Adakah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 diluluskan oleh Kabinet sebelum menjadi undang-undang hari ini?
Saya menyambut baik kenyataan Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengenai isu pemberi maklumat yang telah mendedahkan masalah dengan program vaksinasi yang sedang berlangsung dan ordinan berita palsu yang berkaitan dengan Covid-19 dan pengisytiharan darurat.
Perkara ini menimbulkan tujuh persoalan yang penting:
Pertama, adakah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang mula berkuat kuasa hari ini telah dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan?
Atau adakah ordinan darurat diwartakan tanpa perlu melalui Kabinet?
Kedua, mengapakah Menteri Kabinet, terutamanya yang bertanggungjawab kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, tidak mengubah Ordinan ini untuk memastikan pemberi maklumat mengenai program vaksinasi kebangsaan, seperti pakar nefrologi dan petugas barisan hadapan Dr Rafidah Abdullah tidak akan berhadapan dengan masalah dengan Ordinan ini?
Ketiga, mengapakah Ordinan ini terkekang hanya kepada berita palsu mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat dan tidak meliputi berita palsu dan maklumat palsu yang telah meracuni hubungan antara kaum dan agama di Malaysia dalam beberapa tahun yang lepas?
Keempat, adakah ciapan Dr Rafidah Abdullah mengenai masalah “Dua Darjat 2.0” dan kenyataan bersama tiga orang pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohd Sabu pada 12 Januari mengenai Proklamasi Darurat menjadi punca pewartaan Ordinan ini?
Kelima, mengapakah Kabinet tidak mencadangkan, sebelum Ordinan ini diwartakan, supaya wujudnya tempoh maklum balas awam daripada organisasi dan individu yang berminat?
Keenam, adakah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 ini akan menjadi norma baharu, di mana Ordinan diwartakan secara tiba-tiba menjadi undang-undang tanpa sebarang notis, perbahasan, atau perbincangan?
Ketujuh, adakah Kabinet Muhyiddin bersedia untuk menggantung pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 ke suatu tarikh yang lebih lambat sehingga pindaan dan maklum balas orang awam dapat diambil kira sebelum pelaksanaan Ordinan ini?