Malaysia perlu menyusun semula strategi untuk mengelakkan daripada menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 di ASEAN dan Asia

Dalam penerbitan Carta Ketahanan Covid terkini oleh Bloomberg pada penghujung bulan Februari 2021, Malaysia mencatatkan kedudukan di bawah Singapura (3), China (6), Taiwan (7), Korea Selatan (8), Jepun (9), Thailand (10), Hong Kong (13), Israel (14), UAE (15), Arab Saudi (17), dan Vietnam (18), dengan tempat ke 23 dalam carta tersebut.

Malaysia telah jatuh tujuh anak tangga berbanding dengan kedudukan negara kita pada bulan Januari di tempat ke-16, namun kita masih kalah berbanding dengan Singapura, Taiwan, China, Jepun, Hong Kong, Vietnam, UAE, Korea Selatan, Thailand, dan Israel, dan kita hanya mendahului India dan Arab Saudi.

Seperti dalam perenggan pembukaan Carta Ketahanan Covid Bloomberg (Februari 2021):

“Kira-kira setahun selepas Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik, AS dan sebahagian Eropah kini sedang bergerak keluar dari episod gelap bergelut dengan penularan wabak ini dan terus memanjat kedudukan dalam Carta Ketahanan Covid, satu ukuran untuk mengenal pasti tempat terbaik untuk didiami dalam era koronavirus.

“Walaupun tajuk berita didominasi oleh kesegeraan untuk melaksanakan vaksinasi, kejayaan negara-negara ini sebagian besarnya datang daripada tindakan pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan tidak keluar dari rumah. A.S., yang dipimpin oleh pentadbiran Presiden Joe Biden yang baru, juga bersedia untuk memulakan pemulihan ekonomi yang lebih pantas daripada yang dijangkakan. Kedudukannya melonjak lapan tempat pada bulan Februari ke tempat ke-27.

“Di peringkat global, wabak ini telah kehilangan momentum dengan kadar jangkitan meningkat pada kadar yang paling perlahan sejak Oktober tahun lepas. Namun, ekonomi utama di negara barat mencatatkan peningkatan yang lebih pantas berbanding dengan negara ekonomi membangun, memicu perbezaan antara negara kaya-miskin dalam Carta ini yang mungkin berterusan dalam tahun 2021 dengan pegangan bekalan vaksin yang dimiliki oleh negara-negara kaya ini.

“Setiap bulan, Bloomberg menjalankan perkiraan untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai di mana wabak ini dikendalikan dengan efektif tanpa kesan sosial dan ekonomi yang besar.”

Terdapat keperluan mendesak untuk Malaysia menyusun semula strategi Covid-19 kita supaya negara kita dapat menjadi negara yang mempunyai prestasi yang baik dalam perang melawan wabak Covid-19.

Pada bulan November tahun lepas, negara kita berada di tempat ke-85 di antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi, tetapi kita telah melompat 40 kedudukan kepada kedudukan ke-45, dan kini China pula yang berada di kedudukan ke-86.

Namun dengan 1,638 kes baharu semalam, kita berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding dengan 44 negara teratas di seluruh dunia yang lain.

Mampukah kita untuk terus mencatatkan peningkatan harian di bawah paras 2,000 kes sehari dan kemudiannya bergerak ke arah peningkatan harian di dalam julat tiga angka dalam bulan Mac ini?

Institut Ukuran dan Penilaian Kesihatan (IHME) yang berasas di Amerika Syarikat menjangkakan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia, sehingga 20,000 kes sehari menjelang 3 Mac.

Menurut jangkaan IHME, Malaysia akan mencatatkan 20,035 kes baharu pada 3 Mac, mencapai kemuncak 20,361 kes menjelang 13 Mac.

Kita telah berjaya membuktikan jangkaan IHME ini salah.

Peningkatan harian tertinggi yang disaksikan di Malaysia adalah sebanyak 5,728 kes pada 30 Januari, tetapi kita perlu menyusun semula strategi kita supaya kita tidak tergolong dalam negara-negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini.

Setakat ini, gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia yang bermula sejak awal September lepas semestinya telah menjadi gelombang Covid-19 yang terpanjang di dunia.

Sebagai permulaan, bolehkah Majlis Keselamatan Negara menyatakan hasil daripada Surat Terbukan kepada Perdana Menteri daripada 46 orang pakar kesihatan pada 7 Januari 2021 yang menyeru pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, termasuklah cadangan penubuhan Pasukan Tindakan Covid-19 yang dianggotai oleh ahli daripada pelbagai bidang dan pakar-pakar yang diberikan kuasa untuk mengemudi negara kita keluar daripada bencana pandemik ini dengan bermesyuarat secara berkala dan membentangkan dapatan mereka kepada Jemaah Menteri?

Di seluruh dunia, lebih daripada 304 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di 114 buah negara, termasuklah 90 juta dos di Amerika Syarikat dan 52 juta dos di China, pada kadar kira-kira 7.93 juta dos sehari.

Walaupun vaksin ini bukanlah penyembuh ajaib kepada wabak ini, kita perlu memastikan program vaksinasi kebangsaan ini menjadi sebuah kejayaan memandangkan kita juga sedang berhadapan dengan kemunculan pelbagai variasi wabak Covid-19 ini.

Kita juga perlu mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi ini, lebih pantas daripada jadual sedia ada supaya kehidupan boleh kembali normal dan pemulihan ekonomi dapat dimulakan secepat mungkin dalam suku ketiga atau keempat tahun ini.

Semua perkara ini memerlukan tindakan komunikasi yang pantas dan berkesan daripada pihak yang berkuasa.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri