menangani penyakit berwabak.
Para pakar berpendapat bahawa negara-negara yang paling baik untuk menangani penyakit seperti Covid-19 adalah negara-negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, tetapi perkara ini terbukti salah.
Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah antara dua negara yang mendapat markah tertinggi dalam Indeks GHS tetapi mereka adalah antara yang mencatatkan prestasi terburuk dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.
Malaysia berada di kedudukan yang tinggi sebagai negara di tempat ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global, tetapi dalam Indeks Ketahanan Covid Bloomberg Februari 2021, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding dengan Singapura (Indeks GHS No. 24), China (51), Jepun (21), Israel (54), India (57), Arab Saudi (47) dan Vietnam (50).
Malah, kita menyaksikan salah satu gelombang terpanjang wabak Covid-19 di dunia. Gelombang ketiga wabak Covid-19, yang bermula pada bulan September tahun lalu, telah berlarutan selama tujuh bulan, dan walaupun kenaikan harian kini telah turun ke paras di bawah 2,000 kes sehari dalam lapan hari yang lepas -- berada di antara 1,280 kes pada 9 Mac hingga 1,683 pada 7 Mac -- kita belum berjaya mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 ini secara sepenuhnya kerana kita belum lagi kembali ke angka yang dilihat pada bulan Disember, sekitar peningkatan dalam julat tiga angka sehari.
Kita mesti berusaha menurunkan kadar kenaikan harian kes Covid-19 baru kepada julat tiga angka dalam bulan ini dan kemudiannya kepada julat dua angka.
Terdapat keperluan mendesak untuk Malaysia menyusun semula pendekatan dan strategi Covid-19 kita agar Malaysia dapat menjadi salah satu negara mempunyai prestasi yang lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19.
Pada bulan November tahun lalu, kita berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul di seluruh dunia, tetapi negara kita telah melonjak 40 kedudukan dan kini berada di kedudukan ke-45, sedangkan kedudukan China pula turun ke tempat ke-86 di antara negara-negara di dunia.
Kerajaan masih belum menggunapakai strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid -19 untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan, untuk memastikan infrastruktur pendidikan, sosial dan ekonomi kita dikekalkan pada tahap optimum.
Sebagai permulaan, kerajaan perlu memberikan respons yang berpatutan kepada Surat Terbuka kepada Perdana Menteri yang dipena oleh 46 orang pakar perubatan dan kesihatan pada 7 Januari 2021 yang menyeru supaya pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dilaksanakan dalam perang melawan wabak ini, termasuklah dengan membentuk satu Pasukan Tindakan Covid-19 yang dianggotai oleh ahli-ahli dari pelbagai sektor dan pakar-pakar yang diperkuasakan untuk mengemudi negara kita keluar daripada pandemik ini dengan membentangkan dapatan kajian mereka kepada Kabinet.
Di seluruh dunia, lebih daripada 354 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 121 buah negara, termasuk 105 juta dos di Amerika Syarikat dan 52 juta dos di China, pada kadar kira-kira 9.14 juta dos sehari.
Walaupun vaksin bukanlah penawar ajaib untuk wabak Covid-19, kita perlu memastikan kejayaan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan memandangkan kita sedang kesuntukan masa terutamanya dengan kemunculan pelbagai variasi baharu virus ini.
Kita juga perlu mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 supaya kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dapat dimulakan secepat mungkin -- mungkin seawal suku ketiga atau keempat tahun ini.
Semua perkara ini memerlukan kepimpinan yang tangkas, tindakan yang kreatif, komunikasi yang pantas dan berkesan kepada rakyat, keyakinan dan kepercayaan rakyat, dan bukannya kesilapan-kesilapan kasar seperti mengenakan denda RM10,000 kepada rakyat yang telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 atau pewartaan ordinan darurat berita palsu mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat.