Mengapakah Peguam Negara mengelakkan persoalan mengenai sama ada beliau akan mendakwa sesiapa yang mengatakan bahawa darurat diisytiharkan kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti di Parlimen di bawah ordinan darurat berita palsu

Mengapakah Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun mengelakkan persoalan mengenai sama ada beliau akan mendakwa sesiapa yang mengatakan bahawa darurat diisytiharkan kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti di Parlimen di bawah ordinan darurat berita palsu

Persoalan ini menjadi relevan kerana dua kenyataan yang berbeza yang diberikan oleh Menteri Kabinet: pertama, jaminan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah semalam bahawa kerajaan akan membezakan antara kritikan dan berita palsu; dan kedua, kenyataan oleh Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan dalam sidang media bersama sebelumnya dengan Saifuddin bahawa menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 bagi sesiapa yang mengatakan bahawa Muhyiddin mendapatkan pengisytiharan darurat kerana kerajaan beliau telah kehilangan majoriti di Parlimen dan tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Yang mana satu yang betul? Saifuddin atau Takiyuddin?

Jaminan oleh Saifuddin bahawa tujuan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 bukanlah untuk mengekang kebebasan media dan menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik kerajaan tidak mempunyai sebarang nilai, melainkan sekiranya Peguam Negara menjelaskan pendiriannya sama ada beliau akan mendakwa mana-mana orang di bawah Ordinan Darurat berita palsu kerana menuduh bahawa pengisytiharan darurat dibuat kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti di Parlimen.

Saya telah bertanya sama ada pakar nefrologi Dr. Rafidah Abdullah dan tiga pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohd Sabu akan didakwa dengan ordinan darurat berita palsu, Dr Rafidah kerana ciapan beliau mengenai masalah "Dua Darjat 2.0" semasa pelancaran program vaksinasi kebangsaan manakala pemimpin PH pula kerana kenyataan bersama mereka pada 12 Januari mengenai Proklamasi Darurat.

Walaupun pendakwaan seperti itu akan bermasalah kerana masalah kesan retrospektif Ordinan ini, persoalan yang penting dan relevan adalah adakah Ordinan ini dirancang untuk mencegah ciapan seperti mana yang dibuat oleh Dr Rafidah atau kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh tiga orang pemimpin Pakatan Harapan tersebut di masa hadapan.

Mengapakah Kerajaan Muhyiddin mengelak persoalan-persoalan ini, dan juga persoalan sama ada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 ini telah dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan dan mengapa Kabinet tidak mencadangkan bahawa sebelum Ordinan ini diwartakan, perlu ada tempoh maklum balas orang ramai dari organisasi dan individu yang berminat?

Semua parti politik di Malaysia mahu wabak Covid-19 berakhir seawal mungkin dan ingin melihat kejayaan kempen vaksinasi nasional Covid-19.

Malah, pihak berwajib perlu mengambil iktibar daripada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang mengumumkan bahawa setiap orang dewasa di Amerika akan layak menerima vaksinasi Covid-19 menjelang 1 Mei dan menetapkan Hari Kemerdekaan 4 Julai sebagai sasaran untuk kehidupan mula kembali normal.

Apa yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September 2021?

Saya telah menyeru pemercepatan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan untuk menyegerakan jangka masa pelaksanaannya supaya proses kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dapat dimulakan bermula pada suku ketiga atau empat tahun ini.

Adakah pihak berkuasa sedang mengusahakan perkara ini?

Sebaliknya, apa yang kita dapat adalah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 mengenai berita palsu berkaitan dengan Covid-19 dan pengisytiharan darurat, satu perkara yang paling memecah belah, mengganggu dan meruntuhkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

Seorang Menteri Kabinet telah mengatakan bahawa "tujuh atau lapan lagi" Ahli Parlimen Pembangkang akan melompat untuk menyokong Perdana Menteri.

Mengapa penolakan berterusan untuk mengadakan sidang Parlimen, terutamanya selepas Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah mengatakan dengan jelas sekali bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat, untuk membolehkan Parlimen melaksanakan peranan semak imbangnya kepada pihak Eksekutif?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri