Menyatukan semula dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk berusaha ke arah mencapai Impian untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dalam pelbagai bidang usaha yang diceburi manusia
Minggu hadapan akan menyaksikan genap 55 tahun sejak daripada pendaftaran DAP dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Kami membentuk DAP kerana kami mahu Malaysia menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diusahakan umat manusia, bukan untuk melihat negara kita menjadi sebuah negara dunia ketiga yang tidak menyerlah.
Matlamat ini menjadi cabaran kepada setiap generasi di Malaysia.
Ironinya, wabak Covid-19 yang berlarutan selama setahun yang lepas -- yang telah menyebabkan sebegitu banyak kerosakan di seluruh dunia -- membuktikan bahawa kita telah mundur ke belakang dalam mengejar Impian Malaysia kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, dengan pelbagai negara lain mengatasi Malaysia dalam pencapaian dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Baru-baru ini Bank Dunia telah mengeluarkan laporan mengenai "Aspirasi Tidak Tercapai" di Malaysia, sementara NGO di Malaysia di dalam Civicus telah melaporkan mengenai "Kemunduran Hak" dalam tahun lepas.
Dalam penerbitan bulanan terkini Carta Ketahanan Covid Bloomberg pada akhir Februari 2021, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding dengan Singapura (3), China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepun (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), India (16), Arab Saudi (17), dan Vietnam (18) manakala Malaysia berada di kedudukan ke-23 dalam indeks ini.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga berbanding dengan kedudukan dalam bulan Januari di mana kita berada di tangga ke-16. Tetapi semasa itu sekali pun kita masih kalah dengan Singapura, Taiwan, China, Jepun, Hong Kong, Vietnam, UAE, Korea Selatan, Thailand dan Israel dan hanya mendahului India dan Arab Saudi.
Melihat kepada penurunan kadar kes baharu Covid-19 setiap hari, akhirnya kita kelihatan seperti sudah beralih arah dan mula berjaya mengawal gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 ini selepas tujuh bulan, menjadikan gelombang ketiga ini salah satu gelombang terlama di seluruh dunia -- dan kita masih lagi belum kembali ke arah peningkatan kes harian dalam julat tiga dan dua angka.
Wawasan 2020 yang diperkenalkan 30 tahun yang lepas untuk membentuk Malaysia yang maju sepenuhnya -- bersatu-padu, berkeyakinan, bermoral, beretika, demokratik, liberal dan bertoleransi, prihatin, adil dan saksama dari segi ekonomi, progresif dan makmur dan memiliki ekonomi yang kompetitif, dinamik, mantap dan berdaya tahan -- berakhir tanpa sebarang diingati.
Saiz kegagalan untuk mencapai cita-cita Wawasan 2020 ini boleh diukur daripada kegagalan negara kita untuk menyempurnakan sembilan cabaran utama rancangan ini menjelang tahun 2020, iaitu:
- Mewujudkan negara Malaysia yang terdiri daripada satu bangsa Malaysia.
- Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju.
- Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.
- Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika.
- Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur.
- Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.
- Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.
- Memastikan masyarakat yang adil ekonominya, di mana terdapat pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.
- Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
Baru-baru ini, Malaysia dibanjiri dengan banyak perkara negatif -- kebencian, pembohongan, kepalsuan dan momokan yang tidak berasas, menimbulkan rasa syak wasangka dan permusuhan di antara pelbagai kaum, agama, dan budaya yang bertemu di Malaysia.
Malaysia memerlukan lebih banyak perkara positif dan kita perlu menjauhkan diri daripada politik kebencian, pembohongan, kepalsuan dan momokan yang bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama dan peradaban utama dunia yang yang bertemu di Malaysia, tetapi menjadi sebab utama mengapa kita gagal untuk menjayakan visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadikan Malaysia sebagai satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara menetapkan asas untuk sebuah negara Malaysia yang bersatu dan hebat, dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah sama ada kita boleh menempa pembinaan negara bangsa yang menggabungkan pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya yang bertemu di Malaysia untuk menjadi satu model entiti majmuk yang bersatu padu, bertoleransi, berjaya, progresif dan sejahtera dalam dunia yang kompleks dan pelbagai.
Cabaran terbesar kita dalam Malaysia Baharu adalah bagaimana untuk kita mendekati orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban yang hidup hanya di dalam persekitaran etnik mereka sendiri, untuk berkongsi dengan mereka gambaran besar dan perspektif Malaysia -- cita-cita bahawa negara bangsa Malaysia yang disayangi ini adalah milik semua tanpa mengira etnik di Malaysia dan bahawa kita mempunyai masa hadapan bersama.
Sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai pelbagai identiti -- etnik, agama, bahasa, budaya -- tetapi kita mempunyai satu identiti utama yang sama sebagai rakyat Malaysia.
Tidak ada sesiapa pun yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk melupakan bahawa dia adalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, tetapi semua orang pertamanya dan paling utamanya adalah seorang rakyat Malaysia.
Bolehkah semangat penyatuan sebagai rakyat Malaysia yang melangkaui politik perkauman, keagamaan, wilayah atau kepartian ini menang di negara kita, sehingga kita tidak akan terganggu daripada mengejar Impian Malaysia kita untuk membina sebuah Malaysia yang bertaraf dunia untuk semua rakyat Malaysia?
Bagaimanakah boleh untuk kita memupuk ikatan penyatuan dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik kepartian dan menghentikan peningkatan politik toksik yang bersifat tidak bertoleransi dan ekstremis dalam masyarakat majmuk kita yang muncul melalui pembohongan, berita palsu, maklumat palsu, kebencian dan momokan?
Mengapakah sebuah Malaysia yang majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya kita tidak boleh menjadi salah satu negara terulung di dunia dalam dialog dan persefahaman antara agama?
Pada pengakhiran Wawasan 2020, kita masih dihantui dengan kontroversi sama ada umat Islam boleh mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan Kristian mereka, sedangkan Menteri Agama baharu di Indonesia, Yaqut Cholil Quomas, mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada masyarakat Kristian, mengunjungi Gereja Kristian, dan memberikan pesanan kepada semua komuniti agama di Indonesia "untuk menjadikan agama sebagai sumber inspirasi, sumber perdamaian dan menyebarkan kasih sayang bersama".
Bulan lepas, Indonesia menubuhkan universiti Hindu pertama di negara tersebut di Denpasar, Bali. Pada 31 Januari, Presiden Indonesia, Widodo menandatangani ketetapan untuk menubuhkan universiti baharu tersebut yang dinamakan sempena Gusti Bagus Sugriwa, seorang pemimpin agama, pendidikan dan masyarakat yang terkenal di negara tersebut -- menunjukkan kekuatan semangat pluralisme di Indonesia di mana semua dapat menyumbang kepada pembangunan menyeluruh.
Emiriah Arab Bersatu mengisytiharkan 2019 sebagai "Tahun Toleransi" nasional untuk pelbagai komuniti agama di negara tersebut, dan pada tahun 2017, menubuhkan Kementerian Toleransi pertama di dunia.
Terdapat satu Indeks Keislaman global yang dibangunkan oleh dua orang sarjana Muslim, di mana negara-negara dengan majoriti penduduk Muslim yang berprestasi terbaik sekalipun dalam kategori hak asasi manusia dan politik menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia.
Secara keseluruhan, markah tertinggi negara didahului oleh New Zealand dan negara-negara Skandinavia sementara yang di tempat terbawah adalah semua negara dengan majoriti penduduk Muslim -- Yaman, Sudan dan Chad.
Kita diingatkan dengan apa yang dikatakan oleh seorang sarjana Muslim Mesir yang terkenal, Muhamad Abdul lebih daripada satu abad yang lalu: “Saya telah pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak ada orang Islam; Saya kembali ke Timur dan melihat orang Islam, tetapi tidak ada Islam ”.
Malaysia memerlukan satu konsensus nasional baharu untuk mengembalikan usaha untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengelakkan negara kita dari melencong ke arah menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal.
Sejak tahun 1970, KDNK Malaysia telah meningkat 90 kali ganda, tetapi Indonesia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 117 kali ganda, Vietnam 122 kali ganda, China 163 kali ganda, Singapura 175 kali ganda, dan Korea Selatan 178 kali ganda.
Dalam tempoh 50 tahun yang lepas, Singapura dan Vietnam telah mengatasi Malaysia dengan mempunyai KDNK yang lebih besar.
Terdapat pandangan bahawa Malaysia kurang menarik sebagai destinasi pelaburan berbanding dengan Indonesia kerana seperti Singapura dan Vietnam, Indonesia mempunyai kestabilan politik, mempunyai sumber dan kerajaan yang mesra kepada perniagaan dan mereka menawarkan insentif ekonomi untuk perniagaan.
Adakah Malaysia sedang kalah dengan negara-negara ini dalam mewujudkan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan teknologi, kematangan dan kestabilan politik, keharmonian antara kaum, kedaulatan undang-undang, kawalan rasuah dan pentadbiran yang berkesan?
Kita tidak boleh berhenti berharap dan berputus asa.
Walaupun dengan peninggalan yang berskala besar dan mendalam dari kerajaan Barisan Nasional sebelumnya telah menghalang kerajaan Pakatan Harapan untuk segera melaksanakan janji-janjinya sebelum digulingkan hanya selepas 22 bulan, terdapat keperluan untuk reformasi institusi yang sangat mendesak dan kita tidak boleh kembali kleptokrasi, ketidakadilan dan penindasan seperti pada masa lampau.
Mari kita akhiri penyebaran pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian yang tidak bertanggungjawab di mana banyak video lama, mesej WhatsApp dan perkara-perkara yang telah digali dan disebarkan semula, untuk menyerang DAP sebagai "komunis moden di Malaysia", misalnya, penipuan yang kononnya saya datang dari "Funan", China ketika saya berumur 16 tahun.
Tuduhan bahawa saya datang daripada Funan ke Malaya pada tahun 1957 semasa saya berumur 16 tahun ini adalah penipuan sama sekali. Pertamanya, Funan terletak di Kemboja dan bukannya di China, walaupun terdapat daerah Funan di wilayah Anhui di Timur China.
Saya dilahirkan di Batu Pahat dan bersekolah di sana.
Daripada membazirkan tenaga kita dalam berhadapan dengan penipuan, berita palsu, dan ucapan kebencian, marilah kita rakyat Malaysia bangkit bersama sebagai bangsa yang bersatu-padu untuk menunjukkan komitmen dan iltizam kita untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berkelas dunia yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti sebagai contoh kepada dunia yang kita merupakan kejayaan pertemuan peradaban hebat Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat dan bukannya satu contoh kegagalan pertembungan kebudayaan.
Mari kita bersatu untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan jurang ketidaksamaan di Malaysia yang semakin meluas yang sepatutnya telah diselesaikan melalui Dasar Ekonomi Baru.
Rakyat Malaysia perlu membuat permulaan yang baru -- untuk menyatukan tenaga dan sumber daya rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan wilayah, untuk mengangkat negara kita menjadi negara bertaraf dunia dalam seberapa banyak bidang yang diceburi manusia.
Sokongan sepantas kilat yang ditunjukkan kepada Malaysiakini dalam berhadapan dengan pertuduhan kes penghinaan mahkamah berserta dengan denda yang amat besar sebanyak RM500,000 yang dikenakan, menjadi satu petanda yang impian untuk sebuah masyarakat yang lebih terbuka, adil, dan bebas di Malaysia di mana terdapatnya kebebasan bersuara, kebertanggungjawaban dan ketelusan, etika, dan integriti awam masih belum mati, dan masih segar.
Rakyat Malaysia perlu berani untuk bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Semasa saya memulakan perjalanan politik saya 55 tahun yang lalu, saya berumur 25 tahun. DAP adalah parti politik yang muda kerana kami mempunyai tiga orang Ahli Parlimen yang berumur di bawah 30 tahun yang terpilih dalam pilihan raya umum 1969.
Kami tidak memerlukan sayap pemuda pada peringkat awal penubuhan DAP kerana kami bermula sebagai satu parti anak muda. Kita perlu kekal sebagai parti yang mewakili anak muda, kerana rakyat Malaysia yang berumur di antara 15 sehingga 40 tahun membentuk kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia.
Apa yang mendorong kita bukanlah peluang untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, pembentukan kerajaan Negeri atau Persekutuan, tetapi idealisme dan impian bersama kita untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, menjadi contoh dialog, persefahaman, dan toleransi antara agama, dan dalam kata-kata Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Inilah sebabnya mengapa saya sangat bangga dengan acara di Melaka hari ini di mana kita dapat mengetepikan perbezaan dan perpecahan di antara kita dalam DAP Melaka untuk kepentingan negara yang lebih besar -- demi parti dan negara.
Terdapat banyak perasaan kecewa, putus asa, dan perasan negatif mengenai masa hadapan negara kita -- perasaan yang mengatakan kita sedang kembali ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal.
Kita perlu bersatu semula dan memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia, yang negara kita mampu untuk melakukan dengan lebih baik -- walaupun secara berasingan, semua rakyat Malaysia, tidak kiralah Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, berhadapan dengan cabaran melihat negara kita menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara yang gagal, tetapi bersama, kita mampu untuk mengelakkan nasib ini dan sebaliknya menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.
Saya menjadi Ahli Parlimen buat pertama kalinya mewakili Bandar Melaka pada tahun 1969, 1974, dan 1982.
Walaupun terdapat banyak perubahan dalam 55 tahun yang lepas, misalnya, kadar 30 peratus rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar pada tahun 1966 kini telah meningkat kepada 76% pada tahun 2019, matlamat DAP kekal sama dan tidak berubah -- bahawa kita hanya mampu membina sebuah Malaysia sebagai negara yang hebat jika kita berjaya menyatukan penduduk masyarakat majmuk di negara kita sebagai rakyat Malaysia, dan bahawa Malaysia, bukannya mana-mana kaum ataupun agama di dalam negara ini yang berhadapan dengan ancaman terhadap kewujudannya.
Kita akan terus mempunyai identiti yang berbeza sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, tetapi kita perlu pertamanya dan paling utamanya menjadi rakyat Malaysia.
Untuk mengutamakan identiti sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao dan identiti sebagai seorang rakyat Malaysia di tempat kedua pada zaman-zaman awal penubuhan negara ini adalah sesuatu yang boleh difahami, tetapi sekiranya kita terus-menerus mengetepikan identiti dan kesedaran kita sebagai rakyat Malaysia, maka perkara ini menjadi satu kegagalan kepada proses pembinaan identiti dan negara bangsa.
Inilah sebabnya mengapa DAP meletakkan 14 orang calon Melayu di Perak pada Pilihan Raya Umum 1974 dalam usaha parti kita untuk menang di negeri Perak, dengan Ibrahim Singgeh, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak Jalan Tapah (1969-1974) diumumkan sebagai calon Menteri Besar DAP sekiranya DAP berjaya membentuk kerajaan di Perak.
Ini jugalah sebabnya mengapa DAP tetap bersungguh-sungguh dalam komitmen kita terhadap perjuangan yang aman, demokratik dan berperlembagaan untuk membina sebuah negara yang bukan-komunis, tetapi bersifat sosial demokratik, yang merupakan negara hebat bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diusahakan manusia.
Saya bangga dengan Melaka yang memulakan usaha politik baharu untuk menyatukan semula dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia di dalam dan di luar DAP bahawa Impian untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia masih segar.
Kita mesti melaburkan semua sumber dan tenaga yang ada untuk memastikan bahawa Impian untuk menjadikan Malaysia hebat ini dapat berjaya dengan perpaduan, usaha dan komitmen semua rakyat Malaysia.