Adakah petugas barisan hadapan Dr Rafidah Abdullah dan tiga pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu kini boleh didakwa di bawah Ordinan Darurat berita palsu yang kononnya dirangka untuk melawan berita palsu berkenaan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat?
Adakah pakar nefrologi dan petugas barisan hadapan, Dr Rafidah Abdullah, dan tiga orang pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu boleh didakwa di bawah Ordinan Darurat berita palsu yang kononnya dirangka untuk melawan berita palsu berkenaan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat?
Dr Rafidah menjadi sebutan ramai apa bila beliau bercakap mengenai kesaksamaan vaksin seperti yang digalakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan memaklumkan kepada kerajaan mengenai masalah “Dua Darjat 2.0” dan menggesa pihak berkuasa untuk “MENJAGA kebajikan petugas2 kesihatan-hospital, swasta & komuniti; bukan yang berDARJAT”.
Walaupun lebih daripada 330 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di lebih daripada 121 buah negara, seruan WHO untuk memastikan kesaksamaan vaksin masih lagi relevan, memandangkan para petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan dalam tindak balas melawan wabak ini masih lagi kerap berada dalam situasi yang tidak dilindungi sepenuhnya dan berhadapan dengan pendedahan yang tinggi terhadap wabak ini.
WHO mengatakan: “Golongan wanita membentuk sebahagian besar petugas kesihatan dan penjagaan, dan terima kasih kepada profesionalisme, keberanian, dan dedikasi mereka, dalam keadaan yang amat mencabar, kadar kematian di seluruh dunia akibat wabak ini tidak menjadi lebih tinggi. Kerana sifat belas kasihan dan kemanusiaan mereka juga, mereka yang telah pergi mendapat rawatan dan layanan dengan penuh kehormatan dalam saat-saat terakhir mereka.”
WHO mengatakan: “Pelbagai variasi wabak ini menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi, malah sesetengah menunjukkan ketahanan terhadap alat-alat perubatan yang diperlukan untuk mengekang virus ini. Cara terbaik untuk menamatkan pandemik ini adalah dengan menghentikan kemunculan variasi baharu dan menyelamatkan nyawa untuk mengekang penularan dengan menjalankan vaksinasi secepat mungkin dan secara adil, bermula dengan petugas kesihatan.”
Dalam mengumumkan 2021 sebagai Tahun Petugas Kesihatan dan Penjagaan, WHO menekankan bahawa “pengedaran vaksin Covid-19 secara pantas dan adil penting untuk menamatkan penularan wabak Covid-19, untuk memulakan semula ekonomi kita, dan mula menguruskan pelbagai masalah dan cabaran masa kini seperti keselamatan bekalan makanan, ketidaksamaan pendapatan, dan krisis iklim.”
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang juga merupakan menteri koordinasi Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan telah mengatakan yang kerajaan memandang serius pendedahan melalui media sosial mengenai potongan barisan untuk mendapatkan vaksin Covid-19, dan bahawa pasukan beliau akan menyiasat aduan yang dilaporkan.
Tetapi, adakah Dr Rafidah kini bakal berhadapan dengan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat mengenai berita palsu, yang berkuatkuasa hari ini, berhadapan dengan kemungkinan didenda sehingga RM100,000 denda, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali?
Dalam situasi yang sama, adakah ketiga-tiga pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohd Sabu, bakal berhadapan dengan penangkapan dan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat ini atas kenyataan bersama mereka pada 12 Januari yang menolak penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keperluan pengisytiharan darurat untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menggantung sidang Parlimen dan pilihan raya?
Kita perlu belajar daripada kesilapan dalam 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Di Melaka semalam, saya telah mengatakan yang Malaysia kini dilanda dengan terlalu banyak perkara negatif -- dan ordinan berita palsu ini adalah contoh terbarunya.
Terdapat terlalu banyak kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan, yang menimbulkan perasaan syak wasangka dan kebencian dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya di Malaysia -- tetapi kita tidak boleh menggunakan perkara-perkara negatif ini untuk menegakkan tindakan-tindakan yang mengekang hak asasi kita.
Kita perlukan lebih banyak perkara positif dan perlu bergerak meninggalkan politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan ini yang bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama dan budaya yang bertemu di Malaysia, tetapi juga menjadi sebab utama mengapa kita gagal merealisasikan impian Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Kita perlu memupuk semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun parti politik; menghentikan peningkatan sifat tidak bertoleransi, kebencian, dan ekstremisme dalam masyarakat majmuk di negara kita yang timbul melalui penipuan, berita palsu, maklumat palsu, kebencian, dan momokan, dan sebaliknya membina Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara hebat yang berteraskan keadilan, kecemerlangan, integriti, dialog antara agama, persefahaman, dan toleransi!
Selama lebih daripada sedekad, Malaysia telah membiarkan perkara-perkara negatif ini untuk bergerak dengan bebas.
Sebagai contoh, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan, bermula dengan berita palsu dan maklumat palsu kononnya kerajaan PH ini anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja kerana DAP adalah kuasa sebenar disebaliknya, kononnya usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD).
Seorang pemimpin telah menuduh dengan berita palsu ini mengatakan ratifikasi ICERD bakal menyebabkan umat Islam hidup dengan ketidakadilan dan penindasan, menjadikan kewajipan kepada semua orang Islam untuk menentang ICERD yang kononnya merupakan agenda Freemason untuk memusnahkan “agama, bangsa, dan negara”.
Tetapi, 48 daripada 50 negara yang majoriti penduduknya Islam di seluruh dunia, yang membentuk kira-kira 99% populasi Muslim di seluruh dunia, termasuklah negara seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Mesir, Jordan, Yaman, Qatar, Oman, UAE, Algeria, Pakistan, Turki, Tunisia, Morocco, Indonesia, dan Bangladesh telah meratifikasi ICERD.
Adakah 99% penduduk Muslim di seluruh dunia, termasuklah mereka yang tinggal di 55 daripada 57 buah negara yang membentuk Persidangan Islam Sedunia (OIC) ini hidup di bawah ketidakadilan dan penindasan akibat ICERD?
Adakah pemimpin ini kini akan didakwa kerana menyebarkan berita palsu sebegini?
Tetapi yang paling penting sekali, DAP bukanlah pencetus usaha untuk meratifikasikan ICERD di bawah kerajaan Pakatan Harapan, tetapi perkara ini adalah kerja Menteri Luar Negeri semasa itu, yang kini merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang sehingga hari ini tidak berani untuk mengakui yang cadangan ratifikasi ICERD ini adalah inisiatif beliau sendiri dan tidak ada apa-apa kaitan dengan DAP -- walaupun kini DAP yang sering dipersalahkan.
Walaupun dengan segala perkara buruk dalam dekad yang lepas, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum tidak boleh berputus asa untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik dan bersatu-padu dan kita tidak boleh melupakan Impian kita untuk melihat negara kita menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Tetapi, kita mesti mengisytiharkan perang terhadap perkara negatif di dalam negara kita dan menggalakkan percambahan nilai dan perkara positif.
Mustahil untuk kita membina perkara yang positif jika pada dalam masa yang sama kita menggalakkan perkara yang negatif. Kita perlu membina perkara yang positif dalam negara kita, bermula dengan organisasi masing-masing.
Marilah kita berhadap supaya mesej di Melaka semalam -- bahawa kita perlu menggantikan perkara-perkara negatif dengan perkara-perkara yang positif di Malaysia -- sampai ke seluruh negara, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau parti politik, untuk membina sebuah Malaysia yang hebat dan bertaraf dunia dan bukannya menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara yang gagal.