Kementerian Kesihatan patut menerbitkan senarai harian petugas barisan hadapan yang diberikan suntikan vaksin Covid-19 untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat dan untuk memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam program vaksinasi kebangsaan

Kementerian Kesihatan patut menerbitkan senarai harian petugas barisan hadapan yang diberikan suntikan vaksin Covid-19 untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat dan untuk memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam program vaksinasi kebangsaan.

Wabak Covid-19 telah membawa kerosakan yang besar kepada kehidupan dan ekonomi di Malaysia dan di seluruh dunia dalam tahun lepas. Malaysia, seperti negara-negara lain, perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan kejayaan program vaksinasi kebangsaan untuk memastikan supaya kehidupan dalam negara kita dapat kembali normal secepat mungkin.

Jumlah kes terkumpul Covid-19 di Malaysia telah mencapai satu lagi tahap yang mengerikan, kita telah melepasi tahap 300,000 kes terkumpul dengan 300,752 kes dan 1,130 kematian, meletakkan negara kita sebagai negara ke-45 dengan jumlah kes tertinggi di seluruh dunia.

Apa yang lagi membimbangkan adalah dalam kalangan 45 negara dengan jumlah kes terkumpul ini, kita berada di hadapan sepuluh negara dari segi peningkatan kes harian Covid-19. Perkara ini bermakna, melainkan jika kita mencatatkan penurunan yang ketara dalam jumlah kes harian kita, negara kita akan berada pada kedudukan yang lebih tinggi dari segi jumlah kes terkumpul.

Malaysia adalah kira-kira negara yang ke-100 yang telah memulakan program vaksinasi kebangsaan. Sehingga hari ini, lebih daripada 241 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 103 buah negara di seluruh dunia, dengan kadar suntikan harian terkini kira-kira 6.73 juta dos sehari.

Saya mengalu-alukan seruan daripada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, supaya pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan memberikan maklumat mengenai cubaan-cubaan sesetengah pihak untuk memotong barisan bagi mendapatkan vaksin Covid-19, seperti yang diperkatakan oleh doktor pakar dan nefrologis, Dr Rafidah Abdullah.

Mereka yang mempunyai aduan mengenai cubaan memotong barisan untuk mendapatkan vaksin yang sepatutnya diberikan keutamaan kepada para petugas barisan hadapan ini juga dialu-alukan untuk menyampaikan aduan mereka kepada Ahli-ahli Parlimen DAP yang komited untuk menentang sebarang cubaan untuk menggagalkan kesaksamaan vaksin ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri